Kesihatan

5 Tanda Sakit Buah Pinggang yang Harus Anda Tahu

Sakit buah pinggang atau buah pinggang rosak bukanlah sesuatu perkara yang remeh. Berikut adalah beberapa tanda sakit buah pinggang yang harus anda ambil peduli.

Menurut laporan media, 15 peratus daripada rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang kronik pelbagai peringkat (Sumber). Malah, ianya mungkin bertambah teruk menjelang tahun 2040 dimana kes-kes berkaitan sakit buah pinggang dijangka mencecah sehingga 106,000 orang (Sumber).

Sakit buah pinggang sering dianggap sebagai pembunuh dalam senyap yang berbahaya. Menurut Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Dr. Lily Mushahar mengatakan bahawa sakit buah pinggang kronik boleh menjadi pembunuh senyap sekiranya tiada saringan kesihatan dilakukan (Sumber).

Selain pemeriksaan kesihatan, simptom atau tanda sakit buah pinggang boleh diperhatikan secara kendiri sekiranya terdapat masalah berkaitan buah pinggang. Jom ikuti perkongsian ini.

Fungsi Buah Pinggang

Buah pinggang adalah dua organ yang terletak pada sisi bahagian belakang rongga abdomen setiap manusia. Organ ini berbentuk kacang dilindungi oleh otot belakang dan tulang rusuk, dan juga lemak (tisu adipos) yang mengelilinginya seperti padding perlindungan (Sumber).

Fungsi utama buah pinggang adalah untuk menapis dan membuang bahan buangan, bahan toksik, dan sisa dalam darah daripada tubuh (Sumber). Kegagalan buah pinggang akan memberi kesan buruk dan mengganggu keseimbangan tubuh badan.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk kita ambil peduli tentang tanda sakit buah pinggang yang biasa terjadi.

Baca juga: 10 Cara Hilangkan Sakit Tekak melalui Rawatan Alternatif

Jenis Sakit Buah Pinggang

Secara amnya, sakit buah pinggang terjadi akibat kegagalan buah pinggang itu sendiri untuk membersihkan toksin dan bahan buangan daripada darah dan menjalankan fungsinya dengan semaksimal mungkin.

Kegagalan buah pinggang menapis bahan tertentu mengakibatkan air kencing mengandungi protein, glukos dan darah. Pengesanan tanda awal sakit buah pinggang adalah sangat penting untuk merancang rawatan kepada pesakit.

Tanda sakit buah pinggang dapat dikesan melalui Anggaran Kadar Penurasan Glomerular ataupun Estimated Glomerular Riltration Rate (eGFR) yang merupakan salah satu kaedah yang digunakan untuk menentukan fungsi dan ketidakupayaan buah pinggang (Sumber).

Sakit buah pinggang terbahagi kepada dua jenis. Yang pertama adalah jenis akut, Acute Kidney Injury (AKI) atau kecederaan buah pinggang secara tiba-tiba dan kedua adalah penyakit buah pinggang kronik, Chronic Kidney Disease (CKD)(Sumber).

Berikut adalah maklumat umum mengenai jenis-jenis sakit buah pinggang bersama penjelasannya:

Jenis Sakit Buah Pinggang Penjelasan
Kecederaan Buah Pinggang Akut
(AKI – Acute Kidney Injury)
Kecederaan buah pinggang akut yang boleh berlaku secara tiba-tiba yakni dalam tempoh hari ke minggu dan kebiasaannya kurang daripada 3 bulan.
Penyakit Buah Pinggang Kronik
(CKD – Chronic Kidney Disease)
Penyakit buah pinggang kronik yang boleh berlaku dalam tempoh yang lebih lama iaitu sekitar bulan ke tahun. Terbahagi kepada 5 peringkat seperti jadual di bawah.
Jenis Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) Penjelasan
Sakit Buah Pinggang Tahap 1 (CKD1)
  • eGFR lebih 90
  • Kerosakan buah pinggang dengan fungsi buah pinggang yang normal.
Sakit Buah Pinggang Tahap 2 (CKD2) (Awal)
  • eGFR 60-89
  • Kerosakan buah pinggang dengan kehilangan fungsi buah pinggang yang ringan
Sakit Buah Pinggang Tahap 3 (CKD3) (Pertengahan)
  • eGFR 30-59
  • Kerosakan buah pinggang dengan kehilangan fungsi buah pinggang yang ringan hingga sederhana.
Sakit Buah Pinggang Tahap 4 (CKD4) (Teruk)
  • eGFR 15-29
  • Kerosakan buah pinggang dengan kehilangan fungsi buah pinggang yang teruk.
Sakit Buah Pinggang Tahap 5 (CKD5)
  • eGFR kurang dari 15
  • Kegagalan buah pinggang.

Baca juga: 5 Cara Mengatasi Obesiti (Mudah & Berkesan)

Tanda Sakit Buah Pinggang

Apabila buah pinggang mengalami kerosakan atau kegagalan, kesan yang biasanya akan dialami oleh pesakit adalah bergantung kepada tahap keparahan keadaan tersebut dan keupayaan untuk mendapatkan rawatan.

Oleh yang demikian, pemerhatian terhadap tanda-tanda sakit buah pinggang sangat penting sebagai salah satu langkah saringan awal. Jika terdapat sebarang tanda mahupun simptom, jangan ragu-ragu dan segeralah untuk medapatkan khidmat nasihat doktor mahupun pemeriksaan kesihatan.

Berikut adalah 5 tanda sakit buah pinggang yang harus kita tahu:

1. Perubahan pada air kencing

Meskipun tanda awal sakit buah pinggang pada tahap awal mungkin agak sukar atau hampir tiada, namun pemerhatian terhadap perubahan air kencing boleh menjadi tanda sakit buah pinggang yang boleh dipraktikkan.

Kencing berbuih
Tahap protein yang tinggi dalam air kencing mungkin merupakan tanda awal kegagalan buah pinggang untuk berfungsi. Air kencing berbuih mungkin petanda bahawa terdapat kandungan protein yang tinggi seperti albumin dimana bertindak balas dengan udara untuk menghasilkan buih (Sumber).

Kencing yang kerap
Kencing yang kerap terutamanya pada waktu malam mungkin boleh menjadi salah satu tanda sakit buah pinggang yang boleh anda perhatikan. Apabila penapis buah pinggang rosak, peningkatan keinginan untuk membuang air kecil boleh berlaku (Sumber).

Kencing berdarah
Darah dalam air kencing mungkin merupakan simptom biasa penyakit buah pinggang yang dipanggil glomerulonephritis disebabkan penapis kecil dalam buah pinggang yang mengeluarkan sisa dari darah menjadi meradang (Sumber).

Namun begitu, ujian air kencing merupakan saringan yang paling tepat untuk mengetahui andai terdapat kegagalan fungsi buah pinggang.
Baca juga: 5 Punca Berak Berdarah yang Perlu Anda Tahu

2. Cepat letih dan kurang tenaga

Antara tanda sakit buah pinggang lain yang kebanyakkan orang akan hadapi adalah rasa cepat letih dan kurang bertenaga.

Apabila buah pinggang anda tidak berfungsi dengan betul, toksin boleh terkumpul. Kesannya, anda akan berasa letih, lemah, atau menghadapi masalah untuk memberi fokus dan sepenuh perhatian (Sumber).

Malah, dapatan kajian pada tahun 2019 juga turut membuktikan bahawa keletihan adalah gejala fizikal yang paling biasa dilaporkan oleh pesakit penyakit buah pinggang (Sumber).

3. Sukar untuk tidur

Masalah tidur yang kurang adalah perkara yang biasa dihadapi oleh mereka yang menghidap penyakit buah pinggang kronik (Sumber). Hal ini bertambah teruk dengan kemerosotan kesihatan fizikal dan mental yang menyumbang kepada masalah tidur pesakit.

Apnea tidur misalnya sering terjadi kepada penghidap penyakit buah pinggang kronik dimana pernafasan anda akan terganggu atau terhenti selama lebih daripada 10 saat semasa anda sedang tidur nyenyak (Sumber).

4. Kulit gatal dan kering

Kulit gatal juga merupakan tanda sakit buah pinggang yang sangat biasa berlaku kepada hampir separuh daripada pesakit menghidap penyakit buah pinggang. Tahap kegatalan juga dikatakan dipengaruhi dengan kadar kegagalan fungsi buah pinggang yang semakin teruk (Sumber).

Apabila buah pinggang tidak dapat mencapai keseimbangan mineral dan nutrien yang betul serta mengeluarkan bahan buangan dari badan, ia akan terkumpul di dalam darah anda dan boleh menyebabkan ruam dan kegatalan yang teruk (Sumber).

5. Bengkak kaki tanda sakit buah pinggang

Buah pinggang yang tidak boleh berfungsi dengan baik boleh menyebabkan toksin dan kotoran berkumpul dalam darah. Apabila buah pinggang tidak dapat menyingkirkan natrium dengan baik, cecair terkumpul di dalam badan anda.

Ini boleh menyebabkan tangan, kaki, buku lali, dan muka kita bengkak. Hal ini boleh anda lihat dengan jelas khususnya pada bahagian kaki dan buku lali. Dalam masa yang sama protein yang bocor dalam air kencing juga boleh kelihatan seperti bengkak di sekeliling mata anda (Sumber).

Kesimpulan

Seperti mana yang disebutkan di atas, sakit buah pinggang bukanlah perkara yang remeh. Setiap lapisan masyarakat harus mengetahui tanda-tanda sakit buah pinggang sebagai salah satu langkah awal untuk mengesan dan mencegah sakit buah pinggang.

Meskipun mungkin terdapat ubat sakit buah pinggang di pasaran, mengenali tanda sakit buah pinggang adalah satu kemestian sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan anda tidak terus terleka. Ingat, mencegah adalah lebih baik dari mengubati.

Diharapkan perkongsian kami mengenai tanda sakit buah pinggang ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama dalam membina kesihatan yang lebih baik.

Images credit Freepik

Sumber Rujukan
  1. Astro Awani. 15 peratus rakyat Malaysia hidap penyakit buah pinggang kronik. Retrieved from astroawani.com.
  2. Sinar Harian. Pesakit buah pinggang dijangka 106,000 menjelang 2040. Retrieved from sinarharian.com.my.
  3. Kosmo. Sakit buah pinggang pembunuh senyap. Retrieved from kosmo.com.my.
  4. National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases (NIDDK). Your Kidneys & How They Work. Retrieved from niddk.nih.gov.
  5. Portal MyHEALTH, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Anggaran Kadar Penurasan Glomerular (eGFR). Retrieved from myhealth.gov.my.
  6. MYBuahPinggang, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jenis
    Penyakit Buah Pinggang. Retrieved from mybuahpinggang.com.
  7. Khitan, Zeid J.; Glassock, Richard J.. Foamy Urine: Is This a Sign of Kidney Disease?. CJASN 14(11):p 1664-1666, November 2019. | DOI: 10.2215/CJN.06840619. Available from: journals.lww.com
  8. National Kidney Foundation. 10 Signs You May Have Kidney Disease. Retrieved from kidney.org.
  9. Mayo Clinic. Blood in urine (hematuria). Retrieved from mayoclinic.org.
  10. L. Parker Gregg, Nishank Jain, Thomas Carmody, Abu T. Minhajuddin, A. John Rush, Madhukar H. Trivedi, S. Susan Hedayati; Fatigue in Nondialysis Chronic Kidney Disease: Correlates and Association with Kidney Outcomes. Am J Nephrol 10 July 2019; 50 (1): 37–47. Available from: karger.com
  11. India Times. 7 Signs Of Kidney Disease You Should Not Ignore. Retrieved from indiatimes.com.
  12. Davita Kidney Care. Sleep Issues and Chronic Kidney Disease. Retrieved from davita.com.
  13. Kidney Care UK. Itching and chronic kidney disease (CKD). Retrieved from kidneycareuk.org.
  14. John Hopkins Medicine. Chronic Kidney Disease. Retrieved from hopkinsmedicine.org.