ayat majmuk cover

Ayat Majmuk. Definisi, Jenis dan Contoh

Apakah maksud kata majmuk, jenis ayat majmuk dan contoh penggunaan yang perlu anda tahu? Jom kita sama-sama ulas dan bincangkan.

Apakah maksud, jenis-jenis ayat majmuk dan contoh penggunaan yang perlu anda tahu? Jom kita sama-sama ulas dan bincangkan.

Sekiranya anda mencari informasi berkenaan ayat majmuk, barangkali artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk memahami definisi, jenis-jenis serta contoh di dalam Bahasa Melayu.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi dengan anda informasi lanjut tentang maksud dan penggunaannya untuk komunikasi serta penulisan di dalam kehidupan seharian. Semoga bermanfaat!

Apa itu Ayat Majmuk?

Apa itu Ayat Majmuk

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (Kamus Dewan Edisi Keempat), definisi ayat majmuk adalah kalimat yang mengandungi ataupun terdiri daripada dua atau tiga kalimat lain.

Berbeza dengan ayat tunggal yang mempunyai satu subjek dan satu predikat, ayat majmuk boleh mengandungi lebih daripada satu subjek mahupun predikat.

Ini bermaksud, ayat majmuk adalah hasil gabungan dua atau tiga ayat tunggal yang akan membentuk satu ayat yang lebih panjang menggunakan kata hubung yang sesuai.

Contoh-contoh ayat majmuk yang terbentuk daripada hasil gabungan dua ayat tunggal
adalah seperti berikut:

Ayat TunggalAyat Majmuk
Bayi itu menangis.
Bayi itu lapar.
Bayi itu menangis kerana lapar.
Kasim suka makan durian.
Kasim suka makan rambutan.
Kasim suka makan durian dan rambutan.
Suraya seorang yang rajin.
Adiknya pemalas.
Suraya seorang yang rajin tetapi adiknya pemalas.

Baca juga: 5 Kelebihan Menguasai Pelbagai Bahasa

Jenis-Jenis Ayat Majmuk

Ayat majmuk boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan dan ayat majmuk campuran. Penjelasan terperinci berkenaan jenis-jenis ayat majmuk tersebut adalah seperti yang dibincangkan di bawah.

Ayat Majmuk Gabungan

Ayat majmuk gabungan mengandungi lebih daripada satu jenis ayat tunggal dan digabungkan menggunakan kata hubung. Contoh kata hubungan seperti dan, serta, atau tetapi.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan tanda koma (,) untuk menggantikan kata hubung tertentu pada ayat majmuk.

Dalam ayat majmuk gabungan ada tiga jenis ayat majmuk iaitu:

Kata Majmuk – Ayat Majmuk GabunganPenjelasan
Gabungan berurutanMenggunakan kata hubung untuk menunjukkan setara seperti dan, serta, lalu, sambil, malahan.
Gabungan bertentanganMenggunakan kata hubung untuk menggambarkan pertentangan seperti tetapi, sebaliknya, melainkan, kecuali.
Gabungan berpasanganMenggunakan kata hubung untuk menggabungkan dua ayat berpasangan seperti daripada, sama ada, ataupun, lebih baik.
Gabungan susunan faktaMenggunakan kata hubung untuk memilih seperti atau.

Ayat Majmuk Pancangan

Ayat majmuk pancangan terbina daripada ayat-ayat yang tidak sama tarafnya, iaitu satu ayat utama / ayat induk dan satu ayat kecil yang dipancangkan ke dalam ayat induk.

Ayat pancangan terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

Kata Majmuk – Ayat Majmuk PancanganPenjelasan
Ayat relatifMenggunakan kata relatif yang memancangkan ayat kecilnya dan menggantikan bahagian fasa yang berulang dengan kata hubung yang.
Ayat komplemenMengandungi ayat induk dan klausa komplemen dengan menggunakan kata hubung bahawa, untuk, agar, supaya.
Ayat keteranganMengandungi ayat induk dan ayat kecil yang bertindak sebagai keterangan predikat.

Ayat Majmuk Campuran

Ayat majmuk campuran pula mengandungi lebih daripada satu ayat dengan campuran ayat tunggal, serta pelbagai jenis ayat majmuk dengan menggunakan pelbagai kata hubung.

Ayat ini biasanya panjang dan proses penggabungannya lebih kompleks daripada yang dinyatakan di atas.

Contoh Penggunaan Ayat Majmuk

Berikut adalah contoh penggunaan ayat majmuk mengikut jenis-jenisnya.

Penggunaan Ayat Majmuk Gabungan

Contoh Kata HubungContoh Ayat
i) sambilAyat 1: Beliau memandang saya.
Ayat 2: Belia tersenyum
Ayat majmuk: Beliau memandang saya sambil tersenyum
ii) danAyat 1: Farhan bermain badminton.
Ayat 2: Raju bermain badminton.
Ayat majmuk: Farhan dan Raju bermain badminton.
iii) tetapiAyat 1: Shahrul rajin berniaga.
Ayat 2: Anaknya tidak berminat berniaga
Ayat majmuk: Shahrul rajin berniaga tetapi anaknya tidak minat sekali.
iv) daripadaAyat 1: Kita makan gaji.
Ayat 2: Lebih baik bekerja sendiri
Ayat majmuk: Daripada kita makan gaji, lebih baik bekerja sendiri.

Penggunaan Ayat Majmuk Pancangan

Contoh Kata HubungContoh Ayat
i) yangAyat induk: Ella menjahit seluar.
Ayat kecil: Seluar itu berwarna hijau.
Ayat majmuk: Ella menjahit seluar yang berwarna hijau.
*Perkataan seluar diulang, maka perkataan seluar yang kedua perlu digugurkan dan digantikan dengan kata hubung yang.
ii) bahawaAyat induk: Saya tidak tahu.
Ayat kecil: Dia sudah berpindah.
Ayat majmuk: Saya tidak tahu bahawa dia sudah berpindah.
iii) keranaAyat induk: Kami pulang ke kampung.
Ayat kecil: Nenek tidak sihat.
Ayat majmuk: Kami pulang ke kampung kerana nenek tidak sihat.

Penggunaan Ayat Majmuk Campuran

Anda boleh menggunakan formula mudah ini untuk membuat ayat majmuk campuran: Ayat tunggal + kata hubung + ayat majmuk

Contoh Kata HubungContoh Ayat
i) tetapiAyat tunggal: Ali sedang membaca buku.
Ayat majmuk: Kawan-kawannya yang sudah letih telah lama tidur.
Ayat lengkap: Ali sedang membaca buku tetapi kawan-kawannya yang sudah letih telah lama tidur.
ii) manakalaAyat tunggal: Linda sedang menulis karangan.
Ayat majmuk: Ibu sedang memasak untuk tetamu yang akan datang ke rumah
Ayat lengkap: Linda sedang menulis karangan manakala ibu sedang memasak untuk tetamu yang akan datang ke rumah

Kesimpulan

Ayat Majmuk

Diharapkan semoga perkongsian kami ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sekiranya terdapat kesilapan informasi, mohon seribu kemaafan dan kami amat berbesar hati sekiranya kalian dapat memberi teguran terus agar pembetulan dapat dibuat. Terima kasih!

Semua gambar kredit kepada Freepik

Sumber Rujukan
  1. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus Bahasa Melayu, Carian kata kunci “Ayat Majmuk”. Retrieved from dbp.gov.my.
  2. Abdullah, Kamsiah. “Persoalan kata majmuk dalam bahasa Melayu.” (1999). Available from: nie.edu.sg
  3. Jendela Dewan Bahasa dan Pustaka (JendelaDBP). Perihal Kata Majmuk. Retrieved from jendeladbp.my.
  4. Jendela Dewan Bahasa dan Pustaka (JendelaDBP). Analisis Ayat Majmuk Berdasarkan Pola Ayat Dasar. Retrieved from jendeladbp.my.
  5. Google Sites (BM Tatabahasa). Ayat Tunggal dan Ayat Majmuk. Retrieved from sites.google.com.