10 Khasiat Bawang Putih yang Perlu Anda Tahu

Bawang putih atau nama saintifiknya Allium sativum sering digunakan secara meluas sebagai bahan perasa di dalam masakan. Selain itu, terdapat pelbagai khasiat bawang putih yang turut optimalkan sebagai ubat untuk mencegah penyakit.

Di kebanyakan negara, bawang putih sememangnya telah digunakan untuk perubatan sejak berabad yang lalu. Ini disebabkan bawang putih mengandungi pelbagai manfaat kepada kesihatan baik secara mentah, mahupun dimasak.

Pada post kali ini, jom kita lihat apa khasiat bawang putih yang rasanya masih ramai yang tidak tahu.

1. Khasiat Bawang Putih untuk Meningkatkan Imuniti Badan

Siapa sangka pengambilan bawang putih dengan kadar dos tertentu boleh meningkatkan imuniti badan dengan mudah?

Ya benar, ini disebabkan kandungan allicin yang terkandung di dalam bawang putih sangat bermanfaat untuk membantu memerangi beberapa penyakit. Menurut satu kajian yang melibatkan 41,000 wanita pertengahan umur, mereka yang makan bawang putih, buah-buahan dan sayur-sayuran secara rutin mempunyai risiko kanser usus besar 35% lebih rendah.

Sebagai petua untuk meningkatkan imuniti badan, anda bolehlah mengambil seulas bawang putih mentah bersaiz sederhana yang boleh dihancurkan atau dikunyah untuk menghasilkan allicin sebagai amalan harian.

2. Bawang Putih Sebagai Pembersih Darah

Bosan menyembunyikan jerawat-jerawat dengan penutup cela? Tiba masanya untuk mengatasi punca jerawat tersebut dengan membersihkan darah anda secara dalaman untuk memperolehi kulit luaran yang sihat.

Ambil dua ulas bawang putih mentah dengan sedikit air suam, di waktu pagi dan minum air yang banyak sepanjang hari. Jadikan ini sebagai amalan kesihatan seharian.

Bawang putih tersebut akan membantu untuk membersihkan sistem dalaman anda dan membuang segala toksin yang ada.

3. Khasiat Bawang Putih sebagai Anti-bakteria dan Anti-parasit

Khasiat bawang putih juga sudah lama digunakan sebagai anti-bakteria dan anti-parasit untuk merawat jangkitan bakteria, kulat dan parasit sejak 7,000 tahun dahulu lagi.

Sebagai contoh, terdapat beberapa kajian membuktikan bahawa ekstrak bawang putih yang dilarutkan dapat membantu mengubati penyakit berjangkit seperti jangkitan cacing pita di kalangan kanak-kanak.

Selain itu, pencuci mulut berasaskan bawang putih juga boleh menyegarkan nafas di dalam mulut serta mencegah bakteria penyebab kaviti.

4. Bawang Putih untuk Mengurangkan Risiko Kanser Prostat

Doktor-doktor di Jabatan Urologi, China-Japan Friendship Hospital, Beijing, China, telah melakukan kajian untuk menilai hubungan antara pengambilan sayuran allium dan risiko kanser prostat.

Menurutkan kajian tersebut, para pengkaji dapat menyimpulkan bahawa sayuran allium, terutamanya pengambilan bawang putih adalah sangat berkait rapat dengan penurunan risiko kanser prostat.

Ini menunjukkan bahawa khasiat bawang putih sedikit sebanyak mampu mengurangkan risiko kanser prostat. Walau bagaimanapun, kajian prospektif perlu dijalankan dengan lebih terancang untuk mengesahkan penemuan tersebut dengan lebih lanjut.

Baca juga: Khasiat Pegaga untuk Kesihatan dan Kecantikan

5. Suplemen Bawang Putih untuk Tekanan Darah yang Lebih Baik

Bawang putih juga mempunyai manfaat anti-radang serta mampu membantu pengaliran darah dengan lebih mudah ke seluruh badan.

Menurut beberapa kajian yang telah dijalankan, para pengkaji mendapati bahawa tekanan darah turun sebanyak 10% disebabkan supplemen bawang putih yang diambil peserta.

Walaubagaimanapun, haruslah diingatkan bahawa dos suplemen adalah sangat tinggi iaitu sekitar 600 hingga 1,500mg daripada ekstrak bawang putih yang matang. Ini bersamaan dengan kira-kira empat ulas bawang putih sehari, jadi ayuhlah mula memotong.

6. Khasiat Bawang Putih untuk Rendah Kolesterol

Bawang putih juga dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dengan menurunkan tahap kolesterol anda.

Sekumpulan peserta kajian yang mengambil suplemen bawang putih dapat melihat kadar kolesterol mereka surut dalam jangka masa 5 bulan. Walaubagaimanpun, komitmen adalah kunci di sini. Pengambilan suplemen yang betul dan konsisten selama 5 bulan bukanlah sesuatu yang mudah.

Sama seperti kebanyakan ubat semula jadi, manfaat-manfaat bawang putih ini memerlukan masa untuk dirasai, kerana anda perlu membiarkan vitamin dan mineral untuk terbentuk di dalam badan terlebih dahulu.

Namun, penggunaan bawang putih dalam rutin harian anda adalah langkah yang sihat untuk menanam tabiat sepanjang hayat yang dapat memberi manfaat terhadap kesihatan anda tahun demi tahun.

7. Bawang Putih untuk Mengurangkan Risiko Sakit Jantung

Pengambilan bawang putih saban hari (samada dalam masakan ataupun mentah) membantu menurunkan kadar kolesterol oleh kerana sifat-sifat antioksidan Allicin.

Ianya juga sangatlah bermanfaat untuk mengawal tekanan darah dan juga kadar gula dalam darah. Hendaklah beringat bahawa sebatian Allicin yang mengandungi sulfur lebih cenderung untuk hilang sifat perubatannya setelah dimasak.

Sangatlah penting untuk mengambil bawang putih secara mentah mahupun separuh masak jika mahu memperoleh faedah-faedahnya. Sekiranya perlukan bantuan untuk penyakit jantung, bawang putih akan pastikan anda sentiasa terlindung.

8. Membantu Mencegah Penyakit Alzheimer dan Demensia

Kerosakan oksidatif daripada radikal bebas menyumbang terhadap proses penuaan. Bawang putih mengandungi anti-oksidan yang melindungi anda daripada kerosakan sel dan penuaan. Perkara ini boleh mengurangkan risiko penyakit Alzheimer dan demensia.

Suplemen bawang putih dos tinggi telah terbukti dalam peningkatan enzim anti-oksidan pada manusia, begitu juga mengurangkan tekanan oksidatif pada mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi.

9. Khasiat Bawang Putih untuk Kesihatan Tulang

Kajian terhadap wanita menopaus telah mendapati bahawa dos harian ekstrak bawang putih kering (bersamaan dengan 2 gram bawang putih mentah) mengurangkan penanda kekurangan estrogen secara signifikan.

Ini menunjukkan bawah khasiat bawang putih mungkin mempunyai kesan yang baik terhadap kesihatan tulang pada golongan wanita.

Selain itu, makanan seperti bawang putih dan bawang juga mempunyai kesan yang bermanfaat terhadap penyakit osteoartritis yang seringkali berkait rapat dengan kesihatan tulang.

10. Khasiat Bawang Putih untuk Kesihatan Kulit

Sifat antioksidan dan antibakteria yang terdapat pada bawang putih dapat membersihkan kulit anda dengan membunuh bakteria penyebab jerawat.

Anda mempunyai jerawat? Sapukan bawang putih mentah pada benjolan yang terbentuk untuk membunuh bakteria, secara tidak langsung menghilangkannya.

Perlulah berhati-hati dan jangan melakukannya secara berlebihan jika anda mempunyai kulit sensitif. Berjaga-jaga, ianya boleh menyebabkan sensasi terbakar pada kulit anda.

Dari masa ke masa, penggunaan ekstrak bawang putih boleh memberi kesan anti-penuaan kerana bawang putih membantu meningkatkan penumbuhan dan memastikan sel kulit tahan lama.

Baca juga: 5 Khasiat Cuka Epal Menurut Kajian Sains

Kesimpulan

Banyak khasiat bawang putih sebenarnya, tetapi janganlah masukkan dalam diet anda secara keterlaluan dan terlalu cepat, sungguhpun tampak menarik.

Pengambilan secara keterlaluan boleh mengakibatkan rasa tidak selesa, termasuk sakit perut, perut kembung, cirit-birit, bau badan dan bau nafas yang busuk.

Walaupun tidak sering berlaku, suplemen bawang putih boleh membawa sakit kepala, keletihan, kehilangan selera makan, sakit otot, pening kepala dan reaksi alergi misalnya serangan asma ataupun ruam kulit.

Sekiranya anda mengambil pencair darah, penggunaan suplemen bawang putih akan meningkatkan kesan ubat tersebut, justeru membuatkan darah anda lebih sukar untuk membeku. Pastikan anda berjumpa dengan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa suplemen bawang putih.


Sumber Rujukan:
1. Garlic and health
2. Vegetables, fruit, and colon cancer in the Iowa Women’s Health Study
3. Allium Vegetables and Risk of Prostate Cancer: Evidence from 132,192 Subjects
4. Garlic: empiricism or science?
5. The effect of garlic tablet on pro-inflammatory cytokines in postmenopausal osteoporotic women: a randomized controlled clinical trial
6. Dietary garlic and hip osteoarthritis: evidence of a protective effect and putative mechanism of action

7. Garlic in dermatology