Informasi

4 Kesan Pencemaran Alam Sekitar Yang Perlu Kita Ambil Tahu

Pencemaran bukanlah sesuatu isu yang baharu, kesan pencemaran alam sekitar adalah salah satu masalah terbesar dunia yang acapkali tidak diendahkan.

Penerokaan manusia melalui aktiviti perindustrian, pertanian dan urbanisasi merupakan faktor-faktor penyumbang utama masalah pencemaran alam sekitar.

Sebelum menjadi lebih buruk, isu-isu berkaitan pencemaran haruslah dipandang serius oleh semua pihak. Ini kerana, kesan pencemaran alam sekitar memberi kesan negatif kepada semua unsur-unsur semula jadi yang menjadi keperluan mutlak untuk hidupan seperti tanah, air dan udara.

Berikut adalah kesan-kesan pencemaran alam sekitar yang perlu kita ambil tahu demi kesejahteraan generasi kita pada masa hadapan.

1. Kesan Pencemaran Alam Sekitar Akibat Pembangunan Perindustrian

Gambar kredit Freepik

Tidak dapat dinafikan pembangunan perindustrian penting untuk kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara.

Namun begitu, pembangunan perindustrian yang terlalu pesat boleh mengakibatkan peratusan eksploitasi sumber-sumber asli meningkat pada kadar yang membimbangkan seterusnya dikhuatiri akan menjadikan kesan pencemaran alam sekitar menjadi tidak terkawal.

Kesan pencemaran alam sekitar seperti asap dan habuk daripada pembakaran arang batu di Melaka contohnya telah mengundang ketidakselesaan dikalangan penduduk setempat.

Selain menganggu kehidupan seharian, terdapat risiko-risiko berkaitan kesihatan juga turut dilaporkan (Sumber).

Gambar kredit Freepik

Pembangunan perindustrian yang tidak terkawal juga akan memberi kesan pencemaran alam sekitar secara besar-besaran.

Pengeluaran sisa-sisa perindustrian seperti asap-asap pembakaran, gas toksik, abu aerosol, mendakan kimia dan lain-lain akan mencemarkan udara, air dan tanah secara berterusan.

Malah, pada beberapa tahun yang lepas, kawasan-kawasan perindustrian yang tidak dikawal selia dengan betul dilaporkan telah menjadi punca kepada pencemaran air di kawasan sekitar Lembah Kelang dan ianya telah mengakibatkan masalah bekalan air yang berpanjangan (Sumber).

Sekiranya perkara ini tidak dibendung dengan kadar segera, tidak mustahil kesan pencemaran alam sekitar akibat pembangunan perindustrian akan terus menjadi faktor penyumbang kepada masalah-masalah berkaitan pencemaran yang berpontensi membawa maut serta boleh menyebabkan ketidakseimbangan ekologi di peringkat tempatan serta global.

Baca juga: 5 Kebaikan Kitar Semula kepada Alam Sekitar

2. Kesan Pencemaran Alam Sekitar Akibat Penebangan hutan

Gambar kredit Freepik

Hutan merupakan anugerah alam yang tidak ternilai oleh wang ringgit. Terdapat ribuan hidupan yang bergantung harap kepada hutan sebagai habitat utama dan sumber makanan.

Selain penting kepada haiwan dan mikroorganisma, hutan juga sangat penting untuk melindungi kawasan sekitar daripada bencana alam dengan mengikat tanah melalui rangkaian akarnya untuk mencegah tanah daripada kesan langsung titisan hujan yang jatuh.

Meskipun diketahui umum mampu bertindak sebagai penebat semulajadi bencana-bencana seperti banjir, penebangan hutan untuk menyediakan bahan mentah kepada industri moden tampak seperti tidak mampu untuk dielakkan kerana perindustrian seperti perabot, kertas dan sebagainya sangat bergantung kepada penebangan hutan untuk menyediakan sumber asli seperti kayu.

Jika tidak terkawal, tidak mustahil hutan-hutan semuanya akan habis ditebang dan pastinya akan menyebabkan pelbagai kesan pencemaran alam sekitar seperti banjir, hakisan tanah, tanah runtuh dan sebagainya.

Selain itu, kepupusan kayu-kayan yang bernilai tinggi seperti Cengal, Jati, Merbau, Meranti dan lain-lain boleh berlaku andai masalah penebangan hutan tidak diambil serius oleh pihak-pihak berwajib.

Gambar kredit Freepik

Isu-isu pembalakan haram sebagai contoh semakin menjadi-jadi dan sekiranya berterusan tidak mustahil negara akan berdepan dengan krisis kemusnahan hutan seperti kepupusan flora dan fauna serta kehilangan kawasan utama tadahan air.

Undang-undang sedia ada harus ditambah baik untuk mengelakkan kesan pencemaran alam sekitar terus menjadi belenggu dan dilema kepada negara (Sumber).

Bukan itu sahaja, hidupan-hidupan liar yang diambang kepupusan juga mungkin akan terus lenyap di dunia tanpa sebarang kesan.

Di Malaysia, jumlah populasi harimau Malaya telah dilaporkan semakin pupus dan antara puncanya adalah disebabkan kehilangan habitat serta sumber makanan akibat aktiviti pembalakan serta pencerobohan hutan (Sumber).

3. Kesan Pencemaran Alam Sekitar Akibat Pembangunan Pertanian

Gambar kredit Freepik

Pembangunan pertanian adalah peluasan peningkatan tanah pertanian di dalam produktiviti dan pengeluaran berkaitan pertanian.

Seiring dengan perkembangan moden, terdapat pelbagai teknologi canggih, aplikasi baja kimia, kemudahan teknik pengairan, pembangunan varieti benih dan sebagainya telah digunapakai untuk meningkatkan hasil-hasil di dalam bidang pertanian.

Kemajuan teknologi di dalam bidang pertanian dilihat berkembang maju dan mempunyai daya potensi yang amat tinggi. Peningkatan ini jika dilihat pada sudut positif telah memberi impak yang sangat bagus kepada keterjaminan dan keselamatan makanan untuk sesebuah negara.

Walaubagaimanapun, pembangunan pertanian juga sebenarnya telah mewujudkan kesan pencemaran alam sekitar yang tidak kita jangkakan. Antaranya adalah seperti kesan negatif penggunaan baja kimia dan racun serangga terhadap kesihatan manusia serta keseimbangan alam semulajadi.

Penukaran tanah hutan kepada ladang pertanian secara tidak terkawal akan mempercepatkan kadar hakisan tanah. Akibat peningkatan aktiviti pertanian secara besar-besaran juga, kadar pemusnahan hutan melalui amalan penanaman intensif, peningkatan penggunaan mesin jentera moden dan penggunaan bahan kimia untuk baja serta racun perosak semestinya pasti akan memberi kesan jangka masa pendek mahupun jangka panjang kepada alam sekitar.

4. Kesan Pencemaran Alam Sekitar Akibat Urbanisasi

Gambar kredit Freepik

Urbanisasi bermaksud perpindahan penduduk dari kawasan luar bandar ke pusat bandar. Bandar-bandar yang membangun akan memberikan jumlah peluang pekerjaan yang lebih baik dan perkara ini menarik perhatian penduduk di luar bandar untuk berpindah ke bandar-bandar besar.

Meskipun secara kasarnya, kesan urbanisasi boleh dilihat sebagai sesuatu perkara yang memberi manfaat kepada kadar pertumbuhan ekonomi sesuatu negara, namun begitu kesan negatifnya juga tetap ada.

Ketika tahap urbanisasi memuncak, kawasan-kawasan bandar akan menjadi lebih sesak dan seterusnya akan mengakibatkan pembentukan serta pertumbuhan kawasan setinggan yang besar. Kawasan-kawasan seperti ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada kesan pencemaran alam sekitar yang membimbangkan.

Masalah-masalah seperti pembuangan sampah sarap dan najis yang dikawal selia dengan betul akan meningkatkan pelbagai kesan buruk terhadap alam sekitar dan manusia.

Sebagai contoh, peningkatan penduduk di pusat bandar menggunakan sejumlah besar air untuk pelbagai tujuan. Air buangan terpakai seperti air kumbahan, jika tidak dirawat, mencemarkan sungai dan tasik kerana kumbahan bandar dibenarkan dialirkan ke dalamnya.