Khusus kepada peminat yang menggemari laksa, ini resepi laksa beras Kuala Perlis yang sedap dan mudah untuk disediakan. Boleh cuba di rumah.
Laksa sudah tidak asing lagi di Malaysia. Boleh dikatakan setiap Negeri di Malaysia mempunyai versi laksanya yang tersendiri. Di Perlis, laksa beras amat digemari penduduk setempat dan cukup terkenal terutamanya di Kuala Perlis.
Resepi Laksa Beras Kuala Perlis
Buat penggemar laksa, pasti tercari-cari laksa yang sedap, pekat dan padu kuahnya. Resepi laksa khusus di utara sememangnya terkenal dengan kuah laksa yang pekat.
Laksa beras Kuala Perlis pun tidak kurang hebatnya, kuahnya yang halus dan pekat pasti akan memikat sesiapa sahaja penggemar laksa yang melihatnya.
Tambahan pula dengan keunikkan rasa laksa beras boleh jadikan kita terkenang-kenang dibuatnya. Jom kita lihat apa resepinya dan rahsianya.
Resepi Laksa Beras Kuala Perlis
Ini resepi Laksa Beras Kuala Perlis warisan turun-temurun istimewa dari Perlis Indera Kayangan
Bahan-bahan untuk Laksa Beras Kuala Perlis
- 1 kg tepung beras
- ½ kg tepung ubi
- 600 ml air panas
Bahan-bahan untuk kuah Laksa Beras Kuala Perlis
- 1 kg ikan kembung ((Pastikan guna ikan segar))
- ½ kg ikan selayang ((Pastikan guna ikan segar))
- 15 tangkai cili kering ((Direbus))
- 5 biji bawang merah ((India))
- 2 kuntum bunga kantan ((Dipotong dua))
- 6 keping asam gelugor ((Asam keping))
- 1 ikat daun kesum
- 1 inci belacan ((Boleh tambah jika suka))
- 1 liter air
- garam
Bahan-bahan sampingan untuk Laksa Beras Kuala Perlis
- 2 biji timun
- 5 biji bawang merah
- 3 biji cili besar merah
- 5 biji cili api
- 10 biji limau kasturi
- 5 biji telur
- 1 ikat daun selom
- 1 bekas petis udang ((Otak udang))
Cara-cara penyediaan Laksa Beras Kuala Perlis
Masukkan tepung beras dan tepung ubi ke dalam mangkuk. Kemudian masukkan air panas perlahan-lahan.
Gaul kedua-dua tepung beras dan tepung ubi bersama-sama air panas seterusnya uli sehingga sebati.
Apabila sudah sebati, masukkan tepung yang sudah diuli ke dalam mesin mi atau acuan untuk membuat mi laksa. Jika tiada, boleh juga guna acuan maruku.
Jerang air dalam setengah periuk dan tunggu sehingga mendidih. Air ini akan digunakan untuk merebus laksa.
Tekan adunan tepung tadi ke dalam air yang mendidih untuk membentuk mi laksa. Pastikan air yang digunakan untuk merebus laksa betul-betul panas untuk mengelakkan laksa cepat putus.
Rebus laksa tersebut lebih kurang dalam 15 minit dan kemudian toskan laksa dengan menggunakan air sejuk. Ini untuk menjadikan laksa lebih pejal.
Laksa beras anda sudah siap. Seterusnya boleh buat kuah laksa pula.
Cara-cara penyediaan kuah Laksa Beras Kuala Perlis
Bersihkan ikan dan kemudian rebus dengan garam dan asam gelugor sehingga ikan masak. Jangan rebus terlalu lama ya. Mendidih je angkat terus.
Setelah ikan siap direbus, asingkan isi ikan daripada tulangnya. Tulang dan kepala ikan jangan dibuang ya. Letak dalam satu bekas asing.
Kisar isi ikan dengan menggunakan air rebusan ikan tadi dan masukkan dalam satu bekas.
Kisar tulang dan kepala ikan juga menggunakan lebihan air rebusan ikan. Kemudian tapis untuk mendapatkan patinya sahaja dan masukkan dalam satu bekas. Ingat, ambil pati sahaja dan hampas boleh dibuang.
Kisar cili kering yang sudah direbus bersama bawang merah dan belacan sehingga halus. Masukkan dalam satu bekas.
Masukkan semua bahan-bahan yang sudah di kisar tadi ke dalam periuk dan masak dengan api sederhana. Tambah air jika mengikut kepekatan kuah yang diinginkan.
Tambahkan garam secukup rasa dan masak kuah sehingga mendidih. Kemudian, masukkan asam gelugor, bunga kantan dan daun kesum.
Selesai mendidih, kuah laksa Kuala Perlis sudah siap untuk dihidang.
Cara-cara penyediaan bahan-bahan sampingan untuk Laksa Beras Kuala Perlis
Rebus telur sehingga masak, kupas kulit dan potong dua.
Potong nipis timun, bawang merah, cili besar merah dan cili api.
Potong kasar daun selom.
Potong dua limau kasturi.
Campurkan sedikit air panas ke dalam petis udang dan kacau hingga sebati.
Boleh juga cuba resepi buat laksa utara di bawah ini. Lebih kurang sahaja caranya.
Baca juga: 5 Resepi Spaghetti yang Mudah & Sedap
Tips untuk Sedapkan Resepi Laksa Beras Kuala Perlis
Terdapat beberapa tips untuk lazatkan lagi laksa anda. Tips-tips ini sering dipraktikkan dan boleh dikatakan sudah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat khusus di utara semenanjung Malaysia.
1. Guna Ikan Segar Sahaja dan Campur Jenis Ikan
Pastikan anda menggunakan ikan fresh sahaja. Nak lagi sedap kena campur dua jenis ikan. Contohnya, ikan temenung campur dengan ikan Selayang atau ikan sardin.
2. Jangan Rebus Ikan Terlalu Lama
Jangan rebus ikan terlalu lama, bila sudah masak dan mendidih terus sahaja angkat ikan dan sejukkan untuk asingkan isi dan tulang.
3. Biarkan Kuah Laksa Semalaman Sebelum Makan
Kuah laksa akan jadi lebih sedap jika dibiarkan semalaman. Jika mahu simpan lebih dari sehari, pastikan anda mendidihkan kuah setiap hari untuk mengelakkan kuah dari basi.
4. Guna Air Yang Betul-Betul Panas untuk Merebus Laksa Beras
Semasa merebus laksa, pastikan air yang digunakan untuk merebus laksa betul-betul panas untuk mengelakkan laksa cepat putus.
Kemudian cepat basuh dengan air sejuk untuk menjadikan laksa pejal dan mantap.
5. Guna Belacan dari Tanjung Dawai
Kalau di utara, kebanyakkan prefer belacan Tanjung Dawai untuk buat laksa. Memang tersohor belacan Tanjung Dawai ini.
Kalau yang tak tahu Tanjung Dawai dekat mana boleh rujuk lirik lagu Cinta Pantai Merdeka.
6. Guna Bawang Besar India Bukan Bawang Holland
Untuk bawang pula, pastikan anda menggunakan bawang besar India dan bukanlah bawang besar Holland. Bawang besar India ini lebih manis dan kalau nak lebihkan pun tak apa.
7. Makan Laksa Beras Kuala Perlis dengan Pulut Udang
Di Kuala Perlis, salah satu kebiasaanya masyarakat di sana ketika menikmati hidangan laksa adalah dengan memasukkan pulut udang ke dalam laksa.
Unik bukan? Ini akan menambahkan lagi kesedapan laksa itu.
Kesimpulan
Saya adalah penggemar dan peminat laksa. Saya akui selaku seorang yang sukakan laksa, kadang-kadang saya tidak berapa kisah sangat tentang kesedapan laksa tersebut.
Asalkan ianya adalah sejenis laksa maka secara automatik boleh jadi sedap. Kadang-kadang cuma ada laksa dan kuah pun tak apa asalkan boleh makan laksa. Tapi daun kesum adalah bahan wajib, tanpanya kuah laksa terasa lemah tidak bermaya!
Bezanya ialah bila terjumpa dengan laksa yang sedap. Maka harus tambah lagi sekurang-kurangnya semangkuk. Kalau tidak berapa nak sedap, semangkuk pun mencukupi asalkan dapat makan laksa.
Begitulah ceritanya. Betul tak wahai peminat-peminat laksa sekalian?
Baca juga: Resepi Ayam Buttermilk Cheese Sedap