Khasiat Halba untuk Kesihatan yang Ramai Tidak Tahu

Penggunaan halba telah lama dipraktikkan di dalam perubatan tradisional dan terdapat pelbagai khasiat halba untuk kesihatan lelaki dan wanita.

Halba adalah sejenis rempah-ratus yang berbentuk butiran kecil berwarna coklat. Boleh dikatakan hampir semua bahagian halba boleh dimanfaatkan tetapi penggunaan daun dan biji halba lebih meluas sebagai herba tradisional dan rempah masakan. Halba kebiasaanya dijadikan sebagai penambah perasa di dalam masakan. Jika di Malaysia, halba kerap digunakan dalam penyediaan nasi dagang terutamanya di Terengganu.

Credit: Wikipedia

Berikut ialah antara khasiat halba untuk kesihatan lelaki dan wanita yang rasanya masih ramai tidak tahu.

1. Khasiat Halba untuk Kolesterol

Credit: myhealth.gov.my

Tahap kolesterol tinggi adalah antara punca masalah penyakit jantung di kalangan rakyat negara kita. Penyakit yang disebut sebagai Aterosklerosis boleh berlaku apabila plak lemak dan kolestrol tersumbat di pembuluh darah menyebabkan darah tidak dapat mengalir ke jantung.

Di Malaysia, sekitar 9% atau 4000 daripada 50 000 pesakit dirawat di hosiptal kerajaan meninggal akibat Aterosklerosis pada tahun 2004 berbanding dengan kematian akibat kanser sebanyak 7%.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Munurut kajian, pengambilan 25 atau 50 gram serbuk halba sehari dalam diet harian mampu menurunkan tahap kolesterol dalam masa 20 hari. Jika tiada serbuk halba, anda juga boleh menggunakan biji halba kering yang boleh direbus bersama air untuk diminum.

Ini adalah berita baik untuk kita, khususnya mereka yang mengalami masalah paras kolesterol tinggi.

2. Khasiat Halba untuk Ikhtiar Hamil

Khusus buat wanita yang sedang berikhtiar untuk hamil, anda boleh cuba amalkan air rebusan halba bersama kurma merah (Kurma Cina).

Caranya mudah sahaja.

  1. Sediakan 2 sudu besar halba dan 7 biji kurma merah
  2. Rebus semua bahan-bahan di dalam 2 liter air
  3. Tunggu sehingga biji halba mengembang dan kemudian tutup api
  4. Biarkan sejuk sebentar dan kemudian sudah boleh diminum

Jika diamalkan, dipercayai boleh memperkuat dan menyuburkan rahim seterusnya mampu meningkatkan potensi untuk hamil.

Credit: Pixabay

3. Khasiat Halba untuk Diabetes / Kencing Manis

Halba juga didapati berkhasiat untuk pesakit diabetes dan ia amat sesuai diamalkan oleh mereka yang sedia sihat dengan tujuan untuk menjaga kesihatan badan.

Menurut kajian perintis yang dijalankan pada tahun 2005, pengambilan biji halba dalam diet harian mampu menurunkan kadar glukosa darah pada pesakit kencing manis.

Pengambilan halba dengan dos dan cara yang betul akan membantu menurunkan paras gula dalam darah. Kadar pengambilan biji halba yang disyorkan adalah sebanyak 15 – 20 gram sehari untuk mengawal kadar gula dalam darah.

4. Khasiat Halba untuk Meningkatkan Hormon Lelaki

Credit: Pixabay

Halba boleh dimanfaatkan oleh kaum lelaki untuk meningkatkan kadar hormon testosterone.

Terdapat kajian yang mendapati bahawa halba memberikan tindakbalas dengan mengurangkan enzim yang menukarkan hormone testosterone kepada estrogen.

Selain itu, terdapat juga kajian yang mendapati bahawa halba boleh meningkatkan kekuatan dan nafsu seks.

Jadi dinasihatkan para suami untuk mengamalkan halba dan tidak perlu taksub dengan ubat kuat yang sudah pastinya tidak bagus untuk kesihatan.

5. Khasiat Scrub Halba untuk Kulit Wajah

Serbuk halba dapat membantu melembutkan kulit serta mengelakkan kulit menjadi kering. Ia juga sangat berkesan untuk merawat jerawat. Halba juga mengandungi Vitamin C yang bagus untuk kecantikan kulit.

Selain itu, scrub halba juga bagus untuk dapat mencantikkan struktur kulit dari dalam serta memelihara keanjalan kulit.

Untuk memanfaatkan khasiat halba untuk kulit wajah, anda boleh menghasilkan sendiri scrub muka dengan menggunakan halba dan putih telur.

Credit: Pixabay

Ini cara-caranya:

  1. Ambil segenggam biji halba dan kisar sehingga menjadi serbuk
  2. Seeloknya, jangan kisar terlalu halus. Sedang-sedang elok untuk scrub sahaja
  3. Campurkan serbuk halba bersama putih telur dan sebatikan
  4. Terus sapu dan ratakan ke muka
  5. Biarkan seketika dan kemudian bilas muka dengan air suam

Amalkan dua kali seminggu dan anda boleh lihat kesannya. Kulit akan lebih tegang dan jerawat akan cepat mengecut.

6. Khasiat Halba Sebagai Natural Milk Booster

Bagi wanita yang melahirkan anak, antara cabaran yang mereka hadapi ialah apabila susu badan kering atau tidak mencukupi untuk diberikan kepada bayi.

Antara cara atau petua untuk meningkatkan penghasilan susu badan ialah dengan menggunakan halba.

Anda boleh menggunakan petua di bawah untuk menyediakan natural milk booster untuk meningkatkan penghasilan susu badan.

Credit: Pixabay

Cara-caranya mudah sahaja.

  1. Sediakan 2 sudu besar biji halba, segenggam longan kering dan segenggam kurma merah (kurma cina)
  2. Bersihkan dan rebus semua bahan-bahan di atas
  3. Tunggu sehingga semua bahan kembang dan tutupkan api
  4. Biarkan sejuk sebentar dan boleh terus diminum

7. Khasiat Halba untuk Payudara

Tahukah anda bahawa halba juga berkhasiat untuk membesarkan payudara wanita secara tradisional?

Khusus buat kaum hawa yang mengidamkan susuk tubuh yang terbaik anda boleh cuba petua minyak halba ini. Bahan-bahannya mudah didapati dan cara penyediaannya juga amat mudah.

Cara-cara penyediaan minyak halba

  1. Ambil segenggam biji halba dan campurkan bersama lebih kurang 100ml minyak zaitun
  2. Masukkan dalam periuk dan panaskan dengan menggunakan api kecil selama 20 minit
  3. Tutup api dan kacau hingga sebati
  4. Biarkan sejuk dan kemudian simpan dan perap di dalam botol bertutup selama sekurang-kurangnya sehari
  5. Selepas selesai tempoh perapan, tapis dan simpan minyaknya di dalam botol yang bersih
  6. Sapu minyak halba tersebut ke bahagian payudara sambil urut perlahan-lahan
  7. Selesai urutan, biarkan selama lebih kurang 30 minit dan kemudian bilas dengan air

8. Khasiat Halba untuk Demam

Credit: Pixabay

Dari segi nutrisi, biji halba mengandungi serat dan mineral yang diperlukan oleh badan iaitu zat besi dan magnesium.

Oleh itu, amalan minum air rendaman halba dipercayai dapat membantu meningkatkan sistem imuniti badan.

Bagi mereka yang kerap diserang demam, selsema dan batuk, anda bolehlah mengamalkan meminum air rendaman halba.

Boleh juga dicampur dengan sedikit perahan atau sehiris lemon untuk meningkatkan lagi keberkesanan dan rasa yang lebih sedap.

9. Khasiat Halba untuk Kesihatan Dalaman Wanita

Penggunaan sumber tumbuh-tumbuhan secara alami atau semulajadi dalam perubatan dan perawatan tradisional bukanlah perkara yang janggal dalam masyarakat kita.

Begitu juga dengan penggunaan halba untuk menjaga kesihatan dalam wanita.

Minum air suam yang direndam halba telah menjadi amalan kaum wanita untuk menjaga kesihatan dalaman mereka.

Credit: Pixabay

Antara kebaikan halba untuk kesihatan dalaman wanita adalah seperti berikut:

  • Meningkatkan nafsu wanita
  • Melancarkan haid secara alami
  • Membuang angin dalam badan
  • Merangsang dan menyuburkan rahim
  • Boleh mengetatkan rahim
  • Mengatasi masalah senggugut

Senggugut ialah ketegangan sewaktu haid dan pra-haid yang menyebabkan kesakitan. Bukan main-main ye, senggugut boleh jadi mimpi ngeri buat kaum wanita yang mengalaminya.

Oleh yang demikian, bagi anda yang mengalami masalah senggugut, anda mesti cuba minum air halba!

10. Khasiat Halba untuk Meredakan Kahak

Dikatakan halba juga mampu membantu meredakan kahak dan membersihkan saluran pernafasan.

Sekiranya mengalami masalah kahak atau gangguan saluran pernafasan, anda boleh cuba petua ini:

  1. Masak serbuk biji halba bersama madu dan kurma
  2. Makan semasa perut kosong

Dengan izin Allah, ia dapat membantu meredakan kahak yang terkumpul di dada dan tekak dan sekaligus membersihkan saluran pernafasan.

Credit: iStock

11. Khasiat Halba untuk Rambut

Jika anda inginkan rambut yang sihat, lurus, bersinar, tiada kelumumur dan atasi keguguran rambut, anda boleh cuba petua ini:

  1. Ambil segenggam biji halba dan rebus dengan air
  2. Biarkan rebusan halba tersebut sejuk dahulu
  3. Selepas sejuk, gunakan air rebusan halba untuk membasuh rambut

Lakukan secara konsisten, anda akan boleh mula lihat hasilnya. Ia tidak memerlukan kos yang tinggi, kerana harga halba sangat murah!

12. Khasiat Halba untuk Melawaskan Kencing

Oh, tak sangka rupanya ada tips mudah dah murah untuk mengatasi masalah kencing tidak lawas.

Caranya ialah dengan minum air rebusan halba saja. Tapi, jangan terlebih minum pula ya, berpada-pada saja meminumnya iaitu bila perlu sahaja.

Jika dah OK, berhenti minum. Biarlah organ pencernaan kita berfungsi secara semulajadi. Selain itu, halba juga boleh dijadikan ubat julap untuk memudahkan pembuangan air besar.

13. Khasiat Halba untuk Jantung

Halba juga mempunyai kandungan antioksidan dan kardioprotektif yang membantu menggalakkan kesihatan jantung.

Terdapat beberapa sebatian dalam halba yang boleh mengurangkan kolesterol, menurunkan tekanan darah, mencegah serangan jantung dan merawat arteri tersumbat.

Namun begitu, cara terbaik ialah anda perlu mendapatkan nasihat dan rawatan doktor jika anda mengalami sebarang symptom penyakit yang mungkin berkaitan dengan masalah jantung.

Credit: Pixabay

14. Khasiat Halba untuk Kuruskan Badan

Ini antara khasiat halba yang patut diamalkan oleh mereka yang sedang dalam program diet atau ingin turunkan berat badan.

Pengambilan teh halba dapat membantu mengurangkan pengumpulan lemak-lemak baru dalam badan dan seterusnya mengurangkan masalah berat badan dan kegemukan.

Selamat mencuba, sempat lagi nak kuruskan badan sebelum raya nanti!

15. Khasiat Halba untuk Mengurangkan Ketagihan Merokok

Credit: Pixabay

Kami faham bukan mudah untuk menghilangkan ketagihan rokok.

Buat perokok tegar yang ingin berhenti merokok, anda boleh cuba amalkan minum teh halba mengurangkan ketagihan rokok.

Tak salah mencuba dan semoga berjaya mengatasi ketagihan ini dengan menggunakan halba.

16. Khasiat Halba untuk Sakit Kepala dan Migrain

Ada orang yang tak tahan dengan cuaca panas sehingga alami sakit kepala atau migrain. Kadang-kadang makan ubat pun tak berkesan.

Contohnya bila migrain, selagi tak hilang sakitnya, kalau boleh nak berkurung saja dalam bilik gelap dan sejuk.

Berhibernasi seorang diri, sampailah hilang rasa sakit kepala tu. Memang seksa sangat. Anda sudah tahu bahawa halba boleh bantu redakan sakit kepala dan migrain, bolehlah kita sama-sama cuba keberkesanannya.

17. Khasiat Halba untuk Kecerdasan Kanak-Kanak

Halba juga dapat membantu meningkatkan kesihatan dan kecerdasan kanak-kanak dan remaja.

Ia membantu memelihara kesihatan, menguatkan badan dan menggalakkan tumbesaran badan.

Credit: Pixabay

18. Khasiat Halba untuk Metabolisme Badan

Penurunan kadar metabolisme badan boleh berlaku seiring dengan pertambahan usia, gaya hidup, pemakanan dan kurang melakukan aktiviti fizikal yang boleh membakar kalori.

Bila kadar metabolisme rendah, agak susah untuk turunkan berat badan. Pengambilan air halba atau produk berasaskan halba boleh membantu meningkatkan metabolisme badan.

Siapa sedang dalam misi nak turunkan berat badan tu, bolehlah cuba jadikan halba sebagai menu dalam diet harian anda.

19. Kebaikan Halba Sebagai Anti-Kulat dan Anti-Bakteria

Terdapat beberapa kajian yang mendapati bahawa halba adalah bersifat anti-kulat dan anti-bakteria.

Kajian telah dijalankan terhadap bakteria E.coli di mana halba telah menunjukkan sifat anti-bakteria yang kuat terhadap bakteria E.Coli.

Kajian lain juga menunjukkan bahawa daun, benih, batang dan akar pokok halba turut mempunyai sifat anti-kulat terhadap kulat jenis Botrytis cinerea dan beberapa jenis kulat yang lain.

20. Kebaikan Halba untuk Anti-Radang dan Anti-Ulser

Keistimewaan halba ialah ia adalah rempah yang tinggi dengan kandungan anti-oksidan. Apabila kandungan anti-oksidan tinggi, ia menjadi bersifat anti-radang dan anti-ulser.

Amalan pengambilan halba eloklah diamalkan untuk mereka yang kerap mengalami masalah ulser.

Cara Buat Teh Halba

Credit: Pixabay

Kini kita sudah betapa berkhasiatnya halba untuk kesihatan. Tetapi bagaimanakah cara paling mudah untuk kita amalkan pengambilan halba dalam diet seharian?

Antara cara yang paling mudah adalah dengan mengamalkan teh halba. Halba boleh diminum seperti minuman teh dan berikut adalah cara-cara penyediaan teh halba paling mudah.

  1. Didihkan air di dalam periuk
    (Sukatan mudah jika mahu minum satu gelas, didih 2 gelas)
  2. Kemudian masukkan satu sudu besar biji halba
  3. Setelah mendidih, terus tutup api dan tutup periuk
  4. Biarkan sebentar sehingga suam
  5. Setelah suam elok, tapis dan buang hampas
  6. Campurkan dengan sedikit madu atau perahan lemon
    (Jika tiada madu atau lemon, boleh campurkan dengan gula perang)

Amalkan teh halba ini setiap pagi sebelum sarapan dan malam sebelum tidur. Boleh cuba dulu dan anda boleh rasakan sendiri kelainan. Kalau nak tahu apa kelainan tu, kena cuba dahulu.

Tips Untuk Menyediakan Teh Halba Yang Berkesan dan Sedap

1. Halba perlu direbus sehingga pecah bijinya untuk mendapatkan hasil yang optimum.
2. Semakin kuning warna air rebusan, lagi berkesan dan bagus hasilnya.
3. Tambah lemon atau limau untuk seimbangkan rasa dan kurangkan bau halba.
4. Lemon dan limau juga dapat menyedapkan rasa air halba.
5. Tambahan lemon juga berfungsi sebagai kesan detox.
6. Boleh tambah madu atau gula perang untuk hilangkan rasa pahit halba.

Nasihat dan Panduan Pengambilan Teh Halba

  • Wanita mengandung tak boleh minum air halba
  • Selepas bersalin, barulah boleh diminum semasa dalam pantang. Tak boleh letak limau ya. Hanya boleh letak halba dan madu sahaja
  • Amalkan secara sederhana. Memadai meminum maksimum 3 cawan sahaja sehari
  • Jika berlakunya gejala atau keadaan yang tidak selesa pada badan, anda dinasihatkan untuk menghentikan pengambilan air halba atau produk berasaskan halba

Kesimpulan

Credit: Pixabay

Banyak sebenarnya khasiat halba untuk kesihatan. Rugi rasanya kalau tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Tambahan pula halba sangat mudah didapati dan murah harganya.

Halba termasuk di dalam kategori rempah-ratus yang selalu digunakan di dalam masakan. Jadi, ianya memang senang untuk dicari dan kebiasaannya ada dijual di kedai-kedai runcit biasa mahupun pasaraya.

Tak susah untuk dapatkan halba dan harganya pula murah. Biasanya dijual dalam pek plastik atau secara timbang. Kalau tak kenal rupa halba, tunjuk sahaja gambar halba seperti di atas kepada tuan kedai atau promoter.

Mudahkan? Selamat mencuba dan memanfaatkan khasiat halba untuk kesihatan anda dan seisi keluarga.

Baca juga: Kebaikan Flavettes Glow untuk Kesihatan dan Kecantikan



Sumber Rujukan:
1. Kementerian Kesihatan Malaysia
2. Hello Doktor
3. PeaceHealth