Selain dijadikan ulam, banyak khasiat pegaga untuk kesihatan dan kecantikan yang ramai tidak tahu. Shh… ini rahsia untuk penggemar pegaga sahaja.
Terdapat banyak khasiat pegaga untuk kesihatan dan kecantikan yang rasanya masih ramai tidak tahu.
Pegaga atau nama saintifiknya Centella Asiatica ialah sayur-sayuran yang selalunya dijadikan ulam-ulaman yang dimakan bersama-sama dengan budu, sambal belacan dan sambal tempoyak. Makan pula dengan nasi panas, ikan goreng dan sejenis lauk berkuah sudah memadai. Terus kelaut azam kuruskan badan!
Pegaga juga boleh dijadikan pelbagai menu selain dimakan mentah sebagai ulam. Pegaga boleh dibuat kerabu, masak lemak pegaga, pegaga goreng belacan dan terpulang kepada kreativiti dan skill memasak masing-masing.
Pernah cuba menu atau resepi berasaskan pegaga? Kalau belum pernah, anda mesti cuba, memang sedap.
Rasa pegaga yang unik iaitu sedikit pahit namun sedap, menjadikan ia ulam-ulaman yang sentiasa menjadi pilihan penggemar ulam-ulaman.
Tapi, ada juga orang yang tak suka langsung dengan rasa pegaga. Maka terpulang pada selera masing-masing.
Namun, jangan terus menolak, kerana apabila anda ketahui khasiat-khasiat pegaga untuk kesihatan dan kecantikan yang akan saya kongsikan ini, anda kena pertimbangkan semula untuk cuba makan dan menyukai pegaga.
Pegaga sangat berkhasiat untuk ibu berpantang. Digalakkan agar para-para ibu yang sedang dalam pantang untuk mengamalkan daun pegaga untuk dimakan atau diminum jusnya.
Khasiatnya adalah seperti:
Membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka
Melancarkan dan meningkatkan pengeluaran susu badan
Melancarkan darah nifas keluar
Melancarkan peredaran darah
Meningkatkan kekuatan fizikal
Membantu menyegarkan badan
Selain itu, sebagai bonus daripada khasiat yang diperolehi yang dinyatakan di atas, pegaga juga dapat membantu menjadikan wanita awet muda.
Iyelah, bila badan dah sihat, pengaliran darah pun baik, badan pun segar, maka secara keseluruhan badan kita akan jadi sihat. Aura kecantikan akan terserlah pada wajah.
Khusus buat wanita yang bakal bersalin atau sedang dalam pantang sekarang, amalkan pegaga dalam diet menu pantang anda. Anda juga boleh cuba resepi kerabu pegaga dibawah khas untuk ibu-ibu berpantang.
Jus Pegaga untuk Awet Muda
Pegaga juga boleh dijadikan sebagai jus. Ia mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan bagi kaum wanita dan lelaki. Kita boleh buat sendiri jus pegaga atau nak mudah beli saja yang dijual, kerana jus pegaga banyak dijual secara komersial.
Wow. Kita tak perlukan kos yang besar rupanya untuk awet muda. Guna pegaga pun boleh!
Kalaulah dari dulu lagi dah tahu pegaga boleh dijadikan bahan untuk awet muda, dari zaman remaja lagi dah mula amalkan makan pegaga atau minum jus pegaga.
Tapi tak mengapa, orang putih kata better late than never. Bila dah tahu pegaga berkhasiat untuk awet muda, kena segera amalkannya. Kuncinya di sini ialah dispilin dan konsisten untuk dapatkan hasil yang memuaskan.
Ingat, nak cantik kenalah gigih. Alah, bukan susah pun. Makan atau minum pegaga saja.
Beauty is pain? Mungkin ya untuk yang tidak menggemari pegaga, tapi bagi yang gemar, hari-hari nak makan pegaga buat ulam.
Soalnya, nak awet muda tak? Kalau nak, pastikan pegaga sentiasa ada dalam menu makanan kita.
Khasiat Pegaga untuk Hilangkan Jerawat
Selain dijadikan jus, inovasi produk berasaskan pegaga ialah teh pegaga, kopi pegaga dan produk dalam bentuk krim dan balm untuk kecantikan juga dihasilkan secara komersial.
Ini menunjukkan bahawa pegaga mempunyai banyak khasiat dan kegunaannya untuk kesihatan dan kecantikan.
Jika anda ada masalah jerawat, boleh cuba cara tradisional ini untuk meredakan atau menghilangkan jerawat:
Ambil beberapa helai daun pegaga, bersihkan dan tumbuk lumat.
Campurkan dengan sedikit bedak sejuk dan sedikit air.
Sebatikan dan sapu ke seluruh wajah terutamanya di bahagian yang ada jerawat. Sapu pada waktu malam.
Biarkan beberapa jam atau lagi elok bangun tidur esoknya baru cuci muka.
Lakukan secara konsisten sehingga jerawat mulai kecut dan keadaan kulit kembali pada asalnya.
Khasiat Pegaga untuk Darah Tinggi
Ini adalah antara petua tradisi yang boleh diamalkan oleh kaum lelaki dan wanita yang mengalami masalah darah tinggi.
Amalkan makan atau minum jus pegaga kerana ia dapat membantu meredakan tekanan darah tinggi. Namun begitu, anda mestilah mendapat nasihat dan rawatan daripada doktor sekiranya gejala berterusan.
Jika dah diberikan ubat hospital untuk dimakan, anda tetap kena makan ubat sebagaimana arahan doktor.
Amalkan pegaga sebagai makanan tambahan untuk meredakan symptom darah tinggi. Jaga pemakanan, kawal stress, bersenam dan amalkan gaya hidup sihat.
Estrak Pegaga untuk Meredakan Demam
Bila demam orang zaman moden macam kita ni, akan tampal Kool Fever kan? Kalau orang dulu-dulu, mereka gunakan air perahan pegaga untuk meredakan demam, khususnya untuk sejukkan bahagian dahi dan muka.
Caranya mudah saja.
Ambil segenggam daun pegaga dan cuci.
Tumbuk atau hancurkan dan perah masukkan dalam air bersih.
Kemudian, jadikan air perahan pegaga tadi untuk sapu (orang panggil jerlum) di dahi, muka dan boleh juga di seluruh badan.
Tak apalah badan bau pegaga sedikit, asalkan cepat sihat kan. Sekali lagi, yang terbaik ialah kita ke klinik untuk dapatkan rawatan doktor.
Jadikan sapuan perahan air pegaga sebagai alternatif tambahan untuk menyejukkan badan.
Zaman sekarang ni, macam-macam penyakit berpunca atau bermula dengan demam. Jadi, kita tak boleh tangguh untuk dapatkan rawatan bila demam.
Khasiat Pegaga untuk Kuruskan Badan
Ini saya pasti, ramai yang suka dan teruja kan? Maklumlah, siapa yang tak nak badan kurus dengan kos yang rendah, malah boleh dapat percuma saja!
Kutip saja pegaga kat halaman rumah (jika ada la, biasanya jika di kampung banyak jer pokok pegaga tumbuh). Kalau tak ada pokok pegaga, beli saja yang dijual.
Sekarang ni, macam-macam produk berasaskan pegaga dijual. Pasti anda akan jumpa produk pegaga untuk kuruskan badan.
Tapi, hati-hati ya. Semak kandungan produk dulu dan pastikan ia dapat kelulusan KKM. Apa pun, cara yang paling selamat, makan atau minum jus pegaga yang kita buat sendiri di rumah.
Lebih sihat dan berkhasiat kerana tiada bahan yang mungkin berbahaya, pewarna dan pengawet. Kalau nak tahu skala berat badan, anda boleh ikut tutorial ini untuk belajar cara kira BMI yang betul.
Khasiat Pegaga untuk Insomnia
Pegaga juga dikatakan boleh membantu meredakan masalah insomnia.
Ia mungkin tidak dibuktikan secara saintifik kerana banyak faktor yang menyebabkan seseorang mengalami masalah insomnia seperti gaya hidup yang tidak sihat, tekanan, pemakanan, terlalu sibuk dan sebagainya.
Namun, jika ingin mencuba pegaga sebagai cara untuk meredakan insomnia, tiada salahnya. Amalkan secara konsisten dan dalam masa yang sama kita cuba ubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat dan positif.
Badan yang sihat dan minda yang positif sangat penting untuk memberikan rasa tenang, berehat dan membantu kita mendapat tidur yang berkualiti.
Kebaikkan Pegaga untuk Anti Selulit
Ini lagi satu khasiat pegaga yang pasti wanita suka dan tercari-cari! Pegaga untuk anti selulit.
Bagaimana cara nak gunakan pegaga untuk hapuskan atau sekurang-kurangnya pudarkan selulit?
Jangan risau, ada produk anti selulit yang berasaskan pegaga dijual. Biasanya ia dibuat dalam bentuk krim sapuan. Hanya sapu krim anti selulit pegaga secara konsisten.
Nak lagi berkesan, macam biasa la, saranan cliche: amalkan pemakanan sihat (mesti selitkan pegaga sebagai ulam dalam diet harian tau), bersenam dan minum air masak yang mencukupi.
Khasiat Pegaga untuk Meningkatkan Daya Ingatan
Mungkin ada yang akan kata overclaim yang pegaga berkhasiat untuk meningkatkan daya ingatan.
Namun, tak salah kita mencuba. Lagi pun, pegaga adalah sayur-sayuran yang semestinya mempunyai berkhasiat untuk kesihatan badan.
Khasiat Pegaga untuk Menyembuhkan Luka
Perasan tak? Nenek moyang kita dulu kan, boleh dikatakan apa saja sumber alam yang ada disekitar mereka terutamanya tumbuh-tumbuhan akan cuba dimanfaatkan samada untuk dijadikan makanan, minuman dan ubat-ubatan.
Yelah, dulu mana ada klinik atau hospital. Jika ada pun sukar untuk mereka ke sana bagi mendapatkan rawatan. Apa-apa sumber yang ada disekeliling mereka, itulah yang akan mereka perhatikan, cuba dan amalkan jika ia berkesan.
Itulah namanya petua. Macam tu juga dengan pokok pegaga. Mereka gunakan daun pegaga untuk menyembuhkan luka. Bila kajian dilakukan ke atas pegaga, ternyata pegaga boleh meningkatkan penghasilan kolagen.
Secara tak langsung, bila penghasilan kolagen dah meningkat, kulit dibahagian luka juga akan menebal, maka proses penyembuhan luka akan berlaku dengan lebih cepat.
Khasiat Pegaga untuk Saraf
Terdapat kajian menemui fungsi pegaga dalam membantu melindungi saraf daripada penyakit Parkinson, Alzheimer dan mengurangkan tekanan pengoksidaan.
Sebagai hasilnya, apabila sel saraf sihat maka secara tidak langsung ia dapat mengurangkan risiko berlakunya penyakit-penyakit tersebut.
Ekstrak pegaga membantu melindungi kerosakan sel dengan mengurangkan tekanan pengoksidaan.
Amalkan makan atau minum jus pegaga. Anda bolehlah maklumkan pada mak ayah tentang khasiat pegaga yang ini. Nak bahasa mudah, cakap sahaja untuk bantu elakkan nyanyuk.
Khasiat Pegaga untuk Rambut
Pernah perhatikan tak, kat lantai rumah kita, ada tak rambut atas lantai. Tak pun, tengok jer kat sikat setiap kali lepas sikat rambut.
Kalau ada rambut bersepah atas lantai atau melekat kat situ, itu tandanya kita alami masalah keguguran rambut.
Antara faktor keguguran rambut ialah kurang nutrien, stress, pemakanan tak seimbang dan silap guna produk rambut yang tak sesuai dengan rambut kita.
Kalau nak tau, pegaga juga bermanfaat untuk rambut! Pegaga mempunyai khasiat dan nutrient yang mampu menguatkan akar rambut, menyuburkan kulit kepala, membantu pengaliran salur darah dan akar rambut.
Bila semua fungsi ni dah berjalan dengan baik, maka hasilnya rambut kita akan mendapat hasil yang baik dan kembali sihat.
Semoga lepas ni tak ada lagi masalah keguguran rambut. Penat juga tiap-tiap hari nak vakum lantai, kan?
Kesimpulan
Anda dah pun ketahui khasiat pegaga untuk kesihatan dan kecantikan yang saya kongsikan ini.
Secara umumnya, pegaga sesuai diamalkan oleh kaum lelaki dan wanita. Ia boleh dimakan terus sebagai ulam-ulaman, dijadikan jus, teh, kopi, di masak dan digunakan secara alami iaitu dengan melumatkan atau meramas.
Sesungguhnya, setiap apa yang ada di alam ini ada kegunaanya untuk kita. Terpulanglah kepada kita untuk memanfaatkannya sebaik mungkin.