Khasiat halia sememangnya sangat terkenal sebagai salah satu ubat tradisional untuk melegakan loya, sakit perut dan serta pelbagai masalah kesihatan yang lain.
Halia kebiasaannya digunakan secara segar atau kering dalam masakan dan ada juga individu yang mengambil suplemen halia untuk manfaat kesihatan diri sendiri.
Antioksidan dan nutrien lain dalam halia dapat membantu mencegah atau merawat arthritis, radang, dan pelbagai jenis jangkitan.
Para penyelidik juga telah mengkaji potensinya untuk mengurangkan risiko diabetes, barah dan masalah-masalah kesihatan yang lain.
1. Khasiat Halia sebagai Anti-Radang dan Antioksidaan
Wangian dan rasa unik halia berasal daripada minyak semula jadinya yakni gingerol. Gingerol adalah sebatian bioaktif utama dalam halia. Ia bertanggungjawab untuk kepelbagaian khasiat perubatan halia.
Gingerol mempunyai kesan anti-radang yang kuat. Mengambil halia boleh membantu mengurangkan reaksi alergi dan menyembuhkan keradangan.
Kesan antioksidaan mampu melawan spesies oksigen reaktif yang boleh menyebabkan tekanan oksidatif dan merosakkan sel-sel badan. Secara semulajadi, tubuh akan menghasilkan spesies oksigen reaktif bergantung kepada pilihan gaya hidup.
Pengambilan alkohol dengan banyak, merokok atau mengalami tekanan kronik boleh membuatkan tubuh menghasilkan terlalu banyak spesies oksigen reaktif.
Mengambil makanan dan minuman kaya antioksidan, seperti air halia dipercayaai dapat membantu mencegah dan melawan kesan sampingan negatif spesies oksigen reaktif.
2. Khasiat Halia Membantu Penurunan Berat Badan
Jika anda mengamalkan pengambilan air halia bersama diet serta senaman yang konsisten, penurunan berat badan bukanlah perkara yang mustahil.
Halia dapat membantu menurunkan berat badan termasuk jumlah berat badan serta nisbah pinggang-pinggul.
Kajian mendapati bahawa lelaki yang meminum minuman halia panas setelah makan terasa lebih kenyang dengan lebih lama.
Selain itu, gula dalam darah yang seimbang juga dapat mengelakkan anda daripada makan secara berlebihan.
Baca juga: Khasiat Pegaga untuk Kesihatan dan Kecantikan
3. Halia Melegakan loya
Beberapa kajian menunjukkan bahawa halia dapat membantu mengurangkan rasa mual pada waktu pagi dan melegakan loya berikutan rawatan barah yang disebabkan oleh kemoterapi.
Satu kajian kecil dari tahun 2010 telah menyelidik kesan suplemen serbuk akar halia terhadap mual pada 60 orang kanak-kanak dan remaja yang menjalani kemoterapi.
Analisis menunjukkan suplemen tersebut berkesan untuk mengurangkan rasa loya pada kebanyakkan orang yang mengambilnya.
Halia sangat berkesan untuk melegakan loya dan mual terutamanya ketika mengandung. Walaubagaimanapun, anda haruslah berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang suplemen atau ramuan herba semasa mengandung.
4. Khasiat Halia Mengurangkan Sakit ketika Haid
Halia juga boleh bertindak sebagai ubat untuk kekejangan haid. Halia mampu menahan pengeluaran bahan kimia yang membuat rahim anda mengecut yang membuatkan rasa kesakitan.
Dalam kajian pada tahun 2015, saintis meninjau penyelidikan sebelumnya yang melihat akan kesan-kesan halia pada kesakitan haid.
Dapatan kajian menyimpulkan bahawa 750 hingga 2,000mg serbuk halia dapat membantu menghilangkan rasa sakit selama tiga hingga empat hari pertama kitaran haid.
5. Khasiat Halia untuk Mengurangkan Simptom Arthritis
Halia bersifat anti-radang, bermakna ianya boleh mengurangkan bengkak. Perkara ini sangatlah berguna untuk merawat simptom arthritis rheumatoid dan osteoartritis.
Anda mungkin dapat melegakan kesakitan dan bengkak sama ada dengan mengambil halia melalui mulut atau menggunakan halia lenyek atau tampalan pada kulit anda.
Baca juga: 10 Khasiat Bawang Putih yang Perlu Anda Tahu
6. Menjaga Kesihatan Mulut Anda
Kekuatan antibakteria halia juga sangat berguna untuk kesihatan mulut. Sebatian aktif dalam halia yang disebut sebagai gingerol boleh mencegah bakteria di dalam mulut.
Bakteria ini adalah bakteria yang sama yang boleh menyebabkan penyakit periodontal, iaitu jangkitan gusi yang serius.
7. Khasiat Halia Menurunkan Gula dalam Darah
Khasiat halia telah terbukti mampu menurunkan kadar gula dalam darah dan memperbaiki pelbagai faktor risiko penyakit jantung pada penderita diabetes jenis 2.
Satu kajian telah dijalankan tahun 2015 terhadap 41 peserta dengan diabetes jenis 2 dan mendapati 2 gram serbuk halia sehari dapat menurunkan tahap gula dalam darah sebanyak 12%.
Ia juga meningkatkan hemoglobin A1c (HbA1c) secara dramatik, penanda tahap gula dalam darah jangka panjang. HbA1c dapat dikurangkan sebanyak 10% dalam jangka masa 12 minggu.
Namun, perlu ingat bahawa ini hanyalah satu kajian kecil. Hasilnya sangat mengagumkan, tetapi ia perlu disahkan dalam kajian yang lebih besar sebelum sebarang cadangan dapat dibuat dengan lebih lanjut.
8. Dapat Meningkatkan Fungsi Otak
Tekanan oksidatif dan keradangan kronik dapat mempercepat proses penuaan. Perkara tersebut dipercayai sebagai antara pendorong utama penyakit Alzheimer dan penurunan kognitif yang berkait rapat dengan usia.
Terdapat juga beberapa bukti bahawa halia dapat membantu meningkatkan fungsi otak secara langsung. Dalam kajian yang dilakukan pada 2012 terhadap wanita pertengahan umur yang sihat, dos harian ekstrak halia telah didapati meningkatkan masa reaksi dan ingatan bekerja.
Kesimpulan
Pengambilan halia dapat membantu dengan kesihatan anda dan juga merawat berbagai-bagai masalah kesihatan.
Minum air halia juga merupakan kaedah terbaik untuk kekal hidrat, di mana sangat penting untuk kesihatan anda secara keseluruhan.
Bincang dengan doktor anda berkenaan dengan apa-apa herba suplemen yang ingin anda cuba. Dan jika anda berminat dengan khasiat halia, mulalah dengan membuat air halia sendiri daripada halia yang segar.
Rujukan Lain:
1. Comparative antioxidant and anti-inflammatory effects of [6]-gingerol, [8]-gingerol, [10]-gingerol and [6]-shogaol
2. Ginger consumption enhances the thermic effect of food and promotes feelings of satiety without affecting metabolic and hormonal parameters in overweight men: A pilot study
3. The Effects of Ginger on Fasting Blood Sugar, Hemoglobin A1c, Apolipoprotein B, Apolipoprotein A-I and Malondialdehyde in Type 2 Diabetic Patients
4. Ginger for nausea and vomiting of pregnancy
5. Efficacy of Ginger for Alleviating the Symptoms of Primary Dysmenorrhea: A Systematic Review and Meta-analysis of Randomized Clinical Trials
6. Anti-emetic effect of ginger powder versus placebo as an add-on therapy in children and young adults receiving high emetogenic chemotherapy
7. Zingiber officinale Improves Cognitive Function of the Middle-Aged Healthy Women