5 Kebaikan Kitar Semula kepada Alam Sekitar

Apakah kebaikan kitar semula kepada alam sekitar? Kenapa kita harus lebih prihatin terhadap keperluan untuk mengamalkan kitar semula di dalam kehidupan seharian?

Amalan kitar semula adalah sesuatu perkara yang tidak boleh lagi dipandang enteng oleh semua pihak. Malah amalan mengitar semuala barangan terpakai haruslah mula dan sentiasa diterapkan di dalam minda dan sanubari masyarakat tak kira umur, bangsa dan agama.

Tetapi apakah sebenarnya kebaikan kitar semula terhadap alam sekitar? Bagaimanakah penggunaan semula produk-produk lama boleh membantu memanjangkan jangka hayat alam semulajadi?

Berikut merupakan faedah dan kebaikan kitar semula kepada alam sekitar yang harus kita semua ketahui untuk kesejahteraan hidup.

1. Kebaikan Kitar Semula untuk Penjanaan Semula Sumber Semulajadi

Dunia kita bukan semakin muda. Malah tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa dunia pada masa kini semakin ketandusan sumber semulajadi.

Sumber-sumber bumi kini nampaknya semakin menyusut dengan kadar yang sangat membimbangkan. Jika tiada tindakan lanjut, sudah pasti sumber-sumber ini tidak mampu bertahan lama untuk kegunaan generasi akan datang terutamanya dengan penambahan populasi penduduk secara berterusan dari tahun ke tahun.

Oleh yang demikian, amalan seperti mengitar semula kertas atau sisa-sisa domestik yang berasaskan pulpa pokok sangat penting untuk membantu menjana semula sumber kertas tanpa perlu menebang pokok-pokok di hutan.

Jika tiada pokok-pokok ditebang, proses pemuliharaan hutan akan menjadi lebih mudah dan cepat. Jika hutan-hutan kita terpelihara, maka sumber semulajadi yang berharga seperti pokok-pokok boleh dijaga, dibela dan dijana semula untuk kegunaan generasi akan datang.

2. Kebaikan Kitar Semula untuk Memulihara Hidupan Liar dan Ekosistem

Apabila kita boleh mengitar semula produk-produk terpakai secara konsisten, kita sebenarnya mampu menjimatkan sumber-sumber yang berguna untuk keperluan tumbuhan dan haiwan.

Seperti yang dibincangkan pada sub-topik sebelumnya, pokok-pokok tidak lagi perlu ditebang untuk menghasilkan kertas. Malah, dengan hanya menggunakan bahan-bahan kitar semula, produk-produk yang berasaskan kertas boleh dijana dengan kadar berterusan tanpa menganggu ekosistem sedia ada.

Dengan ini, hidupan dan ekosistem di dalam hutan-hutan akan sentiasa dipelihara dan dikawal. Keseimbangan ekosistem ini sangat penting untuk memastikan tumbuh-tumbuhan dan haiwan tidak dilanda kepupusan.

Sebaliknya, jika hutan-hutan terganggu dengan penebangan pokok secara berterusan, haiwan-haiwan liar akan hilang tempat tinggal asal mereka dan perkara ini lebih cenderung untuk menyebabkan masalah yang boleh mengakibatkan spesies-spesies tersebut menjadi terancam.

Gangguan ekosistem juga boleh berlaku melalui pencemaran air yang berpunca daripada tumpahan bahan kimia dari kilang. Pencemaran air akan mengakibatkan ikan dan haiwan marin terjejas teruk. Apabila plastik dan barangan lain tidak dikitar semula dengan betul, bahan-bahan tersebut akan berakhir di lautan dan ditelan oleh hidupan laut yang lain.

Baca juga: Cara Menjaga Kebersihan Diri dan Persekitaran

3. Kebaikan Kitar Semula untuk Mengurangkan Pengeluaran Bahan Mentah

Bahan-bahan kitar semula mengurangkan keperluan untuk pengumpulan bahan mentah. Bahan mentah sebegini biasanya diperoleh dari hutan-hutan dan sungai-sungai.

Manusia dan haiwan yang tinggal di kawasan-kawasan seperti ini tidak perlu risau tentang kemungkinan dipindahkan. Tanpa perlu menuai dan mengumpul bahan mentah dari hutan belantara, kita secara tidak langsung telah menyelamatkan komuniti di kawasan terpencil yang hidup tanpa gangguan.

Jika anda ingin menolong memelihara komuniti dan tempat perlindungan hidupan liar ini, mengitar semula barangan terpakai anda secara konsisten amatlah membantu. Dengan cara ini, syarikat-syarikat tidak perlu menggandakan usaha pengeluaran mereka untuk memenuhi permintaan pasaran sepanjang masa.

4. Kebaikan Kitar Semula untuk Kos Tenaga Lebih Rendah

Apabila kita bercakap tentang bahan mentah dan pengeluaran, kita juga perlu mengambil kira kos tenaga. Jika kita mengamalkan kitar semula, kos tenaga akan menjadi lebih rendah.

Secara umumnya, sesuatu produk akan bermula dari perusahaan sesuatu bahan mentah. Terdapat pelbagai usaha dan tenaga diperlukan untuk memproses bahan mentah dari awal sebelum ianya boleh digunakan untuk menghasilkan produk akhiran.

Jika kita mengitar semula bahan-bahan mentah ini, peluang untuk mengurangkan kos tenaga akan menjadi lebih tinggi kerana kita perlu bermula dari awal. Contohnya, kos tenaga elektrik dan kos buruh juga mungkin boleh dikurangkan.

Sebagai contoh, syarikat penghasilan keluli dan aluminium boleh menjimatkan lebih banyak kos tenaga elektrik jika mereka merebut sumber kitar semula ini, berbanding dengan proses penghasilan dari awal.

Tidak mustahil jika penjimatan tenaga boleh mencapai kira-kira 40% hingga 70% bergantung pada proses dan bahan, jadi jangan teragak-agak untuk menghantar sampah tidak terguna anda ke kemudahan kitar semula tempatan!

5. Kebaikan Kitar Semula untuk Mengurangkan Kos Pelupusan Sisa

Melalui amalan kitar semula, kita sebenarnya akan mengurangkan pelbagai kos termasuklah kos pelupusan sisa-sisa domestik.

Amalan kitar semula akan mengurangkan kadar pembuangan sampah ke tapak-tapak pelupusan sedia ada. Pekerja juga tidak perlu memungut sampah dengan terlalu kerap dan usaha pembersihan akan menjadi lebih mudah. Malah, kos penyelenggaraan tapak pelupusan sampah juga akan semakin minimum.

Selain daripada barang-barangan terpakai, mengitar semula makanan juga mempunyai banyak manfaat. Jika anda memilih untuk memasak sisa makanan dengan berbeza pada keesokan harinya atau menggunakannya sebagai baja kompos untuk tanaman di halaman rumah, kos serta proses pelupusan sampah akan menjadi lebih optimum dan efisien.

Kesimpulan

Pada keseluruhannya, kitar semula mempunyai banyak faedah kepada alam sekitar. Kitar semula akan mengurangkan penggunaan sumber semula jadi, mengurangkan pemindahan komuniti dan hidupan liar.

Ia juga akan menjadi penyelesaian untuk mengurangkan penebangan hutan dan akan memulihara pokok-pokok untuk generasi akan datang. Dalam jangka masa panjang, kitar semula juga mengurangkan kesan karbon dan menurunkan harga bahan mentah.

Dengan faedah tambahan ini, kami berharap anda akan terus mendapat inspirasi dalam mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula!

All images credit to Freepik