Kesihatan

5 Khasiat Kurma Menurut Kajian Sains Perubatan

Terdapat pelbagai khasiat kurma untuk kesihatan. Oleh sebab itulah kurma cukup terkenal di Timur Tengah sejak ribuan tahun lagi dan merupakan salah satu buah yang kerap disebut di dalam Al- Quran. Untuk lebih spesifik, kurma telah disebut 26 kali di dalam Al-Quran.

Pada bulan Ramadan, buah kurma boleh dikatakan adalah antara juadah wajib ketika waktu berbuka puasa. Malah, berbuka puasa dengan kurma juga adalah salah satu sunnah Nabi Muhammad SAW.

Menurut kajian, terdapat lebih daripada 15% keperluan harian mineral penting seperti potasium, magnesium dan selenium dapat dipenuhi dengan mengambil kira-kira 4 biji kurma setiap hari. 1

Kurma juga mengandungi vitamin penting seperti vitamin A, vitamin K, vitamin B6, niacin, thiamin, riboflavin dan folate. Selain itu, kurma kaya dengan kandungan serat dan antioksidan yang bagus untuk kesihatan.

Menarik bukan? Terdapat banyak lagi khasiat kurma untuk kesihatan yang telah terbukti melalui kajian-kajian sains perubatan. Jom kita lihat apa lagi khasiat-khasiat yang terkandung di dalam kurma.

1. Sumber Nutrisi dan Tenaga yang Terbaik

Ini adalah salah satu khasiat kurma yang harus anda tahu. Tahukah anda kurma sangat ideal untuk dijadikan sebagai natural energy booster yang paling bagus?

Sebiji buah kurma mempunyai lebih daripada 50% gula dan mengandungi jumlah serat yang tinggi. Ini menjadikan kurma sangat ideal sebagai pembekal tenaga untuk satu jangka masa yang panjang.

Seperti yang kami nyatakan di atas, kurma adalah salah satu pembekal tenaga yang baik. Ini disebabkan kurma mempunyai kandungan gula semula jadi yang tinggi seperti glukosa, fruktosa dan sukrosa.

Ini terbukti melalui satu satu kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Food Sciences and Nutrition menunjukkan bahawa kurma kaya dengan nutrien penting yang dapat membantu anda kembali bertenaga semula dengan segera.2

Jika sering merasa lesu atau letih, anda boleh menjadikan kurma sebagai energy booster untuk meningkatkan tahap tenaga di dalam badan dengan cepat.

Oleh sebab itulah, kita disarankan untuk berbuka puasa dengan kurma untuk mengembalikan semula tenaga dengan cepat setelah seharian menahan lapar dan dahaga.

Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma sebelum solat. Sekiranya, tiada kurma, maka baginda akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka, baginda meminum beberapa teguk air.Riwayat Ahmad

Selain kurma, buah zaitun juga ada disebut di dalam Al-Quran. Ini khasiat minyak zaitun untuk kesihatan lelaki dan wanita yang perlu anda tahu.

2. Boleh Meningkatkan Kesihatan Otak

Khasiat kurma juga tidak terbatas sebagai pembekal tenaga sahaja. Malah, kurma juga dikatakan boleh meningkatkan kesihatan otak.

Menurut kajian yang diketuai oleh Dr. Musthafa Mohamed Essa menunjukkan bahawa khasiat kurma dapat melindungi otak daripada tekanan oksidatif dan keradangan.3

Terdapat satu lagi penyelidikan mengenai kurma yang membuktikan bahawa kurma adalah merupakan sumber serat makanan yang baik serta kaya dengan total fenolik dan antioksidan semula jadi seperti anthocyanins, ferulic acid, protocatechuic acid dan caffeic acid.4

Kehadiran sebatian polifenolik ini berpotensi membantu memperlambat perkembangan penyakit Alzheimer dan demensia.

3. Membantu Melegakan Sembelit dan Cirit Birit

Menurut kajian, makanan yang mengandungi kandungan serat yang tinggi sangat berkhasiat untuk melancarkan pergerakan usus dan memastikan perjalanan makanan yang selesa melalui saluran usus.5

Pengambilan kurma juga boleh membantu dan melegakan masalah sembelit. Ini disebabkan kurma mempunyai kandungan serat tidak larut dan asid amino yang bermanfaat untuk merangsang sistem pencernaan.

Melalui artikel yang diterbitkan oleh Columbia University Medical Center ada mengatakan bahawa makanan yang kaya dengan potassium seperti kurma boleh membantu menggantikan dan mengisi kembali elektrolit yang mungkin anda hilang disebabkan cirit-birit kronik.

Bagaimana untuk menyediakan pes kurma untuk melegakan masalah sembelit atau cirit-birit?

Cara-caranya mudah sahaja.

  • Ambil beberapa biji buah kurma kering dan rendam semalaman di dalam air.
  • Setelah lembut, masukkan kurma dan sedikit air ke dalam food processor.
  • Kemudian pes kurma tersebut boleh dijadikan ubat sembelit dan cirit-birit

4. Membantu Mengatasi Anemia

Kurma mengandungi sumber nutrien yang baik termasuklah zat besi. Kekurangan zat besi dalam badan boleh mengakibatkan anemia.

Anemia adalah keadaan di mana anda kekurangan sel darah merah untuk membawa oksigen yang mencukupi ke tisu badan.

Jika anda mengalami anemia, tubuh badan akan merasa letih dan lemah. Selain itu, anemia juga boleh menyebabkan sesak nafas.

Justeru dengan itu, pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi seperti kurma mampu membantu pembentukan sel darah merah yang bermutu dan seterusnya melegakan gejala anemia.

Antara tanda-tanda lain kekurangan darah adalah seperti berikut:

  • Pening kepala
  • Cepat dan mudah marah
  • Sukar menumpukan perhatian
  • Kulit pucat
  • Lidah merasa pedih
  • Degupan jantung yang cepat

5. Mencegah Penyakit Jantung

Antara khasiat kurma menurut sains yang menarik untuk diketahui ialah kurma mampu mencegah penyakit jantung.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Kimia Pertanian dan Makanan menyimpulkan bahawa pengambilan kurma sebagai makanan berkesan untuk mengurangkan kadar trigliserida dan meredakan tekanan oksidatif.

Tigliserida dan tekanan oksidatif adalah merupakan antara faktor-faktor yang boleh mengakibatkan risiko penyakit jantung dan penyakit aterogenesis, yang merupakan masalah penumpukan plak lemak di arteri. 6

Selain itu, kurma juga kaya dengan sumber potassium yang dapat menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko strok serta penyakit-penyakit lain yang berkaitan dengan jantung.

Kesimpulan

Kebiasaannya kurma kering mudah didapati di Malaysia. Jarang-jarang kita jumpa buah kurma segar dijual di sini. Cuma sejak kebelakangan ini ada yang menjual kurma besar segar yang telah dibekukan (Frozen).

Jika berpeluang ziarah ke tanam haram Makkah atau Madinah, jangan lepaskan peluang untuk melawat ladang-ladang kurma di sana. Kalau ada rezeki anda boleh cuba buah kurma yang segar cuma rasanya sedikit kelat dan kurang manis berbanding kurma kering yang biasa kita makan di Malaysia.

Akhir sekali, harus diingatkan bahawa kurma kering mengandungi gula dan kalori yang tinggi berbanding buah kurma segar. Pengambilan kurma yang berlebihan boleh menyumbang kepada kenaikan berat badan dan masalah kesihatan yang lain.

Oleh itu, adalah dinasihatkan agar kita lebih bersederhana dalam pengambilan kurma supaya dapat memaksimumkan manfaat khasiat kurma untuk kesihatan.


Sumber Rujukan:
1 Nutritional and Functional Properties of Dates: A Review
2 The fruit of the date palm: its possible use as the best food for the future?
3 Beneficial effects of date palm fruits on neurodegenerative diseases
4 Diet rich in date palm fruits improves memory, learning and reduces beta amyloid in transgenic mouse model of Alzheimer’s disease
5 Effect of dietary fiber on constipation: A meta analysis
6 Effects of date ( Phoenix dactylifera L., Medjool or Hallawi Variety) consumption by healthy subjects on serum glucose and lipid levels and on serum oxidative status: a pilot study.