Sakit tekak sangat merimaskan. Berikut adalah beberapa cara hilangkan sakit tekak melalui rawatan alternatif yang boleh anda amalkan di rumah.
Sakit tekak adalah salah satu penyakit yang lazimnya disebabkan oleh jangkitan virus ataupun bakteria dan sering berlaku ketika perubahan cuaca yakni tatkala musim penyakit-penyakit yang berkaitan pernafasan berada pada tahap yang kemuncak (Sumber).
Sakit tekak juga boleh dijadikan sebagai petanda di mana seseorang mungkin akan dijangkiti demam, selsema mahupun penyakit yang lebih serius seperti influenza mahupun COVID-19 (Sumber).
Selain bergantung kepada ubat-ubat klinikal melalui preskripsi yang diberikan doktor, ini adalah beberapa cara hilangkan sakit tekak yang boleh anda cuba di rumah. Semoga artikel kali ini memberi sedikit sebanyak manfaat kepada anda.
1. Berkumur dengan air garam
Berkumur dengan air garam mungkin adalah di antara cara hilangkan sakit tekak secara tradisional yang paling kerap dibincangkan. Usah ragu, cara ini sememangnya terbukti berkesan jika anda konsisten!
Jangkitan virus merupakan penyebab utama sakit tekak. Berkumur dengan air garam dikatakan mampu untuk mengurangkan jumlah bakteria dan virus di dalam mulut selanjutnya meningkatkan kadar penyembuhan serta pemulihan (Sumber).
Malah terdapat kajian yang menunjukkan bahawa berkumur air garam mampu untuk memendekkan tempoh simptom serta mempercepatkan proses pemulihan daripada gejala COVID-19 (Sumber).
Cara-caranya juga cukup mudah:
- Campurkan 1 sudu teh garam di dalam segelas air suam sekitar 8 auns.
- Berkumurlah dengan campuran air garam tersebut sejam sekali.
Nota: Jangan tambah kandungan garam kerana tubuh akan lebih cenderung untuk dehidrasi seterusnya akan menjadikan selaput tekak kering dan sakit akan menjadi lebih teruk.
2. Minum air yang banyak
Antara cara hilangkan sakit tekak yang paling mudah adalah dengan minum banyak air.
Menurut artikel yang diterbitkan University of Michigan, pengambilan air sekurang-kurangnya 2 liter sehari sangat penting untuk menjadikan tubuh badan sentiasa kekal terhidrat, mengurangkan lendir dan memastikan tekak sentiasa lembap (Sumber).
Selain itu, dapatan hasil kajian para penyelidik di Cardiff University juga melaporkan bahawa minuman panas berupaya memberi kelegaan dengan segera secara berterusan untuk gejala-gejala demam dan selsema termasuklah sakit tekak (Sumber).
Baca juga: 20 Petua Hilangkan Batuk Mudah & Berkesan
3. Makan madu
Andai anda kerap sakit tekak, kami sarankan anda sediakan stok madu asli sebagai salah satu bahan rawatan alternatif.
Sesudu madu mungkin boleh menjadi ubat untuk melegakan sakit tekak yang anda perlukan. Menurut kajian, sifat anti-mikrob yang terkandung di dalam madu boleh membantu untuk membunuh bakteria seterusnya melegakan keperitan akibat sakit tekak (Sumber).
Namun begitu, madu tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak di bawah umur setahun kerana ianya pernah dikaitkan dengan penyakit botulism yang dipercayai berpunca daripada spora yang terdapat di dalam madu (Sumber).
4. Minum air asam jawa
Baca juga: 10 Khasiat Asam Jawa untuk Kesihatan
Asam jawa sangat sinonim di dalam masyarakat di Malaysia serta terkenal sebagai salah satu minuman serta cara hilangkan sakit tekak secara tradisional.
Peranan asas asam jawa telah dibuktikan melalui kajian sains perubatan di mana ianya boleh dijadikan sebagai rawatan alternatif anti-radang dan analgesik semulajadi (Sumber).
5. Berkumur dengan baking soda
Selain air garam, anda juga boleh cuba berkumur dengan baking soda sebagai salah satu cara hilangkan sakit tekak.
Menerusi The Journal of the American Dental Association (JADA), baking soda ataupun serbuk penaik mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan oral termasuklah untuk melawan bakteria serta mengurangkan sakit tekak (Sumber).
Bukan itu sahaja, melalui kajian klinikal dan makmal, penggunaan baking soda sebagai ubat kumur juga telah terbukti selamat (Sumber).
6. Kunyah bunga cengkih
Mempunyai aroma yang tersendiri, bunga cengkih juga sebenarnya sanga bermanfaat kepada kesihatan.
Untuk mendapatkan kelegaan sakit tekak dengan segera, cuba kunyah bunga cengkih bersama sedikit garam batu. Bunga cengkih dipercayai mempunyai sifat anti-radang dan mampu menjadi ubat tahan sakit serta pembunuh kuman semulajadi! (Sumber).
Baca juga: 10 Kebaikan & Khasiat Bunga Cengkih untuk Lelaki mahupun Wanita
7. Mandi air panas
Ketika mandi air panas, bernafaslah perlahan-lahan untuk menghirup wap yang terhasil daripada mandian air panas.
Wap air panas dikatakan boleh membantu untuk mengurangkan dan meredakan kerengsaan akibat sakit tekak (Sumber).
8. Pengambilan Ekstrak Bawang putih
Baca juga: 10 Khasiat Bawang Putih yang Perlu Anda Tahu
Selain sering digunakan sebagai bahan utama di dalam masakan, bawang putih juga boleh dimanfaatkan sebagai salah satu cara hilangkan sakit tekak yang mudah dan murah.
Melalui sebuah kajian pada tahun 2010, ekstrak bawang putih dikatakan berupaya untuk melegakan sakit tekak dengan menghalang aktiviti bakteria Streptococcus yakni bakteria yang paling biasa menjadi punca jangkitan pada saluran tekak (Sumber).
9. Berkumur dengan teh hijau
Teh hijau juga mempunyai sifat anti-radang yang boleh membantu mengurangkan sakit tekak dan ianya sudah terbukti melalui sebuah kajian klinikal.
Sakit tekak adalah komplikasi yang lazim berlaku kepada pesakit selepas intubasi endotrakeal yang merupakan satu kaedah penting untuk memastikan saluran udara terbuka pada pesakit di bawah pengaruh anestesia.
Menerusi pemerhatian yang dijalankan terhadap lebih kurang 121 pesakit di dalam kumpulan yang dinyatakan di atas, para penyelidik telah mendapati bahawa mereka yang berkumur dengan larutan teh hijau selepas tiub dikeluarkan mengalami sakit tekak yang kurang berbanding mereka yang berkumur dengan air (Sumber).
10. Minum Teh Halia
Juga mempunyai sifat anti-radang, halia juga boleh bagus untuk melegakan sakit tekak. Apa yang anda perlukan adalah basuh dan potong halia segar menjadi kepingan-kepingan kecil, kemudian masukkan ke dalam air panas selama lebih kurang 5 minit untuk dijadikan sebagai minuman teh halia (Sumber).
Kesimpulan
Terdapat pelbagai cara hilangkan sakit tekak yang boleh diamalkan sebagai rawatan alternatif selain bergantung kepada ubat-ubatan klinikal yang kebiasaanya akan lebih menjurus kepada terapi antibiotik.
Namun begitu, harus diingatkan bahawa rawatan alternatif yang dinyatakan di atas bukanlah seratus peratus berkesan dan ianya memerlukan konsistensi dalam amalan.
Meskipun kebanyakkan sakit tekak jarang mempunyai sebarang komplikasi, kita harus sentiasa peka dan sekiranya berlaku perkara-perkara di bawah, terus dapatkan khidmat nasihat daripada doktor.
- Mengalami sakit tekak yang teruk, berpanjangan sehingga merebak kawasan telinga.
- Batuk yang teruk sehingga mengeluarkan darah.
- Terdapat bengkak atau ketulan di kawasan leher atau nodus limfa yang lain.
- Mengalami kesukaran untuk menelan dan bernafas.
- Sedang batuk darah atau mempunyai darah dalam air liur anda.
- Terdapat tompokan putih di dalam tonsil ataupun tekak.
- Demam panas yang tak kebah-kebah.
- Kehilangan suara yang berpanjangan.
(Sumber)
Sumber Rujukan
- WebMD. Understanding Sore Throat — the Basics. Retrieved from webmd.com.
- Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Similarities and Differences between Flu and COVID-19. Retrieved from cdc.gov.
- Huynh NC, Everts V, Leethanakul C, Pavasant P, Ampornaramveth RS. Rinsing with Saline Promotes Human Gingival Fibroblast Wound Healing In Vitro. PLoS One. 2016 Jul 21;11(7):e0159843. doi: 10.1371/journal.pone.0159843. PMID: 27441729; PMCID: PMC4956236. Available from: pubmed.ncbi.nlm.nih.gov
- Chalageri VH, Bhushan S, Saraswathi S, Ranganath TS, Rani VD, Majgi SM, Vijay K, Hema MS, Sanadi SL, Nasreen PM, Shoyaib KM, Partheeban I, Vanitha B, Souza ND, Vaddatti JS. Impact of Steam Inhalation, Saline Gargling, and Povidone-Iodine Gargling on Clinical Outcome of COVID-19 Patients in Bengaluru, Karnataka: A Randomized Control Trial. Indian J Community Med. 2022 Apr-Jun;47(2):207-212. doi: 10.4103/ijcm.ijcm_804_21. Epub 2022 Jul 11. PMID: 36034257; PMCID: PMC9400364. Available from: pubmed.ncbi.nlm.nih.gov
- University Health Service, University of Michigan. Sore Throat? Here’s What to Do. Retrieved from uhs.umich.ed
- Sanu A, Eccles R. The effects of a hot drink on nasal airflow and symptoms of common cold and flu. Rhinology. 2008 Dec;46(4):271-5. PMID: 19145994. Available from: pubmed.ncbi.nlm.nih.gov
- Israili, Zafar H. MS, PhD. Antimicrobial Properties of Honey. American Journal of Therapeutics 21(4):p 304-323, July/August 2014. | DOI: 10.1097/MJT.0b013e318293b09b. Available from: journals.lww.com
- Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Botulism. Retrieved from cdc.gov.
- Richard Komakech, Yong-goo Kim, Gilbert Motlalepula Matsabisa, Youngmin Kang,
Anti-inflammatory and analgesic potential of Tamarindus indica Linn. (Fabaceae): a narrative review, Integrative Medicine Research, Volume 8, Issue 3, 2019, Pages 181-186, ISSN 2213-4220,. Available from: sciencedirect.com - The Journal of the American Dental Association (JADA). Baking soda dentifrices and oral health. Retrieved from: jada.ada.org
- Zambon JJ, Mather ML, Gonzales Y. A microbiological and clinical study of the safety and efficacy of baking-soda dentifrices. Compend Contin Educ Dent Suppl. 1996;17(19):S39-44. PMID: 11524866. Available from: pubmed.ncbi.nlm.nih.gov
- The Health Site. Cloves — Natural Remedy For Cough And Sore Throat. Retrieved from: thehealthsite.com
- Pacific Lutheran University. Home Remedies. Retrieved from: plu.edu
- Arzanlou M, Bohlooli S. Inhibition of streptolysin O by allicin – an active component of garlic. J Med Microbiol. 2010 Sep;59(Pt 9):1044-1049. doi: 10.1099/jmm.0.019539-0. Epub 2010 Jun 10. PMID: 20538890. Available from: pubmed.ncbi.nlm.nih.gov
- Jafari H, Ariaeifar MR, Yazdani Charati J, Soleimani A, Nasiri Formi E. The Effect of Green Tea Gargle Solution on Sore Throat After Coronary Artery Bypass Grafting: A Randomized Clinical Trial. Anesth Pain Med. 2016 May 9;6(3):e32108. doi: 10.5812/aapm.32108. PMID: 27642569; PMCID: PMC5018145. Available from: pubmed.ncbi.nlm.nih.gov
- Forbes. 10 Sore Throat Remedies, Backed By Experts. Retrieved from: forbes.com
- Cleveland Clinic. 6 Sore Throat Remedies That Actually Work. Retrieved from: health.clevelandclinic.org
All images credit Freepik