Terdapat pelbagai khasiat asam jawa untuk kesihatan dan ianya telah lama digunakan secara meluas di seluruh dunia sejak dahulu lagi.
Asam jawa ataupun Tamarind berasal dari keluarga kekacang dan kebanyakkan pokoknya tumbuh di kawasan tropika terutamanya di benua Afrika. Menurut sumber, nama “Tamarind” diperoleh daripada Bahasa Arab yang membawa maksud “Tamar India”1.
Di Malaysia, buah asam jawa kebiasaannya digunakan sebagai perencah masakan dan sering juga dijadikan jus minuman untuk melegakan sakit tekak.
Berikut adalalah 10 khasiat asam jawa untuk kesihatan yang rasanya masih ramai yang tidak tahu.
1. Asam Jawa yang Kaya dengan Nutrisi
Asam jawa mempunyai kandungan zat besi dan magnesium yang tinggi. Terdapat juga pelbagai jenis nutrisi lain yang baik untuk kesihatan anda.
Antaranya ialah seperti berikut.
Nutrisi | % bagi setiap 100gram |
Magnesium | 23% |
Zat Besi | 20% |
Fosforus | 16% |
Kalium/Potasium | 13% |
Serat | 13% |
Niacin | 12% |
Kalsium | 7% |
Vitamin C | 6% |
Vitamin A | 1% |
Selain itu, asam jawa juga mengandungi kandungan polifenol, yang merupakan sebatian tumbuhan yang terkenal dengan pelbagai manfaat kesihatan 2.
2. Khasiat Asam Jawa untuk Sakit Tekak
Air asam jawa sangat sinonim dengan sakit tekak. Di Malaysia, terdapat pelbagai jenama jus asam jawa yang dikeluarkan secara komersial di pasaran.
Tidak keterlaluan jika saya katakan rata-ratanya jus asam jawa ini sering digunakan oleh kita sebagai salah satu minuman untuk melegakan sakit tekak.
Malah menurut kajian, dengan hanya berkumur dengan air asam jawa mampu memberi sedikit kelegaan jika mengalami sakit tekak 3.
3. Asam Jawa untuk Mencegah Masalah Obesiti
Masalah obesiti selalunya berpunca dari tabiat pemakanan yang tidak sihat. Namun, itu bukanlah satu-satunya faktor penyumbang kepada masalah tersebut.
Rintangan metabolik boleh menyebabkan kegagalan proses metabolisma di dalam tubuh seseorang. Rintangan ini akan mengakibatkan tubuh mempunyai terlalu banyak atau terlalu sedikit bahan penting yang diperlukan tubuh untuk kekal sihat.
Khasiat asam jawa dapat membantu menangani masalah rintangan metabolik dengan mengatur semula metabolisma dan meredakan nyah toksin supaya tenaga dan lemak yang ada dalam tubuh dapat digunakan dengan betul.
4. Kebaikan Asam Jawa untuk Awet Muda
Tak perlu berbelanja besar untuk awet muda. Anda boleh berjimat dengan mengamalkan masker yang berasaskan asam jawa untuk kekal remaja.
Ini disebabkan asam jawa mempunyai khasiat anti-oksidaan yang dipercayai mampu mencegah serta melambatkan proses penuaan.
Baca juga: 5 Khasiat Strawberi untuk Kecantikan Wanita
5. Khasiat Asam Jawa untuk Meredakan Jerawat
Selain boleh bertindak sebagai agen awet muda, khasiat asam jawa juga sangat bagus untuk mengurangkan masalah jerawat.
Jerawat sering terjadi disebabkan gangguan metabolik dan keradangan kronik di dalam badan. Khasiat asam jawa dikatakan berupaya mengatur dan menghentikan ketidakseimbangan yang menyebabkan kerosakan pada kulit kita termasuklah masalah jerawat.
Jika anda kerap dibelenggu masalah jerawat, boleh cuba masker pes asam jawa seperti yang dikongsikan di bawah.
- Campurkan 1 sudu besar ekstrak asam jawa, 1 sudu besar yogurt dan ½ sudu kecil serbuk kunyit tulen.
- Gabungkan bahan-bahan tersebut menjadi tesktur seakan-akan seperti pes ataupun masker.
- Sapukan di wajah anda dan biarkan selama lebih kurang 10 atau 15 minit.
- Bersihkan wajah anda dengan bilasan air bersih.
6. Atasi Masalah Sembelit dan Cirit-birit dengan Asam Jawa
Asam jawa telah lama digunakan sejak dahulu untuk mencegah sembelit kronik kerana kandungan serat makanan, kalium dan asid tartariknya boleh membantu proses membuang air besar.
Jika sering mengalami masalah sembelit atau kembung perut, anda dinasihatkan untuk minum segelas air asam jawa setiap pagi.
Untuk kes cirit-birit pula, anda disarankan untuk minum air rebusan daun asam jawa untuk mengurangkan kesakitan.
7. Khasiat Asam Jawa untuk Ibu Mengandung
Buat ibu mengandung, rasa mual dan loya adalah salah satu masalah yang sering berlaku kepada bakal-bakal ibu di dalam tempoh kehamilan.
Jika anda sering mengalami masalah seperti ini, bolehlah cuba isap isi buah asam jawa dengan ditambah sedikit manisan atau madu untuk mengurangkan rasa mual dan loya.
Selain itu, kandungan khasiat asam jawa juga dapat membantu mengurangkan masalah sembelit yang sering berlaku pada ibu mengandung jika diamalkan secara berterusan.
8. Kurangkan Keradangan dengan Asam Jawa
Tahukah anda daun asam jawa juga boleh dijadikan sebagai alternatif untuk mengurangkan keradangan di dalam badan?
Walaupun kesannya mungkin tidak terlalu ketara, amalan pengambilan teh daun asam jawa dan air asam jawa tanpa gula sebagai rutin harian boleh memberi manfaat kepada kesihatan.
Harus diingatkan, nasihat doktor masih diperlukan jika anda mempunyai masalah keradangan yang kronik.
9. Lindungi Hati dengan Khasiat Asam Jawa
Hati mempunyai peranan yang sangat penting dalam proses nyah toksin dan pencernaan. Tetapi adakah anda tahu bahawa hati adalah salah satu organ yang paling terjejas disebabkan gaya hidup moden?
Khasiat asam jawa dapat membantu proses tersebut dan boleh menjadi pilihan terbaik untuk menghindar daripada keracunan hati disebabkan oleh alkohol atau keadaan hati berlemak.
Sekiranya anda menggunakan asam jawa sebagai bahan pencuci mulut, jangan campurkan dengan sebarang gula, gluten mahupun produk tenusu. Ini untuk mengelakkan reaksi imun atau ketidak toleransian lactose (lactose intolerant).
Perkara ini sangat penting untuk memastikan bahawa tubuh dapat menyerap manfaat asam jawa dengan lebih baik.
10. Asam Jawa Berupaya Meningkatkan Kesihatan Kardiovaskular
Asam jawa mengandungi polifenol dan flavonoid yang mampu mengawal paras kolesterol serta meningkatkan pengaliran darah ke jantung.
Selain itu, kandungan anti-oksidaan di dalam asam jawa juga berupaya membantu mengurangkan kerosakan oksidatif pada kolesterol LDL (kolestrol jahat) seterusnya boleh menurunkan kebarangkalian untuk mendapat penyakit jantung.
Baca juga: Khasiat Buah Naga untuk Kesihatan dan Kecantikan
Kesimpulan
Secara umumnya, asam jawa telah digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional sejak dulu lagi kerana mempunyai banyak khasiat terhadap tubuh sekiranya dapat diamalkan secara berterusan, dan bukan hanya sebagai penambah perisa dalam masakan sahaja.
Asam jawa juga sangat mudah untuk didapati di kedai-kedai runcit mahupun pasaraya besar dan harganya juga murah. Ini menjadikan asam jawa sebagai salah satu sumber pilihan yang bagus jika mahu diamalkan untuk kesihatan.
Gambar oleh Freepik @Jcomp
Sumber Rujukan:
1. Wikipedia Tamarind
2. Effect of polyphenol extract on performance, serum biochemistry, skin pigmentation and carcass characteristics in broiler chickens fed with different cereal sources under hot-humid conditions
3. Tamarind (Tamarindus indica L.) research – A review. Indian Journal of Arecanut, Spices and Medicinal Plants