Resepi

5 Resepi Spaghetti yang Mudah & Sedap

Resepi spaghetti yang sedap ada banyak rahsianya. Salah satunya ialah melalui pemilihan bahan-bahan mentah dan kaedah memasak.

Secara peribadi, saya gemarkan aglio olio kerana rasanya sedap dan sangat mudah untuk disediakan. Bahan-bahannya juga tak banyak.

Untuk posting kali ini, saya senaraikan 5 resepi spaghetti kegemaran saya yang mudah untuk disediakan tapi rasanya sedap sampaikan mak mentua lalu belakang pun boleh tak perasan.

1. Resepi Spaghetti Bolognese Pedas

Resepi Spaghetti Bolognese Pedas sangatlah mudah dibuat. Tak sampai 30 minit boleh siap terhidang di atas meja.

Apa yang penting, spaghetti, daging cincang dan tomato puree sudah dibeli siap-siap.

Bahan-bahan

  • 1-2 sudu besar minyak zaitun
  • 250gram daging cincang
  • ½ biji bawang Holland (Dicincang halus)
  • 2 ulas bawang putih (Dicincang halus)
  • ½ biji lobak merah (Dipotong dadu kecil)
  • 1 batang saderi (Dicincang halus)
  • 2-3 tangkai daun rosemary (Dicincang halus)
  • 5 sudu tomato puree
  • 250gram spaghetti
  • 2-3 biji cili Thai merah
  • Sedikit garam
  • Daun parsley (Untuk hiasan)

Cara-cara Memasak

  1. Rebus spaghetti dengan sedikit garam. Toskan dan biarkan sejuk.
  2. Masukkan minyak zaitun dan goreng separuh daging cincang sehingga keemasan.
  3. Masukkan bawang Holland, bawang putih, lobak merah, batang saderi dan kacau sehingga sayur lembut.
  4. Masukkan pula daun rosemary, cili Thai merah, tomato puree dan separuh lagi daging cincang Biarkan sebentar.
  5. Setelah mendidih, perasakan dengan sedikit garam secukup rasa.
  6. Tuangkan sos Bolognese ke atas pasta dan hiaskan dengan daun parsley.
  7. Selesai. Resepi Spaghetti Bolognese Pedas siap!

2. Resepi Spaghetti Carbonara Simple

Resepi Spaghetti Carbonara ini tampak simple tapi rasanya enak dan memikat.

Mudah untuk disediakan dan sangat sesuai dihidang ketika kecemasan jika ada tetamu yang tiba-tiba datang melawat.

Kanak-kanak gemarkannya dek rasanya lemak, berkrim dan tidak pedas.

Bahan-bahan

  • 1-2 sudu besar minyak zaitun
  • 3 batang sosej (Dihiris nipis)
  • ½ biji bawang Holland (Dicincang halus)
  • 2 ulas bawang putih (Dicincang halus)
  • 3 cendawan butang (Dihiris nipis)
  • 350gram sos carbonara Prego
  • 1 keping cheddar cheese
  • 100ml susu full cream
  • 250gram spaghetti
  • Sedikit garam
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • Daun parsley (Untuk hiasan)

Cara-cara Memasak

  1. Rebus spaghetti dengan sedikit garam. Toskan dan biarkan sejuk.
  2. Masukkan minyak zaitun dan tumis bawang Holland, bawang putih sehingga naik bau.
  3. Masukkan cendawan butang dan sosej. Biarkan sebentar.
  4. Kemudian masukkan sos carbona Prego dan susu full cream.
  5. Setelah mendidih, perasakan dengan sedikit garam, serbuk lada hitam secukup rasa.
  6. Carik dan masukkan cheddar cheese dan kacau sebentar.
  7. Tuangkan sos carbonara ke atas pasta dan hiaskan dengan daun parsley.
  8. Selesai. Resepi Spaghetti Carbonara simple siap!

Baca juga: Resepi Meatball Ikea Versi Halalan Toyyiban (Mesti Cuba)

3. Resepi Spaghetti Aglio Olio Ayam Diet

Resepi Spaghetti Aglio Olio Ayam sesuai untuk diet. Resepinya gaya klasik dan mudah untuk disediakan.

Salah satu kunci untuk resepi aglio olio yang sedap adalah bawang putih. Bawang putih harus ditumis perlahan-lahan di dalam minyak zaitun hingga naik bau dan keperangan yang sempurna.

Ingat ya, jangan sampai hitam dan hangit.

Bahan-bahan

  • 1-2 sudu besar minyak zaitun
  • 1 ketul dada (Dipotong dadu)
  • 3 ulas bawang putih (Dicincang halus)
  • 250gram spaghetti
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • Sedikit cili flake
  • Sedikit garam
  • Daun parsley (Untuk hiasan)

Cara-cara Memasak

  1. Rebus spaghetti dengan sedikit garam. Toskan dan biarkan sejuk.
  2. Masukkan minyak zaitun dan tumis bawang putih sehingga naik bau dan keperangan.
  3. Masukkan dada ayam. Biarkan sebentar.
  4. Setelah ayam masak, perasakan dengan sedikit garam, serbuk lada hitam dan cili flake sesedap rasa.
  5. Masukkan spaghetti, gaul sekata dan hiaskan dengan daun parsley.
  6. Selesai. Resepi Spaghetti Aglio Olio Ayam Diet siap!

4. Resepi Spaghetti Marinara Prego

Resepi Spaghetti Marinara Prego merupakan salah satu resepi kegemaran saya. Paling enak jika di masak bersama pelbagai jenis makanan laut.

Boleh letak apa-apa sahaja seafood tak kiralah sotong, udang mahupun kupang. Letak ikan sardin pun boleh juga tau..

Bahan-bahan

  • 1-2 sudu besar minyak zaitun
  • 300gram udang dan sotong
  • ½ biji bawang Holland (Dicincang halus)
  • 2 ulas bawang putih (Dicincang halus)
  • 2 biji tomato (Dipotong dadu kecil)
  • 350gram Prego mushroom pasta sauce
  • 250gram spaghetti
  • Sedikit garam
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • Daun parsley (Untuk hiasan)

Cara-cara Memasak

  1. Rebus spaghetti dengan sedikit garam. Toskan dan biarkan sejuk.
  2. Masukkan minyak zaitun dan tumis bawang Holland, bawang putih sehingga naik bau.
  3. Masukkan tomato. Biarkan sebentar.
  4. Kemudian masukkan sos pasta mushroom Prego.
  5. Setelah mendidih, perasakan dengan sedikit garam, serbuk lada hitam secukup rasa.
  6. Masukkan spaghetti, gaul sekata dan hiaskan dengan daun parsley.
  7. Selesai. Resepi Spaghetti Marinara Prego siap!

Baca juga: Resepi Ayam Korea Pedas (Tanpa Gochujang)

5. Resepi Spaghetti Goreng Basah

Resepi Spaghetti Goreng Basah ini khusus untuk orang Malaysia yang tekaknya tak berapa nak ngam dengan rasa klasik Italia.

Jadi kita tune sikit resepinya jadi ala-ala mee goreng mamak. Boleh ke? Eh, kenapa tak boleh pula. Kita yang buat dia kan.

Bahan-bahan

  • 1-2 sudu besar minyak zaitun
  • 200gram udang
  • ½ biji bawang Holland (Dicincang halus)
  • 2 ulas bawang putih (Dicincang halus)
  • 2 sudu cili boh
  • 1 sudu tomato puree
  • 250gram spaghetti
  • 100ml air kosong
  • 2 biji telur
  • Sedikit garam
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • Daun parsley (Untuk hiasan)

Cara-cara Memasak

  1. Rebus spaghetti dengan sedikit garam. Toskan dan biarkan sejuk.
  2. Masukkan minyak zaitun dan tumis bawang Holland dan bawang putih sehingga naik bau dan keperangan.
  3. Masukkan cili boh dan tomato puree. Masak sehingga mendidih kemudian masukkan udang dan air.
  4. Setelah udang bertukar warna, pecahkan telur dan kacau sekata.
  5. Kemudian perasakan dengan sedikit garam dan serbuk lada sesedap rasa.
  6. Masukkan spaghetti, gaul sekata dan hiaskan dengan daun parsley.
  7. Selesai. Resepi Spaghetti Goreng Basah siap!

Semua gambar credit to unsplash.com

View Comments