Kesihatan

5 Punca Hidung Berdarah Secara Tiba-Tiba

Terdapat pelbagai punca hidung berdarah. Meskipun boleh dikategorikan sebagai tidak serius, ianya tidak harus dipandang remeh.

Hidung berdarah (nose bleed) secara tiba-tiba atau juga dikenali sebagai epistaksis adalah situasi di mana salur darah kecil kapilari di rongga hidung pecah mahupun koyak (Sumber). Epistaksis terbahagi kepada dua jenis yakni anterior (pendarahan di bahagian hadapan rongga hidung) dan posterior (pendarahan di bahagian belakang rongga hidung) di mana pendarahan hidung posterior lebih berkemungkinan memerlukan perhatian serta rawatan perubatan (Sumber).

Pada kebiasaannya, pendarahan hidung akan terhenti dengan sendiri jika tidak melibatkan faktor-faktor kesihatan yang lain. Andai hidung tidak berhenti berdarah dalam tempoh masa tertentu dan anda sendiri tidak tahu akan puncanya, segeralah berjumpa doktor untuk berkonsultasi tentang rawatan lanjutan.

Benarkah hidung berdarah ditakrifkan sebagai petanda masalah kesihatan yang serius? Atau ianya sekadar tindak balas tubuh badan oleh cuaca yang ekstrem bagi sesetengah individu?

Pada artikel pada kali ini, kami akan berkongsikan kepada anda mengenai punca hidung berdarah dan cara berkesan untuk menanganinya.

1. Terdedah dengan cuaca yang panas

Cuaca panas dalam sesebuah kawasan sememangnya mengundang pelbagai jenis penyakit termasuklah menjadi punca hidung berdarah. Sama ada kanak-kanak mahupun golongan dewasa, masing-masing mempunyai risiko yang tersendiri untuk mendapatkan masalah ini.

Apabila kapilari darah di dalam bahagian hidung pecah kerana udara yang panas, salutan mukus pelindung di dalam hidung boleh menjadi kering dan membawa kepada pendarahan (Sumber).

Cara untuk mengatasinya adalah mengelakkan diri daripada berada di bawah pancaran matahari secara terus seperti dengan memakai penutup kepala, topi, payung apabila berada di luar rumah.

Baca juga: 10 Cara Menangani Stress & Tekanan

2. Kerap mengorek hidung

Tabiat buruk seseorang yang kerap mengorek hidung boleh menjadi punca hidung berdarah. Ianya berlaku disebabkan tekanan yang kuat ketika mengorek hidung sehingga memecahkan pembuluh darah kecil di bahagian hidung.

Masalah ini terjadi bila mana kita menggunakan benda-benda yang tajam seperti kuku atau objek tajam yang lain untuk mengorek hidung lalu mencederakan struktur yang lemah tersebut.

Menurut pakar, cara terbaik untuk menghilangkan kotoran di dalam hidung adalah dengan menghembus ke dalam kertas tisu dan kemudian mencuci tangan. (Sumber).

3. Berlaku hentakan pada hidung

Untuk pengetahuan anda, struktur pembuluh darah pada permukaan dalam hidung adalah sangat lemah.

Justeru dengan itu, jika berlaku sedikit hentakan yang minimal sekalipun pada kawasan hidung boleh mendatangkan risiko serta menjadi punca hidung berdarah.

Apabila kemalangan seperti ini berlaku, anda perlu lakukan rawatan kecemasan asas bagi mengurangkan pendarahan. Menurut portal kesihatan Cleveland Clinic, berikut adalah langkah-langkah rawatan kecemasan untuk hidung berdarah:

  1. Beri keselesaan kepada diri dan duduk di dalam keadaan menegak dan tunduk ke depan secara membongkok.
  2. Cuba untuk bernafas melalui mulut secara perlahan-lahan dan kemudian picit bahagian bawah hidung yang lembut selama 20-30 minit.
  3. Letakkan ketulan ais di pangkal hidung untuk menguncupkan salur darah seterusnya mengurangkan pengaliran darah dibahagian tersebut.
  4. Lepaskan picitan pada hidung. Selepas 10 minit periksa sama ada pendarahan telah berhenti atau tidak.

Jika masih berdarah ulangi picit bahagian hidung selama 10 minit. Jika pendarahan berterusan segeralah berjumpa doktor. Jika pendarahan telah berhenti, elakkan dari terus bangun atau berdiri. Sebaliknya duduklah dulu seketika sehingga kita benar-benar dalam keadaan yang baik. Dalam masa yang sama, elakkan juga dari menyapu atau bernafas melalui hidung.

Baca juga: Ubat Ketuat & Cara Hilangkan Ketuat

4. Terdedah pada udara yang sejuk dan kering

Bukan sahaja cuaca panas, malah seseorang yang terdedah dengan udara yang sejuk dan kering juga boleh menyebabkan kerengsaan terhadap saluran darah pada hidung.

Biasanya kita akan berasa pedih apabila bernafas dalam cuaca sejuk seperti dalam bilik yang berpenghawa dingin, atau ketika musim sejuk di mana-mana negara yang mengalami fenomena empat musim.

Adalah sangat penting untuk memastikan hidung kita dalam keadaan lembap sentiasa khususnya ketika berada dalam persekitaran yang berudara sejuk dan kering. Gunakan nasal saline spray setiap 2-3 jam sekali untuk keselesaan sentiasa.

5. Penyakit serius

Punca hidung berdarah yang kita mungkin tidak mahu ianya berlaku adalah simptom dari penyakit-penyakit yang lebih serius.

Misalnya seperti masalah pembekuan darah akibat penyakit darah seperti leukemia atau kesan sampingan ubat-ubatan seperti ubat cair darah, terdapat objek asing di dalam hidung biasanya terjadi kepada kanak-kanak, ketumbuhan di dalam hidung seperti tumor, atau sebagainya. Untuk memastikan perkara ini, anda dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan lanjut dengan pakar bagi diagnosis yang sebenar.

Baca juga: 5 Cara Mengatasi Obesiti (Mudah & Berkesan)

Kesimpulan

Walaupun hidung berdarah kebiasaannya bukanlah sesuatu perkara yang harus dibimbangkan, langkah rawatan kecemasan dan pendedahan maklumat tentang punca hidung berdarah serta cara menanganinya adalah perkara yang harus diketahui umum.

Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai punca hidung berdarah dan cara untuk menanganinya ini dapat memberikan anda semua ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan bila mana berlaku kecemasan dalam kalangan ahli keluarga atau diri sendiri.

Sumber Rujukan
  1. Portal MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia. Pendarahan hidung. Retrieved from myhealth.gov.my.
  2. Tabassom A, Cho JJ. Epistaxis. [Updated 2022 Sep 12]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: ncbi.nlm.nih.gov
  3. Berita Mediacorp, Singapura. Pendarahan hidung. Retrieved from berita.mediacorp.sg
  4. Pescador Ruschel MA, De Jesus O. Migraine Headache. (Updated 2022 Nov 27). Available from: https://ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK560787/
  5. WebMD. Nosebleed Causes. Retrieved from: webmd.com
  6. Portal Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA). Pendarahan dari hidung. Berbahaya atau tidak?. Retrieved fromĀ  fp.unisza.edu.my