Ini tips selepas tampal gigi yang harus anda tahu dan amalkan kalau tidak mahu tampalan dan gigi anda rosak.
Anda pernah mengalami masalah gigi berlubang? Kalau anda bernasib baik, masalah gigi berlubang tidaklah selalu menyakitkan, tetapi kebiasaannya masalah gigi berlubang adalah satu pengalaman yang menyeksakan.
Manakan tidak, ketika gigi berlubang sakitnya berdenyut-denyut. Tatkala nak tampal pula kalau tidak kena dengan gaya boleh meraung juga sakitnya. Selepas tampal pun ada pantang larangnya.
Terdapat tiga jenis tampalan yang selalu digunakan untuk tampal gigi yang berlubang. Anda perlu tahu apa jenis tampalan dan bagaimana cara-cara penjagaan tampalan tersebut.
Khusus kepada mereka yang baru sahaja selesai menampal gigi berlubang. Ini 5 tips selepas tampal gigi yang wajib anda ketahui dan amalkan.
Selepas prosedur menampal gigi selesai, kebiasaannya mulut anda akan berasa kebas selama beberapa jam. Ini disebabkan penggunaan bius ketika proses penampalan tersebut.
Jadi seeloknya, berpuasalah sekejap sehingga rasa kebas itu hilang. Ini penting untuk mengelakkan anda tergigit bahagian dalam pipi atau lidah jika makan atau minum ketika masih dalam bius.
Jika anda terasa sangat lapar, disarankan untuk makan makanan yang ringan dan lembut seperti yogurt. Selepas rasa kebas hilang, anda bolehlah makan dengan berhati-hati.
Ini adalah kesilapan yang selalu ramai orang buat. Untuk menjaga dan mengelakkan tampalan gigi daripada retak, pecah, rosak atau tertanggal; jangan terus mengunyah atau mengigit makanan-makanan yang keras. Seeloknya, gunakanlah bahagian gigi yang lain.
Contohnya jika gigi geraham baru ditampal di sebelah kanan, anda harus mengunyah menggunakan gigi geraham sebelah kiri. Jika anda terus mengunyah benda keras selepas tampal gigi, bukan sahaja tampalan gigi akan rosak; malah gigi juga berpotensi untuk patah.
Baca juga: Ulser Mulut Bayi
Selepas proses tampalan, gigi anda mungkin akan berasa lebih sensitif. Jadi sebaiknya elakkanlah makanan atau minuman yang terlalu panas dan sejuk.
Makanan dan minuman yang terlalu panas atau sejuk boleh mengganggu, mengubah dan merosakkan proses penyesuaian serta pengisian bahan tampalan gigi.
Proses ikatan tampalan gigi ini mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam. Jadi disarankan anda hanya mengambil makanan dan minuman yang suam sahaja.
Anda juga mungkin akan mengalami masalah gigi sensitif yang disebabkan ketinggian tampalan yang tidak sesuai. Jangan risau, ini adalah perkara biasa.
Selepas seminggu, jika gigi anda masih berasa sensitif; cuba periksa kembali tampalan gigi anda. Kadangkala doktor mungkin meletakkan terlalu banyak pengisian tampalan dan boleh menyebabkan gigi anda terlebih sensitif.
Hubungi doktor gigi anda sekiranya anda merasakan tampalan itu tidak sesuai dengan anda.
Kadangkala gigi akan menjadi lebih sensitif dan sedikit sakit selepas proses tampalan. Anda akan berasa tidak selesa dan lebih sensitif terhadap kunyahan, suhu makanan serta makanan yang manis.
Biasanya rasa ini akan mula menghilang secara perlahan-lahan dalam masa beberapa hari. Walaubagaimanapun, jika ianya tidak hilang selepas seminggu, mungkin ada yang tidak kena dengan gigi anda.
Besar kemungkinan terdapat jangkitan kuman di dalam saraf gigi anda. Jika perkara ini dibiarkan tanpa sebarang rawatan, gusi boleh membengkak dan mengeluarkan nanah.
Jadi dinasihatkan anda segera ke klinik gigi untuk mendapatkan nasihat dan rawatan dari doktor gigi anda. Kebiasannya dua pilihan akan diberikan; samada membuat rawatan akar atau mencabut terus gigi tersebut.
Baca juga: 20 Petua Hilangkan Batuk Mudah & Berkesan
Sebelum memulakan prosedur menampal gigi, anda bolehlah berbincang dan menanyakan tentang apakah jenis tampalan yang sesuai untuk masalah gigi berlubang anda.
Selepas tampalan, pastikan anda tidak makan dan minum sehingga rasa kebas hilang. Kemudian, makanlah makanan yang lembut dan elakkan mengunyah benda yang keras.
Seterusnya, pantaulah tahap kesihatan gigi anda selama seminggu. Jika anda berasa kurang selesa, periksalah ketinggian tampalan dan jika gigi masih terasa sangat sensitif, terus rujuk doktor gigi untuk mendapatkan nasihat pakar tentang keadaan sebenar gigi anda.
Itu sahaja tips selepas tampal gigi yang perlu anda amalkan. Jangan sesekali takut untuk berjumpa dengan doktor gigi ya!
Sumber Rujukan:
1. Fillings For Teeth: What Are Your Options?
2. Chewing Tips After A Filling