Berikut adalah tips beli rumah pertama yang mungkin boleh membantu anda membuat keputusan yang lebih baik.
Proses membeli rumah bukanlah sesuatu yang mudah, berikut adalah tips beli rumah pertama yang mungkin boleh membantu anda membuat keputusan yang lebih baik.
Didorong dengan harga rumah yang semakin meningkat, pemilikan rumah adalah sesuatu isu yang agak kritikal pada masa kini khususnya kepada golongan muda. Jika harga rumah terus meningkat naik, golongan belia mungkin tidak akan mampu untuk membeli rumah pertama pada usia muda.
Menurut laporan Berita Harian, harga median jual beli hartanah telah meningkat sehingga 8.5 peratus dalam tempoh separuh kedua 2020 hingga separuh pertama 2021 dan ianya merupakan kenaikan tertinggi sejak tahun 2016.
Andai trend ini berterusan, langkah untuk menangguh dahulu pembelian rumah pertama mungkin bukanlah satu keputusan yang bijak. Sekiranya anda bercadang untuk membeli rumah pertama pada usia muda, boleh semak tips-tips berikut sebagai rujukan pemula.
Sebelum membuat apa jua keputusan untuk membeli rumah pertama, kedudukan dan kestabilan kewangan adalah merupakan faktor terpenting yang harus anda tahu.
Kira dahulu komitmen bulanan anda untuk memastikan anda tidak tewas di tengah jalan. Ramai dikalangan anak-anak muda yang tidak tahu mengukur baju di badan sendiri. Secara mudahnya, komitmen untuk pembiayaan perumahan seharusnya tidak boleh melebihi satu pertiga daripada gaji kasar.
Sebagai contoh, jika gaji kasar anda adalah RM2500 sebulan, anda hanya boleh memperuntukkan lebih kurang RM875 untuk bayaran pinjaman perumahan.
Masalahnya mana nak cari rumah dengan bayaran bulanan RM875 sebulan?
Sabar dahulu, di bawah saya akan tunjukkan caranya. Tetapi sebelum itu, anda mesti kira dan tetapkan bajet anda terlebih dahulu. Berapa komitmen bulanan yang anda boleh asingkan untuk bayaran pembiayaan perumahan?
Contoh:
Okay, andaikan anda sudah menyemak komitmen dan kelayakan pembiayaan perumahan. Sebagai contoh tetapkan bajet seperti berikut:
Bayaran Bulanan Maksimum
RM875
Jumlah Pembiayaan Maksimum
RM185,000
Jumlah Tahun Pembiayaan Maksimum
35 Tahun
Anggaran Kadar Bunga
4-5% Setahun
Berdasarkan kiraan dan bajet di atas, anda boleh mengasingkan lebih kurang RM875 yakni sekitar 35% daripada gaji bulanan anda sebanyak RM2500 sekiranya jumlah tahun pembiayaan maksimum ditetapkan sehingga 35 tahun dengan kadar bunga 4 hingga 5 peratus setahun.
Rumah Baru, Rumah Subsale atau Beli Tanah dan Buat Rumah?
Seterusnya berdasarkan kira-kira seperti di atas, anda boleh tentukan pula jenis rumah yang mampu anda beli. Samada rumah baru, rumah subsale mahupun mahu beli tanah dan kemudian buat rumah; kini anda boleh cari dan tentukan sendiri.
Jom guna kembali bajet seperti contoh pada sub topik sebelumnya.
Bayaran Bulanan Maksimum
RM875
Jumlah Pembiayaan Maksimum
RM185,000
Jumlah Tahun Pembiayaan Maksimum
35 Tahun
Anggaran Kadar Bunga
4-5% Setahun
Hmm…boleh ke nak cari rumah dengan bajet seperti ini?
Ya benar, mungkin agak sukar untuk mencari rumah untuk dimiliki dengan harga lingkungan RM185,000 dan ke bawah pada masa kini terutamanya di kawasan bandar.
Tetapi anda harus fokus dan terus rajin berusaha jika mahu berjaya.
Rumah Baru
Meskipun agak sukar tetapi ianya tidak mustahil untuk membeli rumah baru dengan harga RM185,000 dan kebawah.
Buat golongan muda, anda harus sentiasa ambil peduli tentang apa saja skim ataupun bantuan yang disediakan oleh kerajaan serta pihak berwajib.
Terdapat beberapa skim perumahan yang boleh anda cuba seperti di bawah. Melalui skim-skim seperti ini, terdapat rumah-rumah baru yang dijual dengan harga di dalam lingkungan RM185,000 dan ke bawah. Jadi jangan lepaskan peluang untuk memohon!
Jika tidak berkemampuan untuk membeli rumah baru, apa kata anda cuba cari rumah subsale ataupun boleh dikatakan sebagai rumah ‘secondhand’ ataupun rumah terpakailah senang cerita.
Meskipun rumah terpakai, adakala harganya juga agak tinggi. Ini mungkin disebabkan faktor lokasinya yang strategik dan sebagainya. Jadi anda harus pandai mencari dan memilih jika mahu membeli rumah subsale.
Selain itu, kebanyakkan rumah subsale memerlukan kos-kos tambahan seperti kos deposit yang kebiasaannya sekitar 10 peratus, kos guaman, kos baikpulih kerosakan ataupun kos penyelenggaraan tertunggak jika ada. Jadi, anda perlu ada sedikit wang di atas tangan sebagai persediaan.
Jika dibandingkan dengan rumah baru, kos-kos seperti ini kebiasaanya tidak perlu atau sudah dimasukkan di dalam pembiayaan perumahan.
Beli Tanah dan Buat Rumah
Selain rumah baru dan rumah subsale, ini mungkin salah satu pilihan yang agak tidak popular di kalangan golongan muda. Namun begitu, dengan perancangan yang teliti, ianya mungkin adalah salah-satu alternatif yang boleh diambil kira.
Sebelum buat rumah, anda perlu mencari dan membeli tanah. Jikalau tiada wang simpanan, pilihan pembiayaan pembelian tanah yang ditawarkan oleh institusi kewangan agak kurang dan boleh dikatakan hampir tiada.
Antara opsyen yang sering dilakukan adalah dengan menggunakan pembiayaan peribadi. Tetapi harus diingatkan bahawa tempoh pembiayaan dan kadar bunga adalah lebih tinggi. Namun begitu, jika ianya kena dengan bajet anda, tidak salah untuk mencuba pilihan ini.
Tinjau Lokasi dan Bandingkan Potensi Rumah
Jangan bergantung harap kepada satu rumah sahaja. Sebaiknya cari dan senarai pendek beberapa lagi rumah yang berpotensi untuk dibeli.
Lakukan tinjauan di tapak-tapak projek perumahan tersebut dan bandingkan setiap potensi yang ada. Melalui pemerhatian terhadap lokasi projek, kualiti pemaju dan pesekitaran sekeliling, anda pasti boleh mengenalpasti kelebihan dan kelemahan yang ada.
Melalui perbandingan seperti ini, pastinya anda boleh membuat pilihan yang lebih tepat.