Tips

5 Tips Penting Sebelum Beli Kereta Terpakai

Kenderaan seperti kereta bukanlah lagi lambang gaya hidup mewah tetapi ianya kini lebih menjurus kepada keperluan untuk pengangkutan.

Menurut Statistik Pengangkutan Malaysia 2020, motokar ataupun kereta merupakan kenderaan utama di Malaysia dengan bilangan terkumpul melebihi 15 juta dicatatkan pada tahun 2019 hingga 2020.

Ini menunjukkan kereta masih kekal sebagai salah satu transportasi pilihan nombor satu rakyat Malaysia tak kira samada kereta baru ataupun terpakai. Walaubagaimanapun, tidak semua yang mampu untuk membeli kereta baru dan oleh sebab itulah kereta terpakai masih lagi menjadi opsyen yang ekonomik untuk sesetengah individu.

Meskipun begitu, membeli kereta terpakai tidaklah semudah seperti membeli kereta baru. Terdapat banyak perkara yang harus ditilik dan dikaji sebaiknya untuk mengelakkan sebarang masalah pada kemudian hari.

Pada artikel kali ini, kita akan membincangkan beberapa tips penting yang harus anda ketahui sebelum membeli kereta terpakai. Jom ikuti perkongsian ini.

1.Tetapkan tujuan & lakukan sedikit tinjauan umum

Photo by Alexander Popov on Unsplash

Pembelian kereta terpakai melibatkan sejumlah wang yang besar. Oleh yang demikian, kita harus berhati-hati dengan pemilihan jenis kereta dan objektif yang hendak dicapai.

Tetapkan dahulu apa sasaran dan matlamat pembelian kereta tersebut dan lakukanlah sedikit tinjauan umum tentang jenis-jenis model kereta yang boleh memenuhi kriteria yang anda mahukan.

Sebagai contoh mudah, jika anda perlukan kereta untuk ulang-alik ke tempat kerja, maka pilihlah kereta yang lebih kecil, lebih jimat minyak dan mudah untuk diselenggara.

2. Tetapkan had harga kereta yang boleh dibeli

Photo by Kanchanara on Unsplash

Setelah objektif dan jenis kereta sudah dikenalpasti, anda harus tetapkan pula had harga belian berdasarkan komitmen bulanan anda. Senaraikan dahulu semua kereta-kereta yang telah ditinjau secara umum dan kemudian periksalah harga semasa kereta terpakai tersebut.

Bayaran bulanan harga kereta haruslah selari dengan komitmen bulanan untuk memastikan tiada beban tambahan untuk mengelakkan sebarang gangguan terhadap prestasi kewangan bulanan anda. Harus diingatkan, pembelian ini bukan untuk bermewahan tetapi cukuplah sekadar untuk memenuhi keperluan pengangkutan harian anda.

Sekiranya anda mempunyai masalah untuk anggaran bayaran bulanan, boleh cuba CarPaymentCalculator.net untuk memudahkan kerja-kerja pengiraan tersebut. Cara penggunaan juga cukup mudah, masukkan sahaja semua butiran-butiran penting seperti harga kereta, jumlah bayaran muka, kadar bunga, durasi pinjaman dan seterusnya ketik butang Calculate untuk mendapatkan anggaran bayaranan bulanan yang harus anda bayar.

3. Survey kereta melalui agen-agen kereta terpakai yang terbaik dan trusted

Melalui anggaran bayaran bulanan yang telah diperoleh, anda kini boleh terus cari dan semak harga-harga kereta yang dirasakan sesuai melalui agen-agen kereta terpakai yang terbaik dan dipercayai. Terdapat beberapa agensi yang menawarkan servis sebut harga secara atas talian yang boleh anda cuba seperti Carsome, Carlist, WapCar dan sebagainya.

Agen-agen atas talian seperti ini kebiasaannya akan menyediakan data yang terperinci mengenai harga dan spesifikasi kereta yang mahu dijual. Dengan cara ini, anda akan lebih mengetahui dan memahami tentang apa kriteria-kriteria yang harus dititikberatkan.

4. Lakukan Pemeriksaan Kereta secara Fizikal

Photo by Maxim Hopman on Unsplash

Pemeriksaan kereta secara fizikal amat penting untuk memastikan kereta yang bakal dibeli berada pada tahap yang terbaik. Selain daripada pemeriksaan biasa yang lebih menjurus kepada interior dan exterior, tahap dan kondisi enjin serta komponen-komponen yang lain juga harus dipedulikan.

Sebaiknya, lakukanlah pemeriksaan fizikal yang terperinci bersama rakan mekanik anda. Jika upah diperlukan, usahlah terlalu berkira. Anggaplah ianya sebagai salah satu bentuk pelaburan yang bijak untuk mengelakkan anda menjadi mangsa penipuan.

5. Lakukan Ujian Pemanduan

Photo by why kei on Unsplash

Setelah pemeriksaan fizikal dijalankan, terus lakukan ujian pemanduan. Adakalanya, masalah-masalah kereta tidak boleh dilihat dengan mata kasar tetapi boleh ditentukan dengan ujian pemanduan.

Melalui ujian pemanduan jugalah anda boleh mengetahui tahap keselesaan sesuatu kereta mengikut sebarang kriteria yang anda telah tentukan.