Kekurangan vitamin C boleh memudaratkan tubuh badan. Ini adalah senarai tanda-tanda kekurangan vitamin C yang perlu anda tahu untuk mencegah sebelum parah.
Vitamin C adalah nutrien yang paling penting untuk kesihatan dan daya tahan badan. Vitamin C sangat mudah untuk didapati kerana banyak terkandung di dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.
Meskipun mudah untuk didapati, masih terdapat segelintir masyarakat yang menghadapi masalah kekurangan vitamin C yang boleh menimbulkan risiko kepada penyakit yang lebih parah seperti penyakit skurvi dan sebagainya.
Walaupun gejala kekurangan vitamin C yang teruk boleh memakan masa yang agak lama, terdapat beberapa tanda kekurangan vitamin C pada tubuh yang boleh anda perhatikan.
Berikut adalah 10 tanda kekurangan vitamin C yang wajib anda ambil tahu. Ingatlah, mencegah lebih baik daripada merawat.
1. Kerap Keletihan dan ‘Bad Mood’
Kerap merasa letih dan sering mengalami mood yang tidak baik adalah dua tanda kekurangan vitamin C yang paling awal dan biasa.1
Dua gejala ini merupakan dua tanda yang paling awal dan mudah untuk dikenalpasti apabila kadar vitamin C di dalam badan berada di bawah paras normal hingga ke paras yang rendah.
Jadi jika anda selalu berasa letih dan tiada mood untuk membuat apa-apa aktiviti atau pekerjaan, boleh cuba ambil vitamin C dengan dos yang dibenarkan.
2. Kurang Daya Tahan Badan
Sepertimana yang kita ketahui, vitamin C sangat penting untuk sistem imuniti dan ketahanan badan. Kajian menunjukkan bahawa vitamin C terkumpul dalam pelbagai sel imun di dalam tubuh untuk memerangi sebarang jangkitan dan memusnahkan patogen penyebab penyakit.2
Jika anda sering sakit atau demam yang berlarutan, boleh semak kembali corak dan kadar pengambilan vitamin C anda serta jangan lupa untuk dapatkan khidmat nasihat doktor berkenaan dos-dos yang diperlukan untuk keperluan anda seharian.
Kekurangan vitamin C yang rendah boleh meningkatkan risiko penyakit berjangkit manakala kekurangan yang kronik pula boleh menyebabkan risiko yang lebih teruk bergantung kepada tahap keseriusan penyakit tersebut.
3. Kulit Kering & Kasar
Vitamin C mempunyai peranan yang sangat penting untuk kesihatan kulit. Antara tanda kekurangan vitamin C yang mudah untuk dilihat adalah pada permukaan kulit.
Kekurangan vitamin C sering dikaitkan dengan kulit yang kering akibat kerosakan oksidatif yang disebabkan sinaran matahari serta bahan pencemar yang lain seperti asap rokok dan sebagainya.3
Pengambilan vitamin C yang mencukupi mampu mendorong pengeluaran kolagen dan melindungi lapisan kulit daripadan kerosakan pancaran matahari seterusnya mampu menjadikan kulit kelihatan sihat, gebu dan awet muda.4
Baca juga: Bio Essence Rose Gold Water
4. Kuku Berbentuk Sudu Dengan Bintik Merah atau Garisan
Jika kuku anda mencengkung, berbentuk seaakan-akan sudu dan terdapat juga bintik-bintik merah atau garisan, maka anda mungkin mengalami masalah kekurangan vitamin C.
Bintik-bintik merah atau garisan ini dikenali juga sebagai pendarahan serpihan. Keadaan ini boleh berlaku disebabkan saluran darah yang lemah yang mudah pecah akibat kekurangan vitamin C di dalam badan.
Selain itu keadaan kuku yang nipis dan rapuh juga sering dikaitkan dengan kekurangan nutrien termasuklah vitamin C.5
5. Sakit-Sakit Sendi
Antara tanda-tanda kekurangan vitamin C yang selalu terjadi adalah sakit-sakit sendi. Kekurangan vitamin C diyakini boleh menimbulkan sakit-sakit dan pembengkakan pada sendi.
Untuk kes yang lebih serius, gangguan sakit-sakit sendi ini boleh menyebabkan anda mengalami kesukaran untuk bergerak ataupun berjalan.
6. Mudah Lebam
Keadaan mudah lebam adalah tanda kekurangan vitamin C jelas. Hal ini disebabkan oleh pengeluaran kolagen yang buruk dan menyebabkan saluran darah lemah.6
Lebam berlaku apabila terdapat saluran darah di bawah kulit yang pecah dan menyebabkan kebocoran darah ke kawasan di sekitarnya.
Lebam kebiasaanya terjadi apabila anda terjatuh atau terlanggar benda yang keras ketika melakukan aktiviti harian. Ini adalah salah satu perkara yang biasa berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.
Jika lebam sering dan mudah berlaku walaupun disebabkan hanya kecederaan ringan, maka ianya adalah sesuatu yang harus anda bimbangkan.
7. Pendarahan Gusi
Tanda-tanda kekurangan vitamin C juga boleh dilihat melalui keadaan kesihatan gusi. Gusi yang merah, bengkak dan berdarah adalah antara tanda-tanda yang biasa kelihatan jika seseorang itu kekurangan vitamin C.
Kekurangan vitamin C di dalam badan boleh menjejaskan kesihatan gusi di mana tisu gusi akan menjadi lemah dan mudah meradang.7
Lebih menakutkan jika perkara ini berlanjutan, gusi boleh bertukar menjadi warna ungu dan busuk. Anda juga mungkin boleh kehilangan gigi jika tiada rawatan susulan dijalankan.
8. Luka Lambat Sembuh
Keadaan luka lambat sembuh juga merupakan salah satu tanda kekurangan vitamin C yang biasa berlaku. Sama seperti lebam, situasi ini juga dikaitkan dengan kadar pembentukan kolagen yang rendah menyebabkan luka sembuh dengan perlahan kesan kekurangan vitamin C di dalam badan.
Menurut kajian, pesakit ulser kaki yang kronik lebih cenderung kepada kekurangan vitamin C berbanding mereka yang tidak mengalami penyakit itu.8 Luka yang lambat sembuh boleh meningkatkan risiko jangkitan bahkan luka lama tersebut boleh terbuka semula.
Jika anda mengalami keadaan dimana luka lambat sembuh, ianya mungkin disebabkan kekurangan vitamin C dan boleh cuba merawat dengan pengambilan vitamin C secara teratur dan terkawal.
Walaubagaimanapun jika perkara ini masih berlarutan, sebaiknya anda dapatkan khidmat nasihat dari doktor.
9. Peningkatan Berat Badan
Kajian yang diterbitkan dalam Journal of the American College of Nutrition pada tahun pada tahun 2005 menunjukkan bahawa kekurangan vitamin C akan melambatkan kehilangan jisim lemak dan mereka yang mempunyai pengambilan vitamin C yang lebih tinggi akan mempunyai indeks jisim badan (BMI) yang lebih rendah.
Ini mungkin disebabkan peranan vitamin C yang mampu membantu melindungi terhadap kegemukan atau obesiti dengan mengatur pembebasan lemak dari sel-sel lemak serta mengurangkan hormon stres di dalam badan.9
Namun, harus dinyatakan di sini bahawa pengambilan vitamin C bukanlah kaedah yang terbaik untuk menurunkan berat badan. Anda mestilah menggunakan cara yang betul jika mahu menurunkan berat badan.
Boleh rujuk posting ini mengenai cara diet yang betul menurut World Health Organization (WHO).
10. Rambut Kering dan Kusam
Selain bagus sebagai antioksidan kepada tubuh, vitamin C juga mempunyai peranan penting dalam kesihatan rambut.
Tanpa vitamin C yang mencukupi, kulit kepala boleh mengalami risiko pendarahan di sekitar folikel rambut. Selain itu, rambut juga akan kelihatan kering dan kusam.
Kesimpulan
Jika anda mengalami gejala-gejala seperti di atas, anda mungkin mengalami tanda-tanda kekurangan vitamin C.
Oleh kerana tubuh sangat memerlukan vitamin C, kita harus memastikan vitamin C perlu hadir di dalam setiap menu hidangan kita seharian. Caranya mudah sahaja, pastikan kita makan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap kali waktu makan.
Selain itu, pengambilan supplemen tambahan yang berkala juga penting untuk memastikan kita tidak terlepas pandang jika berlaku sebarang kekurangan.
Apa yang paling penting adalah pengambilan supplemen tersebut haruslah mengikut dos-dos yang telah dibenarkan setelah mendapat khidmat nasihat daripada pakar.
Sumber Rujukan:
1. Essential Role of Vitamin C and Zinc in Child Immunity and Health
2. Vitamin C and Immune Function
3. A Chemiluminescence Study of UVA-induced Oxidative Stress in Human Skin in Vivo
4. Gene Expression Profiling Reveals New Protective Roles for Vitamin C in Human Skin Cells
5. Nutrition and Nail Disease
6. Portal myHealth: Mudah Lebam
7. Scurvy: A Disease Almost Forgotten
8. Vitamin C Deficiency and Leg Ulcers. A Case Control Study
9. Vitamin C in the Treatment and/or Prevention of Obesity