Secara tradisinya, pulut kuih lopes harus dibalut di dalam daun pisang, diikat kemas dan kemudiannya dimasak menggunakan pengukus. Ini resepi kuih lopes yang lebih cepat dan mudah, guna rice cooker je.
Kuih Lopes adalah sejenis kuih tradisional Melayu berasaskan pulut yang digemari ramai tak kira umur dan bangsa. Keenakan kuih ini jelas terasa apabila dimakan bersama kelapa parut dan gula Melaka.
Di tambah pula dengan aroma daun pandannya pasti membuatkan penggemarnya teringat-ingat. Rasa pulut yang lemak-lemak bersama manis gula Melaka memang mengasyikkan.
Resepi Kuih Lopes Guna Rice Cooker
Kuih Lopes cukup sesuai untuk dihidang sebagai pencuci mulut mahupun snek ketika minum petang. Di Malaysia, kuih lopes mudah untuk didapati dan ada dijual di gerai-gerai tepi jalan, pasar malam dan cukup popular di pasar Ramadhan.
Pada entry kali ini, jom kita cuba buat resepi kuih lopes guna rice cooker pula. Cepat dan mudah!
Resepi Kuih Lopes Guna Rice Cooker
Ini resepi buat kuih lopes guna rice cooker. Cepat dan mudah
- Rice Cooker
Bahan-bahan untuk Kuih Lopes
- 2 cawan beras pulut
- 2 cawan santan cair
- ½ cawan jus daun pandan ((Dari 6 helai daun pandan))
- ½ sudu teh garam halus
- pewarna hijau ((Jika mahu))
- kelapa parut ((Digaul dengan sedikit garam))
Bahan-bahan untuk Air Gula Melaka
- 2 ketul besar gula Melaka
- 5 sudu besar gula putih ((Kurangkan jika tidak suka manis))
- 3 cawan air
- 2 helai daun pandan ((Disimpulkan))
- 1 sudu besar tepung jagung
Tips: Kalau nak pulut jadi cantik, elok rendam dulu beras pulut dengan air sekurang-kurangnya 1 jam.
Cara-cara menyediakan Kuih Lopes
Basuh beras pulut dan kemudian masukkan santan cair, jus daun pandan dan beberapa titis pewarna hijau (Kalau tak mahu letak pewarna pun boleh).
Nak buat jus daun pandan tu senang sahaja. Kisar 6 helai daun pandan bersama 1/2 cawan air. Kemudian tapis untuk dapatkan jus daun pandan.
Kacau rata dan kemudian masukkan pulut dalam rice cooker. Lepas tu, tekan sahaja butang cook dan masak macam nasi biasa.
Setelah pulut masak, masukkan pulut ke dalam tray yang berbentuk segi empat. Boleh balut tray dengan plastik dahulu untuk mengelakkan pulut dari melekat dengan tray.
Kemudian tekan-tekan pulut sehingga rata dan padat. Biarkan sejuk seketika.
Seterusnya, guna acuan bulat atau cawan untuk membentuk pulut menjadi bulat. Terpulanglah nak bentuk apa pun. Segitiga pun ok.
Kemudian boleh golek-golekkan kepingan pulut kita ke dalam kelapa parut yang sudah diperasakan dengan sedikit garam.
Yay, kuih lopes anda sudah siap!
Cara-cara menyediakan Air Gula Melaka
Masukkan gula Melaka, gula putih dan air ke dalam periuk.
Bila nak dekat nak mendidih, masukkan pula daun pandan. Jangan lupa simpulkan.
Kemudian kecilkan api dan masak air gula sehingga kelihatan agak pekat dan likat.
Tutup api dan biarkan sejuk.
Selain resepi kuih lopes guna rice cooker, boleh cuba juga resepi buat kuih lopes ini dengan menggunakan pengkukus. Boleh rujuk video dari YouTube SecukupRasa di bawah.
- Kalau nak pulut jadi cantik, elok rendam dulu beras pulut dengan air sekurang-kurangnya 1 jam.
- Kalau nak kukus dahulu kelapa parut pun boleh. Kemudian baru campur dan gaul dengan sedikit garam.
Baca juga: Resepi donut mudah dan gebu
Kesimpulan
Saya pasti ketika bulan Ramadhan pasti ramai yang mengidam nak makan kuih lopes ketika berbuka kan?
Jangan cakap orang lain, saya sendiri pun tercari-cari kuih lopes ini. Bukan saya seorang yang suka, anak-anak pun gemarkan kuih lopes. Lembut dan enak.
Kalau kita nak beli pun okay sahaja. Sebabnya kuih lopes memang mudah didapati. Nak buat sendiri lagi okay. Lagi berbaloi dan puas hati. Boleh ulang-ulang dua tiga kali sampai kenyang.
Selain kuih lopes, boleh cuba juga resepi sagu gula Melaka yang sangat enak dihidang sebagai pencuci mulut.
Itu sahaja untuk kali ini. Sehingga kita berjumpa lagi pada resepi-resepi yang akan datang. Terima kasih!
Baca juga: Resepi Laksa Beras Kuala Perlis Yang Paling Sedap
Video credit to secukuprasa.com