Kebaikan Menabung

5 Kebaikan Menabung kepada Pelajar

Terdapat banyak kebaikan menabung khususnya untuk para pelajar. Ini adalah beberapa kebaikan menabung untuk pelajar yang perlu kita ambil peduli.

Terdapat banyak kebaikan menabung khususnya untuk para pelajar. Ini adalah beberapa kebaikan menabung untuk pelajar yang perlu kita ambil peduli.

Selain berteraskan matlamat ke arah pengurusan kewangan yang lebih baik, amalan menabung juga perlu dipupuk pada peringkat awal jika kita mahu berjaya dalam kehidupan. Para pelajar harus lebih ambil peduli tentang kebaikan menabung sebagai salah satu perkara yang penting dalam kehidupan mereka seharian.

Kebaikan Menabung kepada Pelajar

Amalan menabung akan mewujudkan simpanan wang yang mampu memberi jaminan keselamatan tatkala kecemasan. Dengan adanya jaminan seperti ini, kerisauan tentang kapasiti dan kesediaan wang tunai dapat dikurangkan.

Berikut adalah lima kebaikan menabung untuk pelajar yang perlu kita semua ketahui. Ianya bukan sekadar jaminan wang semata-mata, malah kebaikan dan fungsinya lebih daripada itu.

1. Kebaikan Menabung untuk Memupuk Disiplin Bangsa Menabung

Bangsa menabung bukan sahaja mampu memberi faedah kepada keselamatan dan jaminan kewangan, bahkan ianya juga mampu memupuk disiplin yang tinggi di kalangan para pelajar.

Jika anda sebagai seorang pelajar mampu istiqamah dengan amalan menabung dengan wang belanja seharian yang kecil, sudah pastinya kelak di kemudian hari anda pasti tiada masalah untuk terus konsisten menabung dengan sumber kewangan yang lebih stabil ketika menempuh alam pekerjaan.

Jatidiri dan disiplin seseorang pelajar untuk menjadi bangsa menabung wajar diasuh sejak dari zaman persekolahan lagi. Bermula dengan wang saku pemberian ayah atau ibu, para pelajar boleh terus menabung ketika berada di kampus dan selanjutkan terus konsisten tatkala menerima gaji bulanan.

Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Itulah prinsip dan disiplin yang perlu diterapkan ke dalam hati sanubari setiap pelajar.

2. Kebaikan Menabung untuk Jaminan Keselamatan

Amalan dan budaya menabung secara malar dan sistematik mampu menyiapkan para pelajar untuk menghadapi sebarang masalah atau ketidaktentuan kewangan. Inilah apa yang dimaksudkan sebagai jaminan keselamatan.

Simpanan wang seperti ini sangat membantu pada masa kecemasan dan jaminan keselamatan kewangan dapat diwujudkan untuk pelajar sekiranya berlaku sebarang kemalangan atau kejadian yang tidak diingini.

Mempunyai wang tunai yang sedia ada pada bila-bila masa amatlah berguna dan penting. Insurans sememangnya bagus, tetapi kebiasaannya jaminan keselamatan kewangan yang disediakan dengan baik adalah satu kemestian!

Kebaikan Menabung Pelajar

Baca juga: 5 Kebaikan Internet untuk Perniagaan

3. Kebaikan Menabung untuk Meringankan Kos Perbelanjaan yang Meningkat

Untungnya menjadi seorang pelajar adalah sedia ada diskaun dan voucher yang boleh dioptimumkan untuk penggunaan seharian.

Meskipun nilai penjimatan tidaklah begitu signifikan, tetapi jika para pelajar mendedikasikan jumlah tersebut penuh ke dalam tabungan, pasti nilainya sedikit sebanyak mampu untuk meringankan kos-kos perbelanjaan yang semakin meningkat naik.

Dinasihatkan agar anda gunakan kelebihan ini semaksima yang mungkin kerana tiada lagi diskaun pelajar sebaik sahaja anda tamat pengajian.

4. Kebaikan Menabung untuk Masa Depan yang Lebih Baik

Dengan mempraktikkan amalan menabung, sudah pastinya masa depan akan menjadi lebih baik. Tetapi, bagaimana pula masa depan pelajar boleh menjadi lebih baik?

Apabila mengetahui bahawa anda mempunyai jumlah terkumpul sebagai jaminan keselamatan, ketenangan fikiran dan masa depan yang lebih baik boleh dikecapi.

Sebagai contoh, jika Ahmad sebagai seorang pelajar sudah mula menabung RM5 sehari bermula di universiti sehingga melangkah ke alam belia berusia 25 tahun; sudah pasti sekurang-kurang RM10,000 wang hantaran perkahwinan dapat dikumpulkan dengan jayanya. Tiada pinjaman bank diperlukan!

Anda boleh menikmati perkara hebat dalam kehidupan serta menjamin masa depan yang lebih baik.

5. Kebaikan Menabung untuk Mencapai Matlamat Jangka Pendek

Simpanan wang boleh menjadi jawapan kepada beberapa matlamat anda. Anda boleh membeli rumah, mengumpul dana untuk pelaburan, atau membeli kenderaan.

Menyimpan wang bukan sahaja untuk bersedia bagi perbelanjaan jangka panjang. Anda juga boleh mendapat manfaat daripada simpanan dalam jangka pendek.

Jika anda mempunyai strategi penyimpanan yang baik, maka anda tidak perlu panik dan tertanya-tanya bagaimana anda mahu mencari wang tunai apabila rakan-rakan anda mengajak bercuti atau ke luar negara untuk mencari peluang latihan praktikal.

Kesimpulan

Para pelajar masa kini boleh dikatakan ramai yang boros dan mengandaikan bahawa mereka sentiasa boleh kembali dan menambah dana wang tunai mereka di kemudian hari.

Ini adalah persepsi atau tanggapan yang salah. Jika para pelajar tidak mampu bermula dengan nilai wang saku yang kecil, mana mungkin mereka mampu untuk menabung dengan gaji bulanan yang lebih besar.

Mengekalkan belanjawan pelajar tidaklah selalunya mudah, tetapi terdapat cara-cara untuk mengurangkan kos semasa sebagai seorang pelajar. Malah, simpanan adalah penting untuk semua orang, tanpa mengira pendapatan, perbelanjaan dan peringkat kehidupan mereka.

All images credit to Freepik