7 Ubat Sakit Perut Tradisional yang Mudah & Berkesan

Sakit perut memulas, pedih perut dan cirit-birit adalah perkara biasa. Selain ubat sakit perut farmasi, ini senarai ubat sakit perut tradisional yang mudah lagi berkesan.

Meskipun tampak ringan dan biasa, sakit perut boleh menimbulkan pelbagai masalah seterusnya mengganggu gugat perjalanan kehidupan seharian seseorang. Rasa sakit serta tidak selesa akan menjejaskan tumpuan ketika bekerja mahupun belajar.

Justeru itu, kemestian untuk mendapatkan ubat sakit perut yang mudah dan berkesan adalah sangat penting untuk mencari kelegaan dengan cepat.

Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan ubat sakit perut tradisional menggunakan bahan-bahan semula jadi yang boleh diamalkan di rumah. Semoga ianya memberi kemudahan dan manfaat kepada semua.

1. Halia

Selain berguna dalam memberi rasa sedap dalam masakan, halia juga sangat bermanfaat sebagai ubat sakit perut semulajadi untuk melegakan masalah-masalah berkaitan sistem penghadaman.

Menurut sorotan kajian terdahulu, sifat-sifat yang terdapat pada halia mampu untuk mempercepat dan menguatkan sistem penghadaman, mengatasi masalah kembung perut, mencegah loya, muntah mahupun sembelit (Sumber).

Bukan itu sahaja, berdasarkan kajian pada tahun 2020, 30 responden yang mengalami masalah sembelit telah diarahkan untuk menyapu minyak halia dua kali sehari selama 30 hari. Pemerhatian terhadap sifat najis dan kekerapan menunjukkan 60 peratus responden mendapat manfaat hasil penggunaan minyak halia seterusnya membuktikan bahawa halia mempunyai kesan ke atas pergerakan usus untuk membantu melegakan sembelit (Sumber).

Antara cara mudah untuk menggunakan halia sebagai ubat sakit perut adalah dengan mengamalkan minuman teh halia. Cara-cara penyediaannya juga cukup mudah:

  1. Basuh halia dan kupas kulitnya dengan sebaik mungkin.
  2. Sagat halus halia dengan menggunakan penyagat atau jika tiada, boleh hiris nipis-nipis halia dengan menggunakan pisau.
  3. Masukkan halia yang telah disagat atau dihiris sebentar tadi sekitar 1-2 sudu besar ke dalam 350ml air mendidih. Semakin banyak halia, semakin kuat rasanya. Jadi, berwaspadalah dengan jumlah halia yang digunakan.
  4. Biarkan selama lebih kurang 3-5 minit dan kemudian tapis untuk mendapatkan teh halia.
  5. Minum 1 atau 2 cawan teh halia sehari untuk melegakan sakit perut.

Baca juga: 8 Khasiat Halia yang Semua Orang Perlu Tahu

2. Aloe vera

Sakit perut terdiri daripada pelbagai punca dan simptom. Sekiranya anda sering kembung perut, pedih perut, loya dan selalu muntah, anda mungkin mengalami penyakit Gastroesophageal Reflux Disease ataupun GERD.

GERD disebabkan oleh yang memisahkan esofagus dan perut menjadi lemah dan keadaan membenarkan kandungan makanan beserta asid mengalir kembali (refluks) ke organ esofagus seterusnya menyebabkan iritasi (Sumber).

Andai anda mempunyai masalah sakit perut yang disebabkan GERD, jus aloe vera mungkin boleh menjadi ubat sakit perut atau ubat pedih perut yang mudah untuk diamalkan.

Hasil dapatan sebuah kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik terhadap pesakit GERD di Hospital Baqiyatallah Hospital, Tehran, mendapati penggunaan aloe vera adalah selamat serta berupaya untuk mengurangkan kekerapan semua simptom GERD yang dinilai tanpa sebarang kesan buruk (Sumber).

3. Cuka Epal

Mungkin sesetengah orang tidak gemar dengan rasa masam dan menyengat dari cuka epal. Namun dari segi khasiatnya, cuka ini boleh membantu membersihkan dan mengimbangi asid perut anda khususnya ketika berlaku jangkitan bakteria dalam perut (Sumber).

Jangan risau, jika anda tidak mampu untuk makan terus cuka ini begitu sahaja, anda boleh mencampurkan satu sudu cuka dengan satu sudu teh madu ke dalam air, lalu diminum secara perlahan-lahan.

Selain itu boleh juga digunakan ketika membuat smoothie, salad, dan dalam masakan harian kita sendiri.

Baca juga: 5 Khasiat Cuka Epal Menurut Kajian Sains

4. Pudina

Siapa sangka pudina yang biasa kita temukan dalam ubat gigi, teh, dan gula-gula itu mampu memberi kelegaan daripada sakit perut, gas dan kembung perut?

Hal ini kerana daun pudina terkandung dengan dua bahan utama yang sangat bagus sebagai ubat sakit perut iaitu menthol dan methyl salicylate (Sumber) dalam melegakan kekejangan yang mungkin dialami oleh penghidap Irritable Bowel Syndrome (IBS) yakni sindrom usus rosak (Sumber).

Berdasarkan daripada 12 kajian terdahulu yang menghubung kaitkan sakit perut dan IBS, laporan mendapati bahawa kapsul minyak pudina lebih berkesan dalam memberikan kelegaan simptom daripada plasebo, dengan risiko kesan buruk yang rendah (Sumber).

5. Teh Chamomile

Chamomile atau Matricia Chamomilla adalah sejenis bunga dari keluarga Asteraceae dan merupakan salah satu herba perubatan penting yang berasal dari Eropah selatan dan timur (Sumber).

Umumnya, bunga ini memiliki dua jenis iaitu Chamomile Jerman (Matricia Recutita) dan Chamomile Roman (Chamaemelum Nobile). Sekiranya sakit perut anda berpunca dari masalah penghadaman, maka teh chamomile adalah ubat sakit perut tradisional yang sangat bagus untuk dicuba.

Dapatkan kajian tahun 2006 yang lalu menunjukkan bahawa penggunaan teh herba dari ekstrak chamomile berupaya menurunkan keasidan gastrik setanding dengan antasid komersial (Sumber).

Di samping itu, kerana sifat antimikrobnya juga, ia boleh menghalang pertumbuhan bakteria Helicobacter Pylori yang berkait dengan gastritis dan pembentukan ulser perut (Sumber).

6. Pisang

Umum mengetahui kebaikan pisang yang sememangnya bagus untuk mengurangkan sembelit, tetapi tahukah anda bahawa pisang juga mampu menjadi ubat sakit perut gastrik?

Pisang merupakan antasid semulajadi yang mampu mengurangkan kerengsaan perut akibat gastrik atau pedih ulu hati (Sumber).

Ini disebabkan pisang mengandungi kandungan potasium yang tinggi yang dikatakan boleh meningkatkan pengeluaran lendir dalam perut yang mampu menjadi penghalang antara lapisan perut dan bahan gastrik berasid yang menyebabkan pedih ulu hati dan sakit perut (Sumber).

7. Teh Lemon

Antara sumber vitamin C yang terbaik adalah lemon. Ia merupakan antioksida yang kuat di mana lemon mampu membantu dalam menyahtoksikkan badan dan melegakan pelbagai penyakit (Sumber).

Kandungan asid yang terkandung dalam jus lemon dapat merangsang perut anda untuk menghasilkan lebih banyak asid. Dengan ini secara tidak langsung, memberi rangsangan kepada sistem pencernaan sehingga mampu melawan semua masalah yang berkaitan dengan perut.

Baca juga: Resepi Air Halia Lemon Madu

Setiap satu gelas air yang dicampur dengan jus daripada satu lemon mengandungi lebih kurang 10 kalori dan kurang dari satu gram gula (Sumber).

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat banyak kaedah dan penggunaan ubat sakit perut tradisional yang boleh anda cuba dan rasai khasiatnya sendiri secara selamat dan efektif.

Semoga perkongsian kami mengenai ubat sakit perut ini dapat memberikan anda ilmu pengetahuan baru dan informasi yang bermanfaat bagi memperoleh kesejahteraan bersama.

Images credit Freepik

Sumber Rujukan
  1. Khodaie L, Sadeghpoor O. Ginger from ancient times to the new outlook. Jundishapur J Nat Pharm Prod. 2015 Jan 17;10(1):e18402. doi: 10.17795/jjnpp-18402. PMID: 25866718; PMCID: PMC4377061. Available from: ncbi.nlm.nih.gov
  2. Bipin, R. Gayatri Devi, & A. JothiPriya. (2020). EFFECT OF GINGER OIL ON CONSTIPATION INDIVIDUALS. PalArch’s Journal of Archaeology of Egypt / Egyptology, 17(7), 1965-1970. Available from: palarch.nl
  3. Unit Sumber Pendidikan Kanser dan Klinikal (CCARE), Universiti Putra Malaysia. Ketahui Apa itu GERD Dan Kanser Esofagus Serta Risiko, Gejala Dan Rawatannya. Retrieved from care.upm.edu.my.
  4. Panahi Y, Khedmat H, Valizadegan G, Mohtashami R, Sahebkar A. Efficacy and safety of Aloe vera syrup for the treatment of gastroesophageal reflux disease: a pilot randomized positive-controlled trial. J Tradit Chin Med. 2015 Dec;35(6):632-6. doi: 10.1016/s0254-6272(15)30151-5. PMID: 26742306. Available from: ncbi.nlm.nih.gov
  5. Doctor NDTV. 7 Most Beneficial Home Remedies For Stomach Ache. Retrieved from doctor.ndtv.com.
  6. Mount Sinai. Peppermint (Mentha x piperita). Retrieved from mountsinai.org.
  7. NHS UK. Peppermint oil. Retrieved from nhs.uk.
  8. Alammar N, Wang L, Saberi B, Nanavati J, Holtmann G, Shinohara RT, Mullin GE. The impact of peppermint oil on the irritable bowel syndrome: a meta-analysis of the pooled clinical data. BMC Complement Altern Med. 2019 Jan 17;19(1):21. doi: 10.1186/s12906-018-2409-0. PMID: 30654773; PMCID: PMC6337770. Available from: ncbi.nlm.nih.gov
  9. Singh O, Khanam Z, Misra N, Srivastava MK. Chamomile (Matricaria chamomilla L.): An overview. Pharmacogn Rev. 2011 Jan;5(9):82-95. doi: 10.4103/0973-7847.79103. PMID: 22096322; PMCID: PMC3210003. Available from: ncbi.nlm.nih.gov
  10. Srivastava JK, Shankar E, Gupta S. Chamomile: A herbal medicine of the past with bright future. Mol Med Rep. 2010 Nov 1;3(6):895-901. doi: 10.3892/mmr.2010.377. PMID: 21132119; PMCID: PMC2995283. Available from: ncbi.nlm.nih.gov
  11. AARP. Foods to Help Your Acid Reflux and Heartburn. Retrieved from aarp.org.
  12. MedlinePlus. Bananas and nausea. Retrieved from medlineplus.gov.