5 Kelebihan Menguasai Pelbagai Bahasa

Sebenarnya, terdapat banyak kelebihan menguasai pelbagai bahasa yang masih tidak diketahui umum. Maka tidak hairanlah masih ramai yang masih endah tak endah.

Dalam dunia globalisasi pada masa kini, mobiliti telah semakin dipermudahkan. Tiada lagi halangan dalam mempelajari apa jua cabang ilmu pengetahuan. Sesiapa sahaja boleh belajar perkara-perkara baharu dalam kehidupan mereka.

Mempelajari pelbagai bahasa contohnya mempunyai manfaat yang sangat luar biasa. Selain daripada manfaat kognitif, kelebihan menguasai pelbagai bahasa mampu membangunkan otak dwibahasa sehingga boleh mengubah kehidupan seseorang secara peribadi mahupun profesional.

Ada banyak kelebihan menguasai pelbagai bahasa yang boleh diceritakan, tetapi pada posting kali ini kita akan membincangkan lima kelebihan menguasai pelbagai bahasa yang paling utama.

1. Mampu Mempertingkatkan Kemahiran Komunikasi

Selain mampu bertutur secara dwibahasa, antara kelebihan menguasai pelbagai bahasa yang paling utama adalah ianya mampu mempertingkatkan kemahiran anda berkomunikasi.

Dengan mempelajari pelbagai bahasa, anda sebenarnya telah memperkasakan kemahiran berkomunikasi dengan memberi lebih perhatian terhadap cara penggunaan bahasa anda sendiri. Melalui penguasaan bahasa yang pelbagai, anda boleh memahami dengan lebih mendalam apa maksud dan penggunaan sesuatu perkataan dengan lebih baik.

Lebih banyak pemahaman terhadap kata dan ayat untuk pelbagai bahasa, lebih besar kemungkinan untuk melihat persamaan atau perbezaan yang halus di antara bahasa-bahasa tersebut. Inilah salah satu masalah yang sering dihadapi oleh para monolinguistik yakni mereka yang hanya faham satu jenis bahasa sahaja.

Dalam erti kata lain, menguasai pelbagai boleh mengukuhkan tatabahasa, penulisan dan penyuntingan anda di samping menjadi komunikator keseluruhan yang lebih baik dalam bahasa ibunda anda sendiri.

2. Mampu Meningkatkan Kreativiti

Antara kelebihan menguasai pelbagai bahasa yang lain adalah ianya mampu meningkatkan tahap kreativiti seseorang.

Pembelajaran pelbagai bahasa dikatakan mampu menambah kreativiti seseorang. Mempelajari cara untuk menyusun atur perkataan baharu untuk berkomunikasi dengan berkesan memerlukan penggunaan otak yang seakan-akan sama seperti ketika membentuk pemikiran yang kreatif.

Satu kajian mendapati bahawa golongan dwibahasa adalah lebih kreatif daripada golongan ekabahasa menurut ujian Torrance Tests of Creative Thinking (TTCT), yang menilai kefasihan, fleksibiliti, keaslian dan penghuraian1.

Tambahan pula, pembelajaran bahasa adalah sesuatu yang menyeronokkan. Apabila anda gembira ketika sesi pembelajaran, secara tidak langsung anda akan lebih berpontensi untuk menjadi lebih kreatif.

Baca juga: 5 Kebaikan Menabung kepada Pelajar

3. Mampu Meningkatkan Kuasa Otak

Bahasa asing merupakan sistem peraturan, struktur dan leksis yang rumit. Mempelajari bahasa baharu bermakna otak anda perlu mengatasi kerumitan ketika ianya sedang difahami akal dan menyerap corak baharu.

Apabila otak kita cuba untuk memikirkan makna, berusaha untuk berkomunikasi, kemahiran pembelajaran utama seperti pemikiran kognitif dan penyelesaian masalah kita akan lebih berkembang maju.

Faedahnya yang ketara adalah ianya mampu melahirkan kemahiran berfikir secara kritis yang lebih matang dan mantap.

4. Menjadi Lebih Baik dalam Pelbagai Bidang Kerja

Menurut satu kajian dari Pennsylvania State University, mereka yang menguasai pelbagai bahasa dan mahir untuk beralih daripada satu sistem bahasa ke sistem bahasa yang lain akan menjadi lebih baik dalam pelbagai bidang kerja2.

Dengan ini golongan dwibahasa mampu menangani pelbagai tugas-tugas kritikal dengan mengabaikan maklumat yang tidak relevan. Selain itu, golongan ini juga dikatakan boleh mengembangkan keupayaan untuk berfikir dalam bahasa yang berbeza dan berganjak daripada satu perkara ke perkara yang lain.

5. Membuka Peluang Kerjaya yang Lebih Baik

Tidak dinafikan pada era globalisasi masa kini, penguasaan bahasa-bahasa asing mampu membuka peluang kerja yang lebih luas.

Individu yang boleh bertutur dalam pelbagai bahasa secara teorinya telah mendahului pesaing mereka di tempat kerja. Dwibahasa bukan sahaja mewujudkan jaminan pekerjaan, malahan juga berpotensi untuk membimbing kepada kemajuan dan kenaikan kerjaya.

Selain itu, terdapat beberapa bidang kerjaya atas permintaan tertentu yang bergantung kepada mereka yang mempunyai kelebihan menguasai pelbagai bahasa, seperti juru bahasa atau penterjemah.

Malah, terdapat juga ujian bahasa asing wajib untuk individu yang mencari peluang kemajuan kerjaya dalam bidang kerajaan.

Kesimpulan

Natijahnya, mempelajari bahasa kedua adalah berfaedah. Sangat berfaedah, di mana realitinya, banyak sekolah telah menerapkan pendidikan secara dwibahasa ini.

Pembelajaran bahasa dapat membantu mengembangkan kemahiran kognitif yang kuat, sebagaimana pembentukan konsep yang lebih baik, fleksibiliti mental, berbilang tugasan, kemahiran mendengar dan penyelesaian masalah, di samping meningkatkan interaksi sosial dan hubungan yang menggalakkan antara rakan sebaya.

Jika boleh, asas untuk menguasai lain-lain bahasa mungkin juga boleh diterapkan secara santai ketika prasekolah lagi. Tak perlu silibus yang membebankan, cukuplah kata-kata asas untuk anak-anak tahu terdapat pelbagai bahasa yang boleh dipelajari.

Bukan sahaja boleh membantu kita semasa melancong, bahasa juga merupakan kelebihan yang hebat untuk dipelajari secara umum dan untuk prospek kerjaya di luar negara.

Jadi, apakah bahasa anda yang seterusnya?


Sumber Rujukan:
1. The Effects of Foreign Language Learning on Creativity
2. Language juggling rewires bilingual brains

All images credit to Freepik