Khasiat buah delima sudah banyak terbukti sangat bermanfaat kepada kesihatan. Ikuti perkongsian ini.
Buah delima adalah antara buah-buahan yang ada disebut di dalam Al-Quran. Malah, banyak khasiat buah delima yang sudah terbukti melalui kajian sains dan kesihatan.
Buah delima mengandungi sebatian-sebatian tumbuhan bermanfaat yang tiada tandingannya dan ianya sudah terbukti melalui pelbagai kajian yang menunjukkan bahawa buah delima boleh mengurangkan risiko anda dari menghidapi pelbagai penyakit.
Pada post kali ini, mari kita lihat apa manfaat dan khasiat buah delima yang sudah dibuktikan melalui kajian.
Tahukah anda apa khasiat buah delima? Walaupun kulit buah delima tebal dan tidak boleh dimakan, terdapat ratusan biji di dalamnya yang terkandung pelbagai nutrien-nutrien penting.
Setiap biji delima diliputi dengan satu lapisan merah, berair dan manis yang dikenali sebagai aril. Aril mengandungi serat, protein, vitamin C, vitamin K, folat dan kalium.
Aril delima juga amat manis. Setiap satu cawan mengandungi 24 gram gula dan 144 kalori. Secara keseluruhannya, buah delima mempunyai profil nutrien yang sangat mengagumkan.
2. Bersifat Anti Radang
Antara khasiat buah delima adalah ianya mempunyai sifat anti-radang yang kuat. Kajian menunjukkan bahawa punicalagins dapat mengurangkan aktiviti keradangan di saluran pencernaan, pada payudara dan sel barah usus besar.
Keradangan kronik adalah salah satu punca utama penyebab pelbagai penyakit termasuklah penyakit jantung, barah, penyakit Alzheimer, diabetes jenis 2 dan obesiti.
Sekiranya anda berminat untuk mengurangkan keradangan di dalam tubuh anda, jadikanlah buah delima sebagai bahan makanan tambahan di dalam diet anda.
3. Khasiat Buah Delima dan Kandungan Antioksidan
Buah delima mempunyai dua bahan unik yang amat berkhasiat iaitu Punacalagins dan Asid Punicic.
Punacalagins adalah antioksidan yang terdapat dalam jus dan kulit buah delima. Ia adalah bahan yang amat berkhasiat di mana jus buah delima mempunyai tahap antioksidan lebih tiga kali ganda berbanding dengan anggur merah dan teh hijau.
Manakala Asid Punicic pula terdapat dalam minyak biji delima dan merupakan sejenis asid linoleic gabungan yang amat berkesan dari segi biologi.
4. Khasiat Buah Delima untuk Memerangi Kanser Prostat
Kanser Prostat adalah jenis barah yang sangat berisiko terhadap kaum lelaki.
Kajian makmal menunjukkan bahawa ekstrak delima dapat memperlambatkan pembiakan sel barah, bahkan mendorong apoptosis, atau kematian sel, pada sel barah.
Bukti awal menunjukkan bahawa jus delima berpotensi menghalang pertumbuhan barah dan menurunkan risiko kematian.
5. Ekstrak Buah Delima untuk Menghindar Kanser Payudara
Kanser payudara adalah antara igauan ngeri wanita. Tetapi tahukah anda terdapat kajian yang menunjukkan bahawa ekstrak buah delima boleh menghalang pembiakan sel barah payudara malah mampu memusnahkan sebahagian daripadanya.
Walaubagaimanapun bukti yang wujud adalah dapatan berasaskan kajian makmal. Lebih banyak kajian diperlukan sebelum sebarang tuntutan boleh dibuat.
6. Khasiat Buah Delima untuk Menurunkan Tekanan Darah
Dalam satu kajian, penghidap penyakit darah tinggi diarahkan untuk minum 150ml jus delima setiap hari selama dua minggu. Dapatan kajian ini menunjukkan penurunan tekanan darah yang signifikan.
Tekanan darah tinggi adalah salah satu penyebab utama serangan jantung dan strok.
Anda boleh mengambil jus delima secara berkala kerana sudah terbukti bahawa ia dapat menurunkan kadar tekanan darah.
Kajian-kajian lain juga telah menemui dapatan yang sama, terutama untuk tekanan darah sistolik.
7. Membantu Melawan Artritis dan Sakit Sendi
Kebanyakan jenis artritis melibatkan beberapa bentuk keradangan pada sendi.
Memandangkan sebatian tumbuhan dalam buah delima mempunyai kesan anti-radang, maka, tidak hairanlah ia dapat membantu merawat artritis.
Apa yang menarik lagi ialah kajian makmal menunjukkan bahawa ekstrak delima dapat menyekat enzim yang merosakkan sendi.
Ini adalah berita baik bagi mereka yang menderita akibat osteoarthritis. Walaubagaimanapun, lebih banyak kajian yang melibatkan manusia diperlukan.
Penyakit jantung adalah satu penyakit yang rumit disebabkan oleh pelbagai faktor.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa minyak biji buah delima dapat menurunkan trigliserida dengan signifikan.
Satu analisis kajian lain pula membuat simpulan bahawa jus delima mengurangkan tekanan darah tinggi yang merupakan faktor risiko utama penyakit jantung.
Beberapa kajian lagi terhadap manusia menunjukkan bahawa buah delima dapat memperbaiki profil kolestrol anda dan melindungi kolestrol LDL dari kerosakan oksidatif.
9. Khasiat Buah Delima Merawat Disfungsi Ereksi
Kerosakan oksidatif dapat mengganggu aliran darah ke semua kawasan badan, termasuk tisu ereksi. Jus delima terbukti membantu meningkatkan aliran darah dan tindak balas ereksi pada arnab.
Dalam pada itu, dapatan dari suatu kajian yang melibatkan 53 orang lelaki yang mengalami disfungsi ereksi, begitu jelas menunjukkan manfaat buah delima yang banyak tetapi tidak signifikan secara statistik.
Jus delima sememangnya mempunyai kaitan dengan penurunan gejala disfungsi ereksi. Walaupun demikian, lebih banyak kajian perlu dijalankan.
10. Buah Delima untuk Melawan Jangkitan Bakteria dan Kulat
Sebatian tumbuhan yang terdapat dalam buah delima dapat membantu melawan mikroorganisma berbahaya.
Kesan anti-bakteria dan anti-kulat juga boleh melindungi dari jangkitan dan keradangan di mulut anda.
Ini termasuk keadaan seperti gingivitis, periodontis dan stomatitis gigi palsu.
Secara keseluruhan, buah delima mempunyai sifat anti-bakteria dan anti-virus yang mungkin berguna melawan penyakit gusi biasa dan jangkitan yis.
11. Delima untuk Membantu Meningkatkan Ingatan
Menurut satu kajian yang dijalankan di mana pesakit pembedahan diberi 2 gram ekstrak delima dan ia dapat mencegah defisit dari segi ingatan selepas pembedahan.
Satu kajian yang lain menunjukkan masalah ingatan pesakit semakin pulih dengan amalan pengambilan jus buah delima setiap hari.
Tambahan pula, beberapa kajian keatas tikus telah menunjukkan bahawa jus buah delima dapat melawan penyakit Alzheimer.
12. Meningkatkan Prestasi Senaman
Buah delima kaya dengan nitrat makanan yang terbukti dapat meningkatkan prestasi senaman.
Kajian keatas 19 orang atlet yang berlari di atas pelantar larian menunjukkan bahawa mengambil satu gram ekstrak buah delima sebelum latihan meningkatkan aliran darah dengan ketara, menunda keletihan dan meningkatkan kecekapan senaman.
Walaupun lebih banyak kajian perlu diusahakan, nampaknya buah delima bermanfaat untuk meningkatkan prestasi fizikal.
Buah delima secara spesifik disebut sebanyak 3 kali di dalam Al-Quran yakni di dalam surah Ar-Rahman dan surah Al-An’am.
Ia antara makanan sunnah yang sudah terbukti mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat. Bukan sahaja sangat berkhasiat, buah delima juga sangat enak dijadikan sebagai snek dan ekstrak jusnya juga sungguh mengasyikkan.
Maka tidak hairanlah ianya sering menjadi pilihan ramai sebagai salah sebuah buah-buahan yang mempunyai nutriens penting dan penuh berkhasiat.