5 Khasiat Strawberi untuk Kecantikan Wanita

Khasiat strawberi bukan sahaja terhad untuk kesihatan tetapi ianya juga sangat bagus untuk kecantikan terutamanya untuk kulit dan wajah. Ini 5 khasiat strawberi khusus untuk kecantikan wanita.

Kalau ke Cameron Highlands, pastinya buah strawberi yang dicari-cari. Selain enak dimakan bersama coklat dip, buah strawberi juga mempunyai pelbagai khasiat termasuklah untuk kecantikan wanita.

Buah strawberi kaya dengan vitamin C dan mempunyai sifat antioksidan yang tinggi. Selain itu, strawberi juga padat dengan pelbagai nutrisi penting yang diperlukan tubuh seperti folat, vitamin B6, vitamin E, vitamin K, kalsium, magnesium dan sebagainya.

Berikut adalah 5 khasiat strawberi untuk kecantikan wanita yang rasanya masih ramai yang tidak tahu.

1. Khasiat Strawberi untuk Kulit Wajah

Buah strawberi sangat kaya dengan vitamin C. Lebih 70% kandungan nutriens yang terkandung di dalam buah strawberi adalah vitamin C.
Sumber: Wikipedia

Di tambah pula dengan sifat antioksidaan yang tinggi menjadikan khasiat strawberi sangat berkesan untuk kesihatan kulit wajah. Jom kita lihat apa manfaat buah strawberi untuk wajah.

Mencerahkan Kulit Wajah

Kesan antioksidaan yang terkandung di dalam vitamin C mampu mencerahkan kulit wajah dengan memulihkan melanin yang teroksida dan melindungi sel kulit daripada dirosakkan radikal bebas akibat pendedahan sinaran UV.

Secara tidak langsung ia mampu meningkatkan keberkesanan keupayaan pelindungan UV yang digunakan oleh kulit secara semulajadi.

Mencegah Kedutan Wajah

Vitamin C juga mampu mendorong pengeluaran kolagen, menebalkan lapisan dermis dan adalah agen awet muda yang hebat kerana boleh mengurangkan garis-garis kedutan halus akibat kesan penuaan.

Hasilnya, anda boleh mencegah kedutan serta garis-garis dari muncul dari wajah. Dengan kurangan tanda-tanda penuaan, sudah pasti anda akan berasa lebih yakin dengan penampilan anda di khalayak ramai.

Mencegah Jerawat

Masalah jerawat berpunca daripada pengumpulan sebum yang berlebihan dan sifat strawberi yang berasid mampu untuk menghilangkan lebihan minyak di kulit.

Jika diamalkan dengan betul, strawberi boleh menjadi agen pencegah jerawat yang efektif.

Merawat dan Mencegah Kulit Kering

Seperti yang disebut di atas, kandungan vitamin C boleh mendorong penghasilan kolagen dan ini membolehkan kulit wajah dapat dirawat serta mengalakkan penyembuhan sel-sel kulit yang rosak.

Kesan ini mampu untuk menjadikan kulit wajah lebih segar dan seterusnya mampu merawat serta mencegah masalah kulit kering.

Masker Strawberry untuk Memutihkan Wajah

Anda juga boleh hasilkan sendiri masker strawberi untuk memutihkan wajah. Tetapi masker ini tidaklah seperti masker yang dibeli di pasaran. Ia akan terasa sedikit basah dan berair.

Selepas beberapa minit, masker akan kering dan bertukar warna daripada merah jambu ke warna yang lebih gelap. Jangan risau, ini perkara biasa.

Pinterest @livesimplymom

Bahan-bahan:

  • 3 biji buah strawberi yang sangat masak
  • 1 sudu besar yogurt
  • 1 sudu kecil madu asli

Cara-cara Penyediaan:

  • Hancurkan strawberi sehingga strawberi kelihatan seperti makanan bayi.
  • Kemudian masukkan yogurt serta madu dan kacau hingga sebati.

Cara Penggunaan:

  • Sapukan masker strawberi ke wajah dan biarkan selama 15 minit.
  • Kemudian bilas wajah dengan air suam

2. Kebaikan Strawberi untuk Bibir

Selain berkesan untuk kesihatan kulit wajah, strawberi juga sangat efektif untuk melembutkan bibir.

Kandungan nutrien yang terkandung di dalam strawberi seperti vitamin C dan asid salisilik boleh membuang lapisan sel kulit mati dan merawat bibir kering.

Ini secara tidak langsung boleh melembutkan bibir. Jika berminat, boleh cuba petua skrub bibir strawberi seperti di bawah:

  • Campurkan dua biji buah strawberi yang masak bersama dua sudu teh gula.
  • Kacau sebati untuk sehingga menjadi seakan-akan seperti skrub.
  • Gosokkan skrub di bibir anda selama lebih kurang satu minit dan kemudian bilas.

3. Khasiat Strawberi untuk Memutihkan Gigi

Jika anda ada masalah seperti gigi kuning, boleh cuba petua ini. Salah satu khasiat strawberi yang sangat berguna untuk semua adalah ia boleh memutihkan gigi.

Kandungan vitamin C yang terdapat dalam strawberi boleh membantu melawan pembentukan plak yang menyebabkan gigi kelihatan kuning.

Untuk rawatan pemutihan gigi, gosokkan buah strawberi terus ke gigi anda. Tahan senyum selama seminit untuk membolehkan ia meresap dan kemudian bilas gigi anda dengan air.

Selain itu, anda juga boleh menghasilkan krim pemutih gigi dengan menumbuk strawberi bersama dengan serbuk penaik atau baking soda.

Untuk menggunakannya, cuma ratakan ke seluruh kawasan gigi dan biar selama 4-5 minit dan kemudian boleh dibilas dengan air.

Baca juga: 5 Khasiat Kurma Menurut Kajian Sains Perubatan

4. Menghilangkan Masalah Eye Bag

Tahukah anda, salah satu khasiat strawberi adalah ia mempunyai sifat astringen yang boleh membantu mengurangkan mata bengkak di bawah mata anda.

Jadi, khusus kepada mereka yang mempunyai masalah eye bag yang kadang-kadang boleh mececah berkilo-kilo beratnya, bolehlah cuba tips ini.

Caranya pula cukup mudah dan sama sahaja seperti yang biasa kita lakukan ketika menggunakan timun.

  • Potong strawberi kepada kepingan-kepingan kecil. Jangan terlalu nipis. Perlu sedang-sedang sahaja ketebalannya.
  • Letakkan kepingan strawberi tadi di atas mata anda sambil berbaring di atas permukaan yang rata.
  • Disarankan untuk berbaring di atas katil kerana anda perlu tunggu selama sekurang-kurangnya 15 minit.
  • Rehatlah dan selepas 15 minit boleh bersihkan muka dengan air.

5. Manfaat Strawberi untuk Rambut

Khasiat strawberi juga tidak terhad kepada kulit dan wajah sahaja, malah strawberi juga boleh membantu untuk menyuburkan rambut.

Sifat antioksidan di dalam strawberi boleh melembapkan rambut anda dan melindungi sel membran.

Kandungan vitamin C juga mampu menyuburkan rambut dengan menghilangkan lebihan minyak yang terdapat di lapisan kulit kepala.

Anda boleh menggunakan strawberi untuk menghasilkan masker rambut dengan beberapa cara mudah seperti di bawah.

  • Campurkan 6 biji buah strawberi, satu sudu besar minyak kelapa, satu sudu besar madu dan kisar sehingga halus.
  • Lembapkan rambut anda dan kemudian ratakan masker rambut strawberi ke seluruh rambut dan kulit kepala.
  • Lakukan urutan di kepala selama beberapa minit dan kemudian bilas rambut dengan air suam.

Kesimpulan

Bagaimana? Menarik bukan khasiat strawberi untuk kecantikan wanita. Rasanya kaum lelaki pun boleh juga tumpang sekaki. Tak ada salahnya.

Tetapi di Malaysia agak kurang sesuai penggunaan buah strawberi kerana ia sukar didapati dan harganya agak mahal.

Berbeza di negara luar dimana buah strawberi ditanam pada skala ladang yang lebih besar, mudah didapati dan lebih murah harganya.

Walaubagaimanapun, jika anda berpeluang melancong ke Cameron highland, bolehlah singgah ke ladang-ladang strawberi dan rasai pengalaman petik buah strawberi.

Eh, dekat Palong, Negeri Sembilan pun ada ladang strawberi, siap boleh jual Nasi Lemak Strawberry lagi tau.


Sumber Rujukan:
1. Wikipedia
2. Promising Health Benefits of the Strawberry: A Focus on Clinical Studies