Kesihatan

Ketumbit Mata? Punca dan Cara Mengatasinya

Ketumbit mata kebiasaannya akan hilang sendiri selepas beberapa hari. Meskipun tidak serius, ianya boleh menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan pada kelopak mata.

Ketumbit adalah sejenis jangkitan pada kelopak mata yang paling biasa dan boleh dikatakan semua orang mempunyai kebarangkali untuk mengalaminya dalam purata sekurang-kurangnya satu atau dua kali sepanjang hidup. Buat sesetengah orang, ketumbit mata boleh berlaku berulang-ulang kali (Sumber).

Masyarakat Melayu sering mengaitkan ketumbit mata dengan tabiat seseorang yang suka mengintai. Ini adalah tanggapan yang tidak benar dan mitos semata-mata. Andai anda terkena ketumbit mata dan kesakitan atau bengkak tidak surut selepas dua hingga tiga hari, sebaiknya dapatkan khidmat nasihat doktor.

Pada artikel kali ini, kita akan berkongsi kepada anda berkenaan beberapa punca dan cara untuk mengatasi masalah ketumbit mata yang boleh anda praktikkan.

Apakah Ketumbit Mata?

Ketumbit mata adalah benjolan merah yang kebiasaannya menyakitkan dan sering kelihatan seperti bisul ataupun jerawat pada kawasan berhampiran kelopak mata.

Berdasarkan artikel yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ketumbit mata yakni hordeolum luaran boleh berlaku jika terdapat jangkitan kuman staphylococcus ke atas akar (folikel) bulu mata seseorang. Manakala, saluran kelenjar yang tersumbat akibat penakungan minyak pula akan menyebabkan chalazion ataupun hordeolum dalaman (Sumber).

Ketumbit selalunya hanya akan menjejaskan sebelah mata sahaja. Namun, tidak mustahil jika ketumbit mata berlaku lebih daripada satu benjolan pada suatu masa yang sama. Andai kelopak mata anda bengkak tanpa benjolan, ianya berkemungkinan besar adalah konjunktivitis ataupun blepharitis (Sumber).

Baca juga: 5 Khasiat Strawberi untuk Kecantikan Wanita

Simptom Ketumbit Mata

Menurut American Academy of Ophthalmology (AAO), terdapat beberapa gejala ataupun simptom ketumbit mata yang boleh dikenalpasti. Antaranya adalah seperti berikut:

  • Benjolan merah yang menyakitkan berhampiran kelopak mata sekitar pangkal bulu mata.
  • Terdapat bintik nanah kecil di tengah-tengah benjolan.
  • Mengalami kegatalan di sekitar kawasan mata.
  • Mata menjadi sensitif kepada cahaya.
  • Terdapat kerak di sepanjang tepi kelopak mata.

(Sumber)

Punca dan Cara Mengatasinya

Terdapat beberapa punca yang boleh dikaitkan dengan ketumbit mata. Berikut adalah punca-punca dan cara mengatasinya untuk rujukan bersama.

1. Kurang penjagaan kebersihan selepas menggunakan produk kosmetik

Pemakaian produk solekan khususnya dibahagian mata seperti maskara atau pembayang mata yang tercemar dengan bakteria boleh menjadi punca berlakunya ketumbit mata (Sumber).

Jika berlaku ketumbit mata, elakkan dari menggunakan sebarang alat solek khususnya pada bahagian sekeliling mata buat sementara waktu. Hal ini kerana ia boleh menyumbat lubang kelenjar, dan seterusnya boleh mengakibatkan situasi yang lebih serius.

Umumnya, masalah ini sebenarnya boleh diatasi daripada awal sekiranya anda tidak leka dan cuai dalam menjaga kebersihan produk kosmetik sendiri. Sebaiknya, ganti alat solek anda terutamanya maskara dan pembayang mata sekurang-kurangnya setiap 6 bulan sekali (Sumber).

Langkah-langkah pencegahan seperti ini adalah sangat penting untuk mengelakkan berlakunya pertumbuhan bakteria di dalam alat solek. Jangan terlalu berkira dan sayangkan peralatan solek yang sudah lama digunakan kerana ianya mungkin akan membahayakan kesihatan.

Baca juga: Cara Menjaga Kebersihan Diri dan Persekitaran

2. Menghidap Blepharitis

Blepharitis adalah sejenis radang di sekeliling tepi kelopak mata. Sungguhpun penyakit ini sukar dikawal tetapi ia tidak akan menyebabkan kerosakan kekal pada penglihatan anda dan tidak juga berjangkit (Sumber).

Bagi punca ketumbit yang disebabkan oleh blepharitis, tiada penawar yang boleh anda gunakan untuk menyembuhkannya. Namun, penjagaan dan perawatan kelopak mata yang betul sedikit sebanyak dapat melegakan masalah tersebut.

Tuam panas boleh membantu melembutkan kerak dan melonggarkan serpihan minyak. Berikut adalah cara-caranya:

  • Basahkan kain lap bersih dalam air suam.
  • Perah dan letakkan di atas kelopak mata selama 5 minit.
  • Basahkan sekali lagi jika perlu untuk memastikan ia hangat.

3. Mengalami masalah kulit

Masalah kulit seperti rosacea dan dermatitis sering berlaku kepada mereka yang berkulit sensitif. Kulit akan berasa tegang dan kering sehingga boleh menyebabkan kegatalan berlebihan.

Masalah kulit sensitif bagi segelintir orang mungkin berpunca daripada tindak balas alergi terhadap makanan, produk dan aroma wangian hingga menyebabkan kemerahan, kekeringan serta kegatalan.

Kajian menunjukkan dalam kebanyakkan kes berkaitan ketumbit mata, ianya mungkin berpunca dari masalah keradangan seperti dermatitis seborrheic, acne rosacea dan blepharitis (Sumber).

Untuk merawat masalah tersebut, anda mungkin akan diberikan krim untuk disapu terus pada kulit bagi mengurangkan bintik-bintik serta ubat kapsul seperti antibiotik untuk mematikan kuman yang merebak.

4. Pesakit kencing manis

Penyakit mata yang berkaitan diabetes mempunyai hubungan rapat dengan kawalan gula dalam darah dan tempoh diabetes. Andai diabetes tidak dikawal, pelbagai masalah mata yang menjejaskan kelopak mata, kornea, otot, retina dan saraf mungkin boleh berlaku (Sumber).

Cara untuk menangani masalah ini anda perlulah melakukan pemeriksaan klinik secara rutin untuk mengelakkan komplikasi mata akibat diabetes. Lakukan pemeriksaan retina seperti yang dinasihatkan pakar oftalmologi untuk mengelakkan kecacatan penglihatan kekal.

Baca juga: 5 Khasiat Bunga Telang untuk Kencing Manis

Ada juga kaedah rawatan lain yang dipanggil fotokoagulasi laser, berfungsi untuk menghalang sehingga 90% kehilangan penglihatan akibat retinopati diabetik (Sumber).

Dalam masa yang sama, kawal kandungan gula dan lipid dalam darah untuk memastikan penyakit kencing manis tidak mendatangkan kesan yang lebih teruk.

5. Kerap memakai kanta lekap

Jika dahulu, pemakaian kanta lekap atau contact lens hanya digunakan untuk mereka yang mempunyai masalah penglihatan tetapi hari ini ramai yang menggunakannya hanya untuk tujuan kosmetik dan kecantikkan.

Cara terbaik yang boleh anda lakukan untuk elak dari masalah ketumbit mata adalah dengan hanya memakai kanta lekap apabila disarankan oleh doktor sahaja.

Kemudian, dari segi penjagaannya pula, kanta lekap harus dibersihkan dan kemudian direndam dalam larutan segar. Jika boleh, elakkan daripada memakai kanta lekap untuk tempoh masa yang panjang (Sumber).

Kesimpulan

Meskipun ketumbit mata boleh diklasifikasikan sebagai tidak serius, keberangkalian untuk masalah ini terjadi berulang kali tetap ada bergantung kepada tahap dan langkah kebersihan diri masing-masing.

Umum sedia maklum bahawa antara cara terbaik untuk mencegah jangkitan kuman adalah dengan mengamalkan cara menjaga kebersihan diri yang praktikal serta konsisten seperti berikut:

  • Basuh tangan menggunakan sabun dengan teliti dan kerap, terutamanya sebelum menyentuh muka dan mata anda.
  • Cuci dan bersihkan muka dari sebarang solekan sebelum tidur.
  • Jangan gunakan peralatan solek yang sudah lama atau tamat tempoh.
  • Sentiasa basuh tangan terlebih dahulu sebelum dan selepas menanggalkan kanta sentuh.

Diharapkan perkongsian kami berkenaan dengan punca ketumbit mata ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Images credit Freepik

Sumber Rujukan
  1. MedBroadcast. Styes (Hordeolum). Retrieved from medbroadcast.com.
  2. Portal MyHEALTH, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ketumbit. Retrieved from myhealth.gov.my.
  3. NHS UK. Stye. Retrieved from nhs.uk.
  4. American Academy of Ophthalmology (AAO). What Is the Difference Between a Stye and a Chalazion? Causes, Symptoms, Treatment. Retrieved from aao.org.
  5. Ophthalmology Advisor. Steering Clear of Makeup Misuse Can Prevent Ocular Disease. Retrieved from ophthalmologyadvisor.com.
  6. Stanford Healthcare. Chalazion and Stye Risk Factors. Retrieved from stanfordhealthcare.org.
  7. Stanford Healthcare. Blepharitis. Retrieved from mayoclinic.org.
  8. American Academy of Ophthalmology (AAO). Chalazion Management: Evidence and Questions. Retrieved from aao.org.
  9. Dr Mohan. Eye and Diabetes. Retrieved from drmohans.com.
  10. MedLine Plus. Laser photocoagulation – eye. Retrieved from medlineplus.gov.
  11. Contact Lenses UK. What is a Chalazion?. Retrieved from contactlenses.co.uk.