Tekanan darah tinggi yang berterusan tanpa dirawat boleh merosakkan organ dalaman manusia seperti buah pinggang, jantung dan otak. Buat yang mencari rawatan alternatif tanpa ubat, berikut adalah 15 petua menurunkan tekanan darah tinggi secara tradisional.
Pada masa kini, penyakit darah tinggi atau hipertensi adalah penyakit yang selalu dialami oleh rakyat Malaysia tanpa mengira peringkat umur. Jika suatu masa dulu, penyakit tekanan darah tinggi biasanya dialami oleh golongan yang sudah berusia.
Apakah ada cara lain untuk mencegah dan merawat penyakit darah tinggi selain dengan cara perubatan moden, atau dengan kata lain menggunakan petua orang dulu-dulu? Sebelum tu, boleh rujuk dahulu klasifikasi tekanan darah pada jadual di bawah:
Klasifikasi | Sistolik | Diastolik |
Normal | Bawah 120 | Bawah 80 |
Pra-Hipertensi | 120 – 139 | 80 – 89 |
Hipertensi Tahap 1 | 140 – 159 | 90 – 99 |
Hipertensi Tahap 2 | 160+ | 100+ |
Bacaan Sistolik bermaksud bacaan yang diambil semasa jantung mengepam darah ke saluran arteri. Manakala, bacaan tekanan Diastolik pula adalah bacaan semasa jantung diisi semula dengan darah semasa jantung mengendur. Secara amnya, klasifikasi tekanan darah yang normal adalah di bawah 120 (Sistolik) dan 80 (Diastolik).
Jadi apa klasifikasi tekanan darah anda? Adakah anda berisiko untuk mengalami tekanan darah tinggi / hipertensi. Kalau ya, jom kita selusuri senarai petua menurunkan tekanan darah tinggi di dalam artikel yang akan kami kongsikan pada hari ini.
1. Kurangkan Pengambilan Garam
Kenapa pengambilan garam perlu dikurangkan sebagai petua menurunkan tekanan darah tinggi yang paling utama walaupun garam bukanlah musuh utama kepada tekanan darah tinggi?
Okey, biar kami terangkan secara ringkasnya, ya. Garam mengandungi terlalu banyak kandungan natrium yang mengganggu keseimbangan cecair dalam badan. Untuk mengepam garam yang berlebihan dalam sistem tubuh badan kita, sumber cecair diambil daripada tisu di dalam badan.
Jadi, jantung perlu bekerja lebih keras lagi untuk mengepam. Bila dah letih mengepam, tekanan darah akan menjadi tinggi. Begitulah analoginya secara mudah difahami.
Untuk itu, sebagai langkah pertama, kita ikutlah saranan ini: kurangkan pengambilan garam dalam makanan dan diet harian, lepas tu bolehlah kita pregi kepada petua dan cara yang seterusnya.
Baca juga: Tekanan Darah Normal? Fakta dan Tips
2. Minum Air Kelapa Segar
Air kelapa segar mengandungi magnesium dan kalsium. Kedua-dua unsur ini berkaitan dengan fungsi otot biasa dan organ badan yang lain termasuklah jantung.
Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa air kelapa segar boleh membantu menurunkan tekanan darah.
Cara minum air kelapa untuk menurunkan tekanan darah:
- Minum air kelapa 1 hingga 2 kali sehari.
Waktu pengambilan:
- Pengambilan 1 kali sehari: Waktu pagi.
- Pengambilan 2 kali sehari: Waktu pagi dan malam.
3. Minum Air Rendaman Asam Keping
Siapa sangka, asam keping boleh diamalkan sebagai salah satu petua menurunkan tekanan darah tinggi.
Asam keping atau asam gelugor rasanya masam dan selalu digunakan dalam masakan terutamnya asam pedas dan laksa.
Cara minum air asam keping:
- Ambil 1 keping asam keping dan basuh.
- Rendam dalam secawan air masak atau air suam.
- Biarkan semalaman.
- Esok paginya, minum air rendaman asam keping tersebut.
4. Minum Air Limau Kasturi atau Limau Nipis
Caranya mudah sahaja, iaitu seperti kita nak buat air limau, Cuma tak perlu letak gula dan ais. Bila letak gula dan ais, dah tak jadi air ‘penawar’ dah, tapi dah bertukar jadi air penyedap tekak hehe.
Caranya buat air limau untuk turunkan tekanan darah tinggi:
- Sediakan sebelah biji buah limau nipis atau kasturi.
- Sediakan air suam 1 cawan.
- Perah air limau ke dalam air suam tadi.
- Terus minum masa suam (lebih sedap).
5. Menghidu Buah Limau atau Buah-Buahan Citrus
Oh ya, ada juga petua mengatakan bahawa hidu bau limau, oren atau buah-buah citrus pun boleh membantu meredakan tekanan dan stress.
Jadi, mungkin secara tak langsung ia dapat membantu meredakan tekanan darah tinggi bila kadar stress dah berkurang.
Ini adalah kerana buah-buahan citrus ialah antara buah yang mempunyai bau yang dapat membantu meredakan stress, meningkatkan mood yang baik dan meningkatlam fokus.
Sebab itulah buah-buahan citrus dijadikan essential oil yang dijual secara komersil kerana keberkesanannya itu. Cubalah hidu bau limau dan apa-apa buah citrus. Mudah saja!
6. Makan Bawang Putih
Bawang putih mengandungi banyak khasiat dan kegunaan untuk meningkatkan kesihatan dan amalan makan bawang putih juga dijadikan sebagai petua menurunkan tekanan darah tinggi.
Biasanya untuk masalah tekanan darah tinggi, bawang putih ini di makan dalam bentuk tablet kerana ia disediakan dalam dos yang sesuai untuk membantu meredakan dan menurunkan tekanan darah tinggi.
Pengambilannya mestilah mengikut dos yang telah ditetapkan dan mendapat nasihat daripada yang pakar.
Baca juga: 10 Khasiat Bawang Putih yang Perlu Anda Tahu
7. Makan Tembikai Pada Waktu Pagi
Ini dia petua menurunkan tekanan darah tinggi yang paling best sekali iaitu dengan hanya makan buah tembikai!
Siapa tak suka buah tembikai, lagi-lagi pada cuaca panas, kan? Tak sangka, rupanya buah tembikai boleh membantu turunkan tekanan darah tinggi.
Caranya cukup simple:
- Makan sepotong tembikai atau minum secawan jus tembikai pada waktu pagi semasa perut kosong.
8. Makan Buah Berry
Kumpulan buah berry juga dikatakan boleh dijadikan makanan amalan untuk menurunkan tekanan darah.
Pengambilan buah-buahan seperti seperti strawberi, rasberi, bluberi, muberi dan sebagainya adalah salah satu petua menurunkan tekanan darah tinggi yang sangat sedap dan menarik.
Caranya pula begitu mudah. Buah-buah berry ini boleh terus dimakan begitu saja atau boleh dijadikan salad buah atau ditambahkan di dalam yogurt. Sangat senang untuk diamalkan bukan?
Rasa berry yang manis dan sedikit masam pasti tak susah untuk kita menikmatinya. Sedapnya!
9. Minum Jus Buah (Ubi) Bit
Buah bit boleh juga dikumpulkan sebagai kumpulan ubi. Dalam kajian yang dilaporkan di Nutrition Journal (2013), minum just ubi bit akan menurunkan tekanan darah setelah 6 jam terutamanya pada kaum lelaki.
Ini adalah kerana ubi bit mengandungi kandungan nitrat yang boleh menurunkan tekanan darah tinggi.
10. Makan Coklat Hitam
Dikatakan, makan sepotong coklat hitam dapat membantu menurunkan tekanan darah. Kenapa ya makan coklah hitam bagus untuk kesihatan?
ini kerana kandungan flavonoid yang terdapat di dalam coklat hitam boleh membantu melebarkan pembuluh darah dan dengan secara automatiknya mampu menurunkan tekanan darah.
11. Senaman Secara Konsisten
Nak tak nak, kita tak boleh mengelak daripada melakukan aktiviti senaman secara konsisten. Banyak manfaat senaman yang akan kita perolehi bukan saja sebagai amalan dan petua menurunkan tekanan darah tinggi.
Tetapi senaman boleh membantu kita menurunkan berat badan, membina otot yang lebih pejal dan menarik, mengeluarkan peluh dan toksin dari badan, menjadikan badan kita lebih segar dan senaman juga adalah antara amalan gaya hidup sihat.
Maklumlah, zaman sekarang ni kita banyak mengadap gadjet dan skrin, eloklah kita luangkan masa juga untuk bersenam. Mata pun dapatlah rehat dan rasa lebih segar bila lihat pemandangan taman dan pokok-pokok bila kita bersenam di taman, sebagai contohnya.
Bersenam boleh dimana-mana saja ikut kesempatan dan kelapangan kita. Tak kiralah di rumah, di gym, berenang dan sebagainya. Yang penting adalah harus bersenam secara konsisten!
12. Amalkan Gaya Hidup Sihat dan Tangani Stress
Antara amalan gaya hidup sihat yang boleh kita lakukan bagi membantu mencegah dan menurunkan tekanan darah tinggi ialah:
- Menjaga pemakanan seharian – mengambil makanan seimbang dan berkhasiat.
- Hindari diri dari perkara yang boleh menimbulkan stress. Jika dah stress, mesti belajar mengawalnya dari berterusan.
- Melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
- Menjaga kebersihan diri dan persekitaran.
13. Berhenti Merokok
Tau tak kenapa merokok sangat membahayakan kesihatan dan kesan merokok juga boleh mengakibatkan masalah tekanan darah tinggi dalam badan?
Begini ya: Apabila merokok, kadar degupan jantung akan meningkat lebih laju berbanding degupan normal. Jadi, bila degupan jantung dah laju dan tak normal, ia menyebabkan tekanan darah juga meningkat naik.
Dalam jangka panjang pula, zat kimia pada tembakau juga meningkatkan tekanan darah dengan merosakkan dinding pembuluh darah dan menyempitkan arteri.
Dah ketahui fakta ini? Jadi fikirkan semula, adakah anda ingin terus merokok? Pilihan di tangan anda.
Baca juga: 5 Kesan Merokok Terhadap Kesihatan Menurut Kajian Sains
14. Kurangkan berat badan
Semakin bertambah berat badan, maka bertambahlah juga risiko mengalami penyakit tekanan darah tinggi.
Dalam beberapa penelitian yang dijalankan pada tahun 2016, kajian menunjukkan mengurangkan berat badan dapat mengurangi tekanan darah antara 3,2-4,5 mmHg.
Selain itu, menurunkan berat badan juga membantu mengurangkan risiko penyakit lain seperti obesiti.
15. Meningkatkan Aktiviti Fizikal
Apa jua petua sekalipun, antara cara yang berkesan ialah menjaga kesihatan badan dengan meningkatkan aktiviti fizikal. Aktiviti fizikal boleh jadi apa sahaja dan bukan semestinya harus bersenam.
Anda hanya perlu memperbanyakkan pergerakan keseluruhan anggota badan dan minda kita juga akan turut ‘bergerak’. Contoh aktiviti fizikal yang boleh kita lakukan setiap hari atau berkala ialah seperti melakukan kerja rumah, berkebun, berbasikal, menaiki tangga dan apa-apa sahaja hobi yang ada melibatkan pergerakan anggota badan dan otak kita untuk berfikir.
Ia dapat membantu meredakan stress dan menjadikan kita rasa lebih positif dan bersemangat untuk menjalani hari-hari kita.
Fakta Penyakit Tekanan Darah Tinggi
Seramai lebih 5.8 juta warga Malaysia mempunyai tekanan darah tinggi dan kurang 40% sahaja yang mendapat rawatan tetap. Jika tidak dirawat boleh terus meningkatkan risiko komplikasi tanpa mengira usia. Malahan, risiko komplikasi bertambah dengan peningkatan usia.
Kementerian Kesihatan Malaysia
Kesimpulan
Demikianlah 15 cara dan petua menurunkan tekanan darah tinggi yang boleh kita amalkan. Sebagai kesimpulan kepada semua 15 petua tersebut, kita dapat lihat bahawa penyakit tekanan darah tinggi boleh dicegah dan dikawal dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
Kita boleh amalkannya setiap hari dan ia tidak memerlukan kos langsung dan jika ada yang memerlukan kos pun ia sangatlah kecil harganya. Namun begitu, anda mestilah mendapatkan pemeriksaan, nasihat dan rawatan daripada doktor sebagai langkah terbaik untuk memastikan bagaimana tahap kesihatan anda.
Petua boleh juga diamalkan, namun jika anda telah mula diberikan ubat oleh doktor untuk dimakan, maka WAJIBLAH anda mengikut nasihat doktor. Jangan tak makan ubat pulak, ya. Yang penting, amalkan gaya hidup sihat dan nikmati hidup ini dengan penuh keceriaan kerana setiap individu berhak hidup bahagia dan sihat.
Frequently Asked Questions (FAQ)
Apakah Penyakit Darah Tinggi / Hipertensi?
Dalam perubatan, penyakit darah tinggi dikenali juga sebagai hipertensi.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, definisi hipertensi adalah tekanan darah (BP) sistolik sama atau lebih daripada 140mmHg tekanan darah dan diastolic adalah sama atau lebih daripada 90 mmHg.
Jantung anda berfungsi seperti pam yang mengecut dan berehat. Tekanan darah diukur dalam dua bacaan contohnya 130/85 mmHg.
Apakah Klasifikasi Tahap Tekanan Darah Yang Normal?
Anda boleh rujuk jadual di atas. Secara amnya, klasifikasi tekanan darah yang normal adalah di bawah 120 (Sistolik) dan 80 (Diastolik).
Tekanan Sistolik: Bacaan semasa jantung mengepam darah ke saluran Arteri
Tekanan Diastolik: Bacaan semasa jantung diisi semula dengan darah semasa jantung mengendur.
Apakah Punca Yang Boleh Menyebabkan Tekanan Darah Tinggi?
Tekanan darah tinggi boleh berpunca daripada faktor-faktor berikut. Namun begitu, semua faktor di atas tidak bermakna seseorang itu mengalami penyakit tekanan darah tinggi kerana tekanan darah ini akan kembali normal.
1. Tekanan (stress)
2. Terlalu penat
3. Gelisah melampau
4. Sakit
5. Berdebar-debar
6. Ketakutan
7. Merokok
8. Mengamalkan pemakanan tidak sihat
9. Gaya hidup tidak aktif
10. Selepas melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam
Bagaimanakah Cara Untuk Mengesan Penyakit Tekanan Darah Tinggi?
Untuk mendapatkan keputusan samada seseorang individu itu mengalaminya atau sebaliknya ialah dengan cara menjalani diagnosa dan pemantauan berterusan dilakukan dalam jangkamasa 3 hingga 6 bulan.
Pastikan setiap kali diagnosa dilakukan, alat pengambil tekanan berada dalam keadaan baik. Anda pula perlu berada dalam keadaan tenang dengan posisi badan yang betul.
Pastikan anda tidak merokok atau mengambil kafein dalam tempoh 15 minit sebelum pemeriksaan tekanan darah dilakukan. Jika berdebar-debar atau terlalu letih pun akan mempengaruhi ketepatan bacaan tekanan darah tersebut. Jadi, just rileks, okey.
Apakah Petua Menurunkan Tekanan Darah Tinggi?
Mungkin ada di kalangan kita, yang ingin mencuba menurunkan tekanan darah tinggi dengan menggunakan kaedah semulajadi atau dengan cara orang dulu-dulu, iaitu petua.
Boleh rujuk 15 petua menurunkan tekanan darah tinggi yang kami sediakan. Namun begitu, sukacita kami ingatkan bahawa jangan lupa dapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor jika gejala sakit anda berterusan.
Mungkin apa yang kami kongsikan ini dapat dijadikan sebagai ilmu dan panduan. Mana yang sesuai, bolehlah dicuba.
Sumber Rujukan:
1. Pendidikan Kesihatan, KKM
All images credit to Pixabay & Wikimedia @MyUpchar