5 Kesan Jerebu Terhadap Hidupan dan Alam Sekitar

Masalah jerebu bukanlah sesuatu perkara yang asing buat masyarakat di Asia Tenggara terutamanya Malaysia. Meskipun begitu, tahukah anda apa kesan jerebu terhadap hidupan dan alam sekitar?

Jerebu ialah campuran bahan pencemar bawaan udara yang mengandungi habuk halus, zarah jelaga, karbon monoksida dan gas-gas toksik yang lain. Oleh kerana saiz partikel jerebu yang halus, ianya berupaya masuk jauh ke dalam paru-paru mahupun aliran darah dalam beberapa kes (Sumber).

Jerebu kebiasaanya berpunca daripada pembakaran terbuka dan pembebasan asap-asap kilang serta kenderaan yang tidak terkawal. Pada tahun 2019, Asia Tenggara mengalami krisis jerebu disebabkan pembakaran haram di kepulauan Sumatera dan Kalimantan di Indonesia (Sumber).

Terdapat beberapa kesan-kesan jerebu yang telah dikenalpasti, antaranya berkait rapat dengan impak terhadap manusia, haiwan, tumbuhan, alam sekitar dan negara. Jom ikuti perkongsian ini.

1. Kesan Jerebu kepada Manusia

Photo by jcomp on Freepik

Umum sedia maklum tentang bahaya jerebu terhadap kesihatan terutamanya kepada mereka yang sudah mempunyai penyakit jantung atau paru-paru kronik seperti asma, penyakit chronic obstructive pulmonary disease (COPD) atau kegagalan jantung (Sumber).

Selain itu, zarah-zarah jerebu yang halus juga boleh menimbulkan gejala akut seperti batuk, semput, sesak nafas dan keletihan. Ini adalah diantara kesan jangka pendek yang sering dialami kebanyakkan orang (Sumber).

Saiz zarah sering dikaitkan dengan potensinya untuk menyebabkan masalah kesihatan dimana saiz yang berdiameter kurang daripada 10 mikrometer mungkin menimbulkan masalah yang kritikal kerana ianya berupaya masuk jauh ke dalam paru-paru atau saliran darah (Sumber).

Indeks Pencemaran Udara (IPU) adalah panduan umum yang digunapakai di Malaysia untuk mengukur tahap kualiti udara. Anda boleh merujuk laman web Air Pollutant Index Management System (APIMS) untuk mengetahui tahap kualiti udara di bandar-bandar di seluruh Malaysia dengan pengelasan seperti berikut:

IPU Status
0 – 50 Baik
51 – 100 Sederhana
101 – 200 Tidak sihat
201 – 300 Sangat tidak sihat
301 – 400 Berbahaya
401 – 500 Sangat berbahaya
Lebih 501 Darurat

2. Kesan Jerebu kepada Haiwan

Photo by Paul Earle on Unsplash

Menurut sebuah artikel yang diterbitkan oleh WWF-Malaysia, masalah jerebu turut memberi impak negatif kepada hidupan liar. Berdasarkan laporan, orang utan di sekitar Borneo juga mengalami masalah kesihatan seperti jangkitan saluran pernafasan, dehidrasi dan kekurangan zat makanan.

Kesan jerebu yang berpanjangan juga dikatakan boleh mengurangkan koloni lebah yang menetap di atas pokok seterusnya mengakibatkan kemerosotan besar-besaran dalam populasi lebah. Jika berterusan, pendebungaan pokok dan buah dalam ekosistem hutan yang kebiasaannya bergantung kepada lebah akan terjejas.

Malah, situasi yang sama juga boleh memberi kesan yang sama kepada haiwan yang berfungsi sebagai agen pendebungaan seperti burung, kelawar, kumbang dan rama-rama.

(Sumber)

3. Kesan Jerebu kepada Tumbuhan

Sama seperti manusia dan haiwan, tumbuhan juga merupakan hidupan yang akan terjejas akibat masalah jerebu yang teruk dan berpanjangan.

Tumbuhan menghasilkan makanan melalui proses yang dinamakan sebagi fotosintesis. Melalui proses ini, tumbuhan akan menukar tenaga yang diperoleh daripada sinaran matahari dan karbon dioksida (CO2) untuk menghasilkan oksigen (O2) serta glukosa.

Jerebu yang teruk akan mengurangkan sinaran matahari dan keadaan ini akan menganggu proses fotosintesis tersebut. Tumbuhan akan mengalami masalah berkaitan tumbesaran seperti keguguran daun dan pertukaran warna seterusnya akan menyebabkan tumbuhan mati.

Photo by Ryan Arnst on Unsplash

Baca juga: 5 Kebaikan Kitar Semula kepada Alam Sekitar

4. Kesan Jerebu terhadap Alam Sekitar

Selain memberi masalah kepada hidupan, kesan jerebu juga mampu menganggu gugat kestabilan alam sekitar.

Campuran zarah jerebu dan hujan akan menyebabkan fenomena hujan asid yang bukan sahaja memberi kesan buruk kepada manusia tetapi mampu untuk menjejaskan ekosistem alam sekitar.

Antara impak negatif hujan asid terhadap ekosistem alam sekitar adalah seperti berikut:

  • Kerosakan kepada keadaan biologi dan kimia tanah.
  • Menjejaskan tumbuhan dan hutan.
  • Menjejaskan hidupan laut

Selain itu, zarah jerebu dikatakan berupaya untuk menghalang pembebasan bahang bumi ke atmosfera pada waktu malam. Keadaan ini akan menyebabkan peningkatan suhu dan pemanasan setempat.

5. Kesan Jerebu kepada Negara

Kesan jerebu juga sebenarnya berupaya memberi kesan buruk kepada sesebuah negara khususnya di dalam sektor-sektor berkaitan ekonomi (Sumber).

Jerebu yang berpanjangan akan memberi impak yang sangat buruk kepada negara yang terlalu bergantung kepada bidang pelancongan. Sekiranya keadaan jerebu mencapai tahap yang berbahaya, semestinya semua aktiviti berkaitan pelancongan harus ditutup demi keselamatan dan kesihatan para pelancong.

Bahkan situasi yang sama boleh berlaku kepada sektor-sektor ekonomi yang lain sekiranya kesan jerebu pada tahap darurat dimana tiada sebarang aktiviti yang boleh dilakukan. Jika jerebu yang teruk berpanjangan, maka tidak mustahil ianya mampu untuk melumpuhkan ekonomi sesebuah negara.

Photo by lifeforstock on Freepik

Sumber Rujukan

  1. Nemmar et al., 2002  Passage of inhaled particles into the blood circulation in humans Circulation, 105 (2002), pp. 411-414 Google Scholar
  2. Wikipedia 2022 Jerebu Asia Tenggara 2019. Last modified August 24, 2021. Retrieved from Wikipedia
  3. Ministry of Health, Singapore FAQS on Haze Health Advisory. Retrieved from moh.gov.sg
  4. Mount Elizabeth Hospitals, 2016 The Effects of Haze on Your Health. Last modified October 16, 2020. Retrieved from mountelizabeth.com.sg
  5. United States Environmental Protection Agency (EPA), 2022 Health and Environmental Effects of Particulate Matter (PM). Last modified August 30, 2022. Retrieved from epa.gov
  6. WWF-Malaysia Long-term Impacts of Haze on Malaysian Wildlife. Last modified October 30, 2015. Retrieved from wwf.org.my
  7. Astro Awani Kerugian ekonomi akibat jerebu. Last modified September 19, 2019. Retrieved from astroawani.com