Kesihatan

Cara Menjaga Kebersihan Diri dan Persekitaran

Asas kebersihan diri dan persekitaran amat penting untuk setiap individu. Malangnya, isu kebersihan selalu dipandang remeh oleh masyarakat. Berikut adalah cara-cara menjaga kebersihan diri dan persekitaran untuk rujukan semua.

Tubuh badan adalah anugerah dan amanah Allah yang dipinjamkan kepada setiap manusia. Justeru itu, kita wajiblah menjaga kebersihan tubuh badan dengan baik dan bertanggungjawab.

Pada suatu masa nanti, jasad kita akan diambil semula oleh Pencipta dan Pemiliknya. Sebolehnya, kita terima dalam keadaan baik, maka kita berusahalah untuk pulangkan semula dalam keadaan yang terbaik.

Walau apa jua pun takdir yang akan berlaku yang mungkin berada diluar kawalan kita, namun sekurang-kurangnya kita telah berusaha sebaik mungkin untuk menjaganya.

Maksud Kebersihan Diri

Secara asasnya, apabila kebersihan badan dijaga dengan baik, secara tidak langsung badan akan menjadi sihat. Apabila badan sihat, kita dapat menjalani aktiviti harian dan kehidupan dengan baik.

Antara perkara utama dalam penjagaan tubuh badan ialah menjaga kebersihan diri. Kebersihan diri adalah kebersihan tubuh badan yang perlu dipelihara sebaiknya oleh setiap individu untuk menjamin kesihatan dan kesejahteraan hidup.

Menjaga kebersihan diri juga adalah salah satu amalan gaya hidup sihat yang harus dipraktikkan oleh setiap individu tak kira umur, bangsa dan agama. Jika asas kebersihan diri tidak dijaga, tubuh badan akan mudah dijangkiti penyakit dan seterusnya menjejaskan aturan jadual kehidupan kita.

Contohnya apabila kita dijangkiti selsema. Kebiasaanya tubuh badan akan mula rasa tidak selesa. Pernafasan terasa sukar, deria rasa terjejas malah tidur pun terganggu. Bila tidur tak cukup, kerja di pejabat atau segala aktiviti harian pun akan menjadi kelam kabut dan tidak terurus.

Kepentingan Menjaga Kebersihan Diri

Menjaga kebersihan diri melambangkan disiplin dan sikap seseorang individu, atau dengan bahasa mudahnya: rajin atau malas.

Kalau nak jaga kebersihan badan pun dah tak berapa nak rajin, macam mana agaknya kita mahu uruskan perkara lain seperti kebersihan rumah, persekitaran tempat tinggal, tempat awam dan sebagainya.

Kebersihan diri dan amalan kehidupan harian sebenarnya saling berkait rapat di antara satu sama lain. Selalunya, individu yang menjaga kebersihan diri akan turut memelihara kebersihan kawasan persekitarannya.

Maka tidak hairanlah jika kita berjumpa dengan individu yang tidak boleh hidup dalam keadaan yang berselerak atau kotor.

Berikut ialah kepentingan menjaga kebersihan diri:

  1. Kebersihan diri tuntutan agama. Bagi orang Islam, kebersihan ialah sebahagian daripada Iman.
  2. Kebersihan diri adalah lambang sifat disiplin diri.
  3. Mengurangkan risiko jangkitan penyakit.
  4. Menjaga penampilan diri dan membina keyakinan diri untuk bergaul dan berdepan dengan masyarakat.
  5. Mewujudkan suasana yang selesa.

Cara-Cara Menjaga Kebersihan Diri

Cara menjaga kebersihan diri ini kita boleh kongsikan dengan anak-anak kita sebagai panduan dalam kehidupan mereka.

Amalan-amalan dan cara menjaga kebersihan diri ini boleh dilakukan seawal usia bayi lagi. Bak kata pepatah Melayu: Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Nak ajar anak, kita dulu kena buat. Tak mahu jadi ketam mengajar anak berjalan betul, ya. Kita haruslah berpegang kepada prinsip kepimpinan melalui teladan.

Caranya mudah saja iaitu didik mengikut peringkat umur dan kemampuan mereka untuk melakukannya. Kita sebagai orang dewasa atau ibu bapa boleh jadi ‘role model’ untuk mereka.

Kita dah ketahui apakah kebersihan diri dan apakah kepentingan menjaga kebersihan diri. Sekarang, jom kita ketahui pula bagaimana cara-cara menjaga kebersihan diri.

1. Mandi Secara Teratur

Membersihkan badan dengan mandi secara teratur adalah cara menjaga kebersihan diri yang paling asas dan wajib dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang.

Jika cuaca panas atau anda melakukan aktiviti yang menyebabkan badan anda berpeluh, anda mesti mandi selepas melakukan semua aktiviti ini bagi membersihkan badan.

  • Mandi dengan menggunakan sabun dan bersihkan seluruh badan.
  • Cuci rambut menggunakan syampu, sekurang-kurangnya seminggu 3 kali.
  • Berus kaki dengan berus khas atau berus lembut untuk membersihkan kaki terutamanya setelah anda melakukan aktiviti yang menyebabkan kaki kotor.
  • Lap badan dan rambut dengan tuala bersih.
  • Pakai pakaian yang bersih dan rapikan diri.

2. Bersihkan Gigi dan Mulut

Antara cara menjaga kebersihan diri yang paling utama adalah melalui penjagaan gigi dan mulut.

Sehari sahaja kita tidak gosok gigi pasti akan terasa sangat tidak selesa bukan? Ini menunjukkan betapa pentingnya kita untuk menjaga kebersihan gigi dan mulut.

Ini tips bagaimana untuk menjaga kebersihan gigi dan mulut dengan lebih baik dan optimum.

  • Gosok gigi sekurang-kurangnya 2 kali sekali iaitu pada waktu bangun tidur dan sebelum tidur.
  • Digalakkan juga untuk gosok gigi setiap kali selepas makan dan minum dan juga selepas makan sesuatu yang boleh menyebabkan bau kurang enak pada mulut anda.
  • Bagi orang Islam, antara Sunnah Rasulullah (SAW) ialah bersugi (menggosok gigi) setiap kali sebelum berwuduk untuk menunaikan solat.
  • Sebaiknya, guna ubat gigi yang mengandungi florida untuk berikan rasa segar dan membantu menghindari bau kurang menyenangkan dari mulut.
  • Berkumur gunakan produk khas untuk berkumur pun boleh, contohnya Listerine.
  • Lakukan rutin pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya 2 kali setahun untuk memeriksaan keadaan gigi kita dan jangan takut jumpa doktor gigi tau!

Nampak tak, Islam sangat menitikberatkan kebersihan. Lagi sekali, kebersihan itu sebahagian daripada iman. Gosok gigi sebelum berwuduk pun dapat pahala. Tak nak ke rebut peluang mudah nak dapat pahala?

3. Cuci Tangan

Mencuci tangan dengan teknik dan kaedah yang betul juga merupakan salah satu cara menjaga kebersihan diri yang penting di dalam kehidupan kita seharian.

Sebabnya cukup mudah. Apa-apa sahaja perkara dan aktiviti yang kita lakukan seharian pastinya akan menggunakan tangan bukan? Jadi kita seharusnya menitikberatkan kebersihan dengan kerap mencuci tangan.

Ini kerana tangan adalah anggota badan yang paling mudah kotor atau dijangkiti kuman yang boleh menyebabkan penyakit berjangkit terkena pada diri kita sendiri mahupun orang lain.

Contohnya ialah virus Covid-19, yang mana langkah penjagaan diri yang paling perlu diutamakan ialah mencuci tangan dengan cara yang betul.

4. Rawat Kulit Wajah dan Perapian Diri

Tak kiralah anda lelaki atau wanita, jadikan rutin merawat kulit wajah dan perapian diri sebagai rutin harian. Perapian diri amat penting untuk memastikan kebersihan dan kekemasan penampilan diri kita di mata masyarakat.

Perapian diri juga ada disebub sebagai sunnah Rasulullah yang disebutkan seperti berikut:

“Fitrah itu ada lima;
1. Berkhitan
2. Istihdad (mencukur bulu ari-ari)
3. Menggunting misai
4. Memotong kuku
5. Mencabut bulu ketiak”.
Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.

Ini ada beberapa panduan dan tips yang boleh diamalkan untuk merawat wajah dan merapikan diri:

  • Cucilah muka dengan menggunakan pencuci muka. Janganlah asal boleh saja, sabun badan pun tonyoh kat muka sebagai ganti pencuci muka.
    (It’s a big no ya! pH sabun badan tak sesuai untuk kulit wajah. Jangan amalkan, rosak kulit wajah nanti)
  • Cuba check kuku tangan dan kaki. Panjang ke pendek? Bersih ke tidak? Jangan pandang remeh penjagaan kuku tangan dan kaki.
  • Tak perlu pun nak pergi spa buat manicure & pedicure, potong sahaja sendiri kuku kat rumah, bersihkan elok-elok.
  • Buat yang asas saja sudah memadai untuk merapikan diri. Bagi lelaki, misai dan jambang haruslah dijaga dan dirapikan supaya kemas
  • Rambut pun mesti di potong atau di trim secara berkala.

Terpulang nak tampilkan dengan gaya macam mana, yang penting utamakan kebersihan dan kekemasan. Begitu juga dengan bahagian badan yang lain, semua keja ambil peduli dan jaga: bersihkan dan rapikan.

6. Cegah Bau Badan

Alamak! Penampilan dan gaya dah wow sangat, tapi bau badan la pulak buat punah semuanya. Awas ya, bau badan boleh mencerminkan tahap kebersihan diri seseorang.

Ini cara-cara untuk mecegah bau badan yang paling efektif:

  • Mandi dengan sabun secara teratur, keringkan badan dengan tuala bersih dan pakai pakaian yang bersih.
  • Gunalah deodorant untuk membantu mencegah bau badan. Pilih deodorant yang selamat dan tidak mengandungi bahan kimia berbahaya.
  • Anda juga boleh menyembur minyak wangi sebagai tambahan untuk menyerlahkan penampilan diri dan meningkatkan keyakinan diri.

Namun begitu, jangan semata-mata gunakan minyak wangi untuk menutup bau badan, kerana bau badan akan bertambah teruk apabila bercampur bau minyak wangi.

Jadi, cegah dulu bau badan, kemudian diikuti dengan pakai minyak wangi. Anda pasti tampil dengan penuh keyakinan tanpa bau badan.

7. Menjaga Kebersihan Pakaian

Kalau kebersihan diri sudah elok dijaga tetapi masih pakai pakaian yang tak dibasuh, tak jadi juga. Pastikan basuh pakaian setiap kali selepas anda memakainya.

Kita harus pastikan kebersihan dan kesucian pakaian terutamanya ketika hendak menunaikan solat. Periksa dahulu pakaian tu daripada segi bau, keadaan fizikal dan tahap kebersihan sebelum anda memakainya berulang kali.

Tak susah pun nak basuh pakaian zaman sekarang ni, bukan nak kena ke sungai pun cuci hehe. Campak sahaja masuk mesin basuh atau bawa pergi dobi. Selesai!

Cara-Cara Menjaga Kebersihan Alam Sekitar

Tak kiralah di mana kita tinggal, rumah macam mana pun, persekitaran macam mana pun, kebersihan tempat tinggal mesti kita utamakan.

Jangan ada yang beranggapan:

Ala, aku duduk rumah sewa jer, buat apa nak jaga kebersihan rumah ni.

Amboi sangat ni. Itu semua alasan ya. Semuanya adalah berpunca dari masalah sikap dan disiplin. Nak atau tak nak saja. Rajin atau malas saja.

Macam mana kita nak jadikan hidup kita lebih baik jika perkara asas macam ini pun kita tak mahu buat?

Rumah sewa ke, rumah macam pondok ke atau hostel sekalipun, ia tetap tempat kediaman kita. Tiap-tiap hari kita tinggal dan menjalani kehidupan kita di rumah, sanggup kita hidup dalam keadaan kotor, berselerak dan tidak terurus?

Berikut adalah beberapa cara mudah untuk menjaga kebersihan alam sekitar yang boleh kita contohi.

1. Mulakan Dari Dalam Rumah Sendiri

Tak susah pun, hanya mulakan berkemas, bersihkan dan buang apa yang tidak perlu di dalam rumah anda.

Anda boleh sediakan 3 kotak khas untuk barang untuk dibuang, untuk dikitar semula dan untuk di simpan. Pastikan kita amalkan disiplin dalam diri masing-masing dan juga sesama anggota keluarga untuk sentiasa menjaga kebersihan di dalam rumah dan kawasan sekitar.

Percayalah. Bila kediaman kita dah bersih, kita akan semakin rasa segar, selesa dan seronok berada di dalamnya. Yang paling penting ialah kita telah pun berjaya hidup dalam kediaman yang bersih untuk menjadikan tubuh badan kita lebih sihat dan suasana yang lebih ceria.

2. Tingkatkan Keceriaan dan Suasana di Persekitaran Rumah

Nak tips mudah tingkatkan lagi keceriaan dan suasana yang lebih segar di dalam rumah?

Cuba letakkan sepokok atau beberapa pokok indoor plant di dalam rumah anda. Rumah anda akan kelihatan lebih berseri-seri, ceria dan anda pasti dapat rasakan aura rumah bersih macam mana berbanding sebelumnya.

3. Tetapkan dan Amalkan Rutin Penjagaan Kebersihan Secara Berkala

Untuk memastikan rumah dan kawasan persekitaran kita sentiasa bersih dan terjaga, kita harus menetapkan dan mengamalkan beberapa rutin penjagaan kebersihan.

Antara rutin menjaga kebersihan yang perlu kita lakukan secara berkala adalah seperti berikut:

  • Membuang sampah setiap hari.
  • Sentiasa dan mengemas membersihkan pinggan-mangkuk.
  • Membasuh bilik air dan dapur seminggu sekali.
  • Menyapu/vakum lantai dan mengemop lantai seminggu sekali.
  • Menyapu halaman atau beranda rumah seminggu sekali.
  • Membasuh langsir dan membersihkan peti ais sebulan sekali.
  • Mengelap habuk di perabot dan membersihkan sawang sebulan sekali.
  • Membersihkan kipas dan filter penghawa dingin sebulan sekali.

Lakukan secara konsisten dan dapatkan kerjasama daripada semua ahli keluarga, pasti ia tidak membebankan.

3. Tidak Membuang Sampah Di Merata-Rata Tempat

Masyarakat kita selalu membuang sampah di merata-rata tempat dan apa yang menyedihkan adalah kita melakukannya seperti tiada langsung rasa bersalah.

Apa gunanya tong sampah yang disediakan kerajaan jika kita masih berdegil membuang sampah di atas jalan, di dalam sungai, di taman-taman permainan dan sebagainya.

Sikap ini harus dihentikan serta merta jika kita mahu mengekalkan flora dan fauna untuk tatapan anak cucu kita pada kemudian hari.

Kesimpulan

Jadikan amalan menjaga kebersihan diri walau di mana jua kita berada. Contohnya jika kita ingin makan di luar, kita boleh memilih restoran atau gerai makanan yang bersih.

Begitu juga jika pada musim berlakunya wabak atau penyakit yang mudah merebak dan berjangkit, kita punyai pilihan untuk berada di rumah sahaja atau menghadkan pergerakan keluar dari rumah.

Pastikan tangan sentiasa dicuci dengan cara yang betul. Sentiasa bawa hand sanitiser dan mask semasa kita keluar. Letak saja di dalam beg yang kita boleh ambil dan guna saat-saat ia diperlukan.

Elakkan berada di tempat yang persekitaran tidak bersih seperti tempat awam yang ramai orang sedang merokok, tempat pembinaan dan kawasan yang tercemar. Ia boleh menyebabkan badan kita tidak sihat dan mudah dijangkiti penyakit.

Inilah antara cara menjaga kesihatan yang dapat kami kongsikan dengan anda. Penjagaan diri adalah tanggungjawab setiap individu. Kita perlu jalankan peranan masing-masing untuk menjaga kesihatan diri dan komuniti.

Kebersihan diri adalah kunci utama untuk mendapat tubuh badan yang sihat. Tubuh badan yang sihat membolehkan kita menjalankan aktiviti dengan baik dan membantu memberikan kehidupan yang ceria. Jadikan menjaga kebersihan diri sebagai amalan harian dalam kehidupan kita sekeluarga.

Baca juga: Kebaikan Flavettes Glow untuk Kesihatan dan Kecantikan



Sumber Rujukan:
1. Kementerian Kesihatan Malaysia
2. Wikipedia Bahasa Melayu


All images credit to Pixabay