Tips

5 Kesan Pembuangan Sisa Domestik di Malaysia

Kesan pembuangan sisa domestik di Malaysia kini boleh dikatakan sudah berada pada paras yang membimbangkan. Jika dibiarkan, akan memudaratkan negara.

Umum sudah sedia maklum tentang proses pengurusan sisa pepejal di Malaysia. Meskipun terdapat pelbagai inisiatif yang diusahakan oleh kerajaan seperti pengasingan sisa pepejal1, masalah serta kesan pembuangan sisa domestik masih terus berpanjangan.

Menurut laporan media, rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 37,890 tan sisa setiap hari dengan sekurang-kurangnya 1.17 kilogram (kg) dijana bagi setiap individu2.

Kesan akibat pengurusan pembuangan sisa domestik yang tidak betul bukan sahaja berakhir dengan pemandangan yang menyakitkan mata, malah akan memberi impak negatif terhadap keseluruhan ekonomi negara.

Selain kos untuk kempen kesedaran masyarakat, kerajaan juga harus membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk melakukan penyelenggaraan akibat kesan pembuangan sisa domestik yang tidak terkawal.

Pada artikel kali ini, kita akan membincangkan apakah kesan pembuangan sisa domestik terhadap persekitaran dan alam semula jadi.

1. Kesan Pembuangan Sisa Domestik terhadap Tanah

Kita pasti mengharapkan sisa-sisa pepejal seperti plastik, gelas, logam dan kertas yang telah dibuang ke dalam tong kitar semula untuk diproses sehingga pada akhirnya mampu menghasilkan produk baru yang boleh digunakan. Namun, realitinya sangat berbeza.

Secara umumnya, kontaminasi boleh berlaku apabila komponen merbahaya tertumpah atau tertanam ke dalam tanah sebelum bermulanya proses kitar semula. Jadi, kita perlulah berhati-hati dalam memproses bahan kimia seperti hidrokarbon petroleum, pelarut, racun perosak, logam berat dan plumbum.

Sebagai contoh, botol air plastik lazimnya akan lambat laun terurai dan menghasilkan komponen merbahaya dipanggil Diethylhydroxylamine (DEHA).

DEHA adalah sejenis karsinogen yang mampu merosakkan sistem reproduktif manusia, menyebabkan kerosakan hati dan menjurus kepada isu berat badan.

DEHA akan meresap ke kawasan persekitaran seperti tanah. Ini akan memudaratkan hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan yang hidup berdekatan yang juga bergantung kepada sumber air dan tanah yang sihat.

2. Kesan Pembuangan Sisa Domestik terhadap Air

Air merupakan pelarut yang terbaik dan secara umumnya pelbagai bahan kimia sangat mudah terlarut didalamnya. Air yang melalui kawasan tercemar akan membawa bersamanya pelbagai bahan kimia dan gas merbahaya.

Malah, air hujan juga boleh bercampur dengan cecair toksik dan meresap ke dalam aliran air untuk sampai ke sumber air utama. Sumber-sumber air ini pada akhirnya akan disalurkan kepada kita untuk kegunaan harian.

Oleh yang demikian, sumber air seperti air pancut, kolam, tasik dan juga paip air secara tidak langsung boleh terdedah kepada bahaya kontaminasi.

Siapakah mangsanya? Mestilah semua jenis organisma termasuk manusia.

3. Kesan Pembuangan Sisa Domestik terhadap Udara

Apabila kertas dan plastik dibakar di tapak pelupusan sampah, ianya akan menghasilkan gas dan bahan kimia merbahaya seterusnya akan terkumpul dan menyebabkan penipisan lapisan ozon dan memudaratkan kesihatan populasi manusia berdekatan.

Gas Metana juga bertanggungjawab menambah kemudaratan tersebut. Selain metana, bahan kimia lain seperti dioxin juga akan memberi kesan negatif terhadap kesihatan manusia.

Perkara ini akan mengakibatkan pencemaran udara dan pemanasan global berlaku semuanya berpunca dari kesan pembuangan sisa domestik yang tidak diuruskan dengan betul.

Baca juga: 10 Cara Menangani Stress & Tekanan

4. Kesan Pembuangan Sisa Domestik terhadap Perubahan Iklim

Pertama sekali, gas rumah hijau akan dihasilkan oleh sisa pepejal yang mereput. Sisa-sisa ini akan naik ke lapisan atmosfera dan memerangkap haba seterusnya mengakibatkan reaksi cuaca yang ekstrim dalam bentuk ribut dan taufan.

Apa lagi impaknya terhadap kita semua?

Selain daripada kenaikan suhu dan tahap kelembapan udara, perubahan iklim juga akan mengalami peralihan yang amat drastik serta merisaukan.

Dari hujan asid sehinggalah hujan batu mahupun pemanasan gobal, semuanya berkemungkinan untuk berlaku. Ini juga akan menimbulkan isu lain seperti pencemaran haba dan radioaktif.

5. Kesan Pembuangan Sisa Domestik terhadap Hidupan Marin

Walaupun dengan langkah-langkah pencegahan sedia ada, kita masih lagi dapat melihat aktiviti pembuangan sampah dan sisa pepejal yang tidak dirawat berterusan.

Setiap haiwan dan hidupan marin yang bertembung dengan pencemaran ini akan menghadapi kesan yang sangat teruk. Kemunculan alga yang merebak akan menghasilkan toksik merbahaya dan melemaskan hidupan marin seperti ikan-ikan dan batu karang.

Seperti yang telah dibincangkan secara menyeluruh oleh Conservation International, kita telah melihat bagaimana penghadaman tali pancing, puntung rokok, botol plastik dan styrofoam oleh hidupan laut boleh membunuh berjuta-juta hidupan marin setiap tahun.

Baca juga: Ageing Population Growth in Malaysia

Kesimpulan

Pengurusan sisa pepejal merupakan tanggungjawab semua manusia kerana ianya boleh memberi kesan radikal terhadap kehidupan kita.

Pendidikan dan kesedaran dikalangan semua komuniti, tidak kira tahap ekonomi dan kondisi sosial perlu sentiasa ada selagi kehidupan masih wujud di dunia ini.

Walaupun kita semua sudah menegetahui tentang kaedah-kaedah pengurusan sisa pepejal yang biasa digunakan seperti tapak pelupusan sampah, pusat pembakaran sampah, pemprosesan biologi atau penjimatan tenaga; kita masih lagi dikelilingi oleh sisa pepejal yang banyak.

Kewujudan pelbagai haiwan perosak yang membawa penyakit menyukarkan lagi aktiviti pengurusan sisa pepejal. Walaupun dengan usaha sedia ada, haiwan perosak seperti tikus masih lagi mencemarkan dan menyerang fasiliti pengurusan sisa pepejal dan kumbahan.

Haiwan tersebut merosakkan tanaman dan menyebarkan penyakit seperti Hantavirus Pulmonary Syndrome, Leptospirosis, Rat-bite Fever dan Salmonellosis.


Sumber Rujukan:
1. Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara: Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca
2. Berita Harian: Rakyat Malaysia hasil 37,890 tan sisa setiap hari
3. MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia: Kepentingan Pengasingan Sisa-Sisa Pepejal Kepada Kesihatan Awam