Adakah cuka epal berkhasiat untuk kesihatan? Jom kita lihat apa sebenarnya khasiat cuka epal menurut kajian sains.
Khasiat cuka epal mungkin sudah tidak asing lagi buat pengamal kesihatan dan perubatan tradisional. Persoalannya, adakah khasiat cuka epal sudah terbukti dengan kajian sains?
Cuka epal adalah suatu bahan yang sudah lama digunakan dalam penyediaan makanan dan perubatan. Anda juga mungkin tidak asing lagi dengan bahan yang mempunyai pelbagai khasiat termasuklah kesan antimikroba dan antioksidan ini.
Cuka epal dihasilkan melalui proses fermentasi gula dari epal. Ini menukarkan gula kepada asid asetik, iaitu bahan aktif utama dalam cuka. Para penyelidik percaya bahawa asid inilah yang memberi manfaat dari segi kesihatan.1
Artikel ini menunjukkan bukti disebalik 5 kemungkinan manfaat kesihatan dan khasiat cuka epal.
Sekiranya anda sedang mencari cara semula jadi untuk mengawet makanan, cuka epal pasti dapat membantu.
Asid Asetik iaitu bahan utama aktif dalam cuka boleh membunuh bakteria berbahaya atau menghalangnya dari membiak.2
Jadi tidak hairanlah jika ramai yang menggunakan cuka epal sebagai pembasmi kuman dan pengawet semula jadi.
2. Menurunkan Kadar Gula & Mengawal Kencing Manis (Diabetes).
Antara cara yang paling berkesan dan sihat untuk mengawal kadar gula dalam darah adalah dengan mengelakkan diri dari pengambilan karbohidrat serta gula yang berlebihan.
Sebagai amalan alternatif, anda juga mungkin dapat mengelak dari menjadi mangsa penyakit kencing manis tahap 2 jika mengamalkan pengambilan cuka epal.
Tahukah anda, khasiat cuka epal juga boleh membantu menurunkan kadar gula dalam darah serta sedikit sebanyak mampu mengawal penyakit kencing manis?
Menurut kajian yang dijalankan oleh jabatan nutrisi di Arizona State University menunjukkan khasiat cuka epal boleh meningkatkan kepekaan insulin sebanyak 19-34% ketika makan makanan berkarbohidrat tinggi dan menurunkan gula dalam darah selepas makan.3
3. Boleh Menurunkan Berat Badan
Anda mempunyai masalah berat badan? Cuka epal boleh menambah rasa kenyang dan membantu anda mengurangkan bilangan kalori yang dimakan.
Apabila bilangan pengambilan kalori seharian dapat dikurangkan, secara tidak langsung anda boleh menurunkan berat badan.
Secara keseluruhan, kajian mendapati cuka epal dapat menyumbang untuk menurunkan berat badan dengan meningkatkan rasa kenyang, menurunkan gula dalam darah dan mengurangkan kadar insulin.4
Jika berminat untuk kuruskan badan, boleh cuba petua ini:
Amalkan pengambilan 1 sudu makan (12ml) cuka epal sehari untuk pengurangkan lebih kurang 1.2kg dalam masa 3 bulan.
4. Khasiat Cuka Epal untuk Merangsang Kesihatan Kulit
Ramai juga yang sudah biasa menggunakan cuka epal untuk merawat kulit kering dan ekzema. Secara semula jadi, cuka epal adalah berasid dan mempunyai sifat antimikroba.
Kulit kita juga berasid. Ini bererti bahawa ia dapat membantu mengimbangi pH semula jadi kulit dan memperbaiki fungsi lapisan permukaan kulit dan seterusnya mencegah jangkitan.
Walaubagaimanapun, lebih banyak kajian perlu dijalankan untuk mengetahui sama ada ramuan ini selamat dan berkesan apabila digunakan.5
5. Meningkatkan Kesihatan Jantung Haiwan
Penyakit jantung adalah salah satu penyebab utama kematian. Beberapa faktor biologi dikaitkan dengan risiko penyakit jantung anda.
Kajian menunjukkan bahawa cuka dapat memperbaiki beberapa faktor risiko ini. Contohnya, kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa cuka boleh mengurangkan trigliserida darah, kolestrol dan tekanan darah.
Namun, tidak ada bukti yang kukuh menunjukkan bahawa ia membawa kepada pengurangan risiko penyakit jantung pada manusia.6
Terdapat pelbagai kajian yang menunjukkan kesan bioaktif cuka termasuklah cuka epal yang berpotensi untuk memberi manfaat bagi kesihatan manusia.
Menerusi hasil beberapa kajian sains ini, nampaknya khasiat cuka epal mampu membantu menurunkan berat badan, mengurangkan kolestrol, menurunkan kadar gula dalam darah dan memberbaiki kesan dari gejala penyakit kencing manis.
Namun, kajian yang lebih lanjut perlu dijalankan sebelum ia boleh disyorkan sebagai terapi alternatif.