Apakah hidung tersumbat dan bagaimanakah cara hilangkan hidung tersumbat dengan mudah dan berkesan?
Masalah hidung tersumbat adalah isu kesihatan umum yang banyak berlaku kepada setiap orang tidak kira kanak-kanak atau dewasa. Antara faktor yang boleh menyebabkan hidung tersumbat adalah seperti selesema, flu, sinusitis dan juga alahan.
Meskipun masalah hidung tersumbat adalah perkara yang biasa terjadi, namun ianya tidak harus dipandang remeh. Jom kita bincangkan apakah definasi, simptom, punca dan cara untuk hilangkan hidung tersumbat.
Apakah Maksud Hidung Tersumbat?
Hidung tersumbat adalah gejala kesesakan ataupun ketidakselesaan yang mungkin boleh berlaku disebabkan oleh alahan mahupun bukan alahan. Ianya biasa berlaku apabila tisu dan saluran darah di dalam hidung meradang yakni menjadi bengkak (Sumber).
Saluran hidung yang membengkak akan menyekat aliran udara dan seterusnya menyebabkan kesukaran bernafas melalui hidung. Pengeluaran lendir juga akan menjadi lebih sukar lalu menyebabkan berlakunya pengumpulan lendir. Keadaan inilah yang sering dirujuk sebagai sebagai hidung tersumbat (Sumber).
Hidung tersumbat boleh berlaku untuk jangka pendek mahupun berpanjangan bergantung kepada puncanya tetapi selalunya ianya akan hilang dalam tempoh masa seminggu. Jika tidak, mungkin terdapat beberapa faktor penyebab lain yang contohnya seperti alahan (Sumber).
Andai keadaan kesesakan hidung sering berlaku ataupun berpanjangan, segeralah untuk mendapatkan khidmat nasihat doktor. Jangan ambil mudah jika mengalami hidung tersumbat kerana mungkin terdapat permasalahan lain yang berkait.
Baca juga: 10 Cara Hilangkan Sakit Tekak melalui Rawatan Alternatif
Simptom dan Gejala Hidung Tersumbat
Terdapat beberapa simptom dan gejala hidung tersumbat yang biasa terjadi. Antara simptom yang paling biasa adalah berlaku adalah seperti berikut (Sumber).
- Kesukaran untuk bernafas – Apabila bahagian di dalam hidung meradang dan membengkak, saluran hidung akan menjadi sempit seterusnya meyekat aliran udara.
- Batuk atau sakit tekak – Pengumpulan lendir akan mengalir ke bahagian kerongkong dan ini boleh menyebabkan batuk atau sakit tekak.
- Bersin – Biasanya disebabkan oleh alahan
- Antara simptom lain adalah seperti sakit kepala, kegatalan dan kekurangan deria bau.
Punca Hidung Tersumbat
Menurut artikel yang dikeluarkan oleh The Holly Private Hospital, berikut adalah beberapa punca sering dikaitkan dengan masalah hidung tersumbat:
Punca | Penerangan |
---|---|
1. Jangkitan virus, kuman atau kulat | Hidung tersumbat boleh berlaku disebabkan jangkitan virus, kuman atau kulat yang diketahui sering memasuki badan melalui hidung. Ianya akan menyerang lapisan hidung serta tekak seterusnya menyebabkan keradangan. |
2. Alahan ataupun alergi | Alahan juga boleh menjadi asbab utama dan keadaan ini dipanggil alergi rinitis. Pencetus alahan seperti habuk, debunga dan sebagainya boleh menimbulkan tindak balas kepada alahan. |
3. Ubat-ubatan | Pengambilan ubat-ubatan juga boleh menjadi penyebab kepada masalah hidung tersumbat. Sebagai contoh, semburan dekongestan hidung yang digunakan untuk tempoh yang lebih lama boleeh menyebabkan lapisan hidung meradang dan membengkak dengan lebih teruk. |
4. Sinusitis (Jangkitan resdung) | Sinusitis ataupun sering dikenali sebagai jangkitan resdung boleh menyebabkan sinus menjadi bengkak dan dipenuhi dengan cecair kerana lendir tidak boleh mengalir keluar. Ini boleh menyebabkan suhu tinggi, lendir kuning atau hijau, sakit muka, sakit kepala, deria bau berkurangan dan hidung tersumbat. |
5. Polip hidung | Polip hidung adalah ketumbuhan lembut dan bukan kanser di dalam hidung dan boleh dikaitkan dengan alahan atau jangkitan, tetapi punca sebenar mereka tidak diketahui. Polip biasanya bengkak yang tidak berbahaya, tetapi boleh menyekat hidung anda jika tidak dirawat. |
Baca juga: 5 Ubat Batuk Tradisional Guna Ramuan Semulajadi
Cara Hilangkan Hidung Tersumbat
Cara 1 – Guna Ubat Antihistamin
Hidung tersumbat sering dikaitkan berpunca daripada selesma biasa akibat rhinovirus. Jangkitan rhinovirus kebanyakannya ringan dan terhad berlaku kepada diri sendiri (Sumber).
Justeru cara hilangkan hidung tersumbat tertumpu kepada diri sendiri sebagai pencegahan penyebaran kepada orang lain. Dari segi perubatan, anda boleh mengambil ubat antihistamin.
Ubat hidung tersumbat ini bertindak mengurangkan tahap sensitiviti seseorang terhadap ejen-ejen alergi lalu tindak balas seperti pengeluaran hingus dan pembengkakkan isi hidung pun berkurangan (Sumber).
Kebiasaanya, ubat-ubatan seperti ini boleh membuatkan anda mudah berasa mengantuk. Ia boleh didapatkan dalam bentuk tablet, kapsul, cecair, sirap, losyen, titisan mata dan semburan hidung.
Cara 2 – Guna Pelembap Udara
Pelembap udara atau humidfier adalah sejenis alat yang berfungsi sebagai pelepas wap air atau stim bagi meningkatkan tahap kelembapan dalam udara sesuatu ruang.
Tujuannya adalah untuk mencegah udara yang telah terkedap di sekeliling kamar tidur anda daripada menjadi terlalu kering.
Mengikut kajian dikatakan bahawa, penggunaan pelembap udara boleh membantu melegakan hidung tersumbat dan boleh memecahkan lendir supaya anda boleh bernafas dengan lebih baik (Sumber).
Cara 3 – Mandi Air Panas untuk menghilangkan hidung tersumbat
Pasti anda tertanya-tanya apa kaitan mandi dan hidung tersumbat? Wap mandi air panas sebenarnya boleh membantu menipiskan lendir dalam hidung anda dan mengurangkan keradangan (Sumber). Mandi air panas setidaknya boleh membantu pernafasan anda kembali normal untuk waktu yang singkat.
Pastikan tutup pintu bilik mandi supaya lembapan dapat dikumpulkan. Apabila kelembapan cukup, tarik nafas sedalamnya untuk membersihkan rongga hidung anda yang tersumbat itu.
Kaedah ini sebenarnya sama dengan teknik menghirup wap stim dalam mangkuk. Hanya sahaja anda tidak perlu menggunakan tuala di atas kepala untuk memerangkap wap haba seperti selalu.
Baca juga: 5 Tanda Sakit Buah Pinggang yang Harus Anda Tahu
Cara 4 – Guna Semburan Decongestant Nasal Spray
Seperti yang dibicarakan sebelum ini, punca hidung tersumbat adalah kerana saluran darah di dalam hidung anda membengkak lalu menyekat saluran pernafasan (Sumber).
Penggunaan nasal spray seperti decongestants berupaya untuk mengecutkan saluran tersebut dan membantu anda bernafas lebih mudah. Pastikan, anda memilih nasal spray yang mengandungi bahan phenylephrine atau pseudoephedrine untuk kesan yang terbaik.
Namun harus diingatkan, sebolehnya elakkan daripada guna decongestants lebih dari tiga hari berturut-turut kerana ia mungkin boleh membuatkan hidung lebih tersumbat (Sumber).
Cara 5 – Guna Semburan Hidung Saline Spray
Penggunaan alat semburan hidung sedikit sebanyak boleh membantu mengurangkan keradangan tisu di hidung dan mengurangkan rasa tersumbat (Sumber).
Teknik penggunaannya yang betul amat penting bagi memastikan keberkesanan rawatan. Di mana sepatutnya ubat tersebut berada di dalam hidung dan bukannya mengalir di belakang tekak.
Setiap alat semburan hidung tentunya berbeza antara satu sama lain dan mempunyai arahan penggunaan yang berbeza. Contohnya seperti cara pegang, teknik priming, proses selepas priming dan sebagainya (Sumber).
Berdasarkan tips yang dikongsikan oleh Klinik ENT, Kepala & Leher Dr. Cheong, berikut adalah cara penggunaan nasal spray:
- Tegakkan kepala anda atau dengan sedikit menunduk ke bawah.
- Arahkan hujung alat semburan daripada septum hidung (tulang rawan tengah yang membelah dua bahagian hidung).
- Selepas menyembur, endus perlahan-lahan dan elakkan menghidu terlalu kuat, kerana ini boleh menyebabkan ubat mengalir ke kerongkong anda.
Jika diikutkan kepada kadar kandungan steroid pada alat semburan hidung ini ia tidaklah terlalu banyak. Mungkin kesan sampingan yang biasa anda akan rasa hanya dari bau atau rasa yang tidak menyenangkan.
Namun jika anda mengalami kesan yang lebih buruk dari itu seperti hidung berdarah, anda boleh cuba kurangkan dos steroid hidung anda, atau sapu dengan gel hidung pelembab (Sumber).
Kesimpulan
Diharapkan artikel kali ini mengenai punca dan cara hilangkan hidung tersumbat seperti yang dikongsikan di atas sedikit sebanyak dapat membantu anda.
Selain itu, anda juga boleh cuba pastikan bahagian kepala ditinggikan ketika tidur dan minum air secukupnya untuk membantu melonggarkan lendir dan mengurangkan tekanan di saluran pernafasan.
Semoga perkongsian kali ini dapat memberikan sedikit sebanyak ilmu pengetahuan baru dan informasi yang bermanfaat kepada semua.
Semua gambar kredit Freepik
Sumber Rujukan
- The Holly Private Hospital. What causes nasal congestion (a blocked nose) and how is it treated?. Retrieved from theholly.com.
- Vicks. Symptoms 101: Sinus & Nasal Congestion. Retrieved from vicks.com.
- Mount Sinai Health System. Stuffy or runny nose. Retrieved from mountsinai.org.
- Cleveland Clinic. Nasal Congestion. Retrieved from clevelandclinic.org.
- eMedicine Medscape. Rhinovirus (RV) Infection (Common Cold). Retrieved from emedicine.medscape.com.
- Mayo Clinic. Antihistamine/Decongestant Combination (Oral Route). Retrieved from mayoclinic.org.
- MedlinePlus. Humidifiers and health. Retrieved from medlineplus.gov.
- Healthline. How to Clear a Stuffy Nose. Retrieved from healthline.com.
- WebMD. 5 Ways to Get Rid of a Stuffy Nose. Retrieved from webmd.com.
- Everyday Health. 5 Quick Ways to Get Rid of a Stuffy Nose. Retrieved from everydayhealth.com.
- Medical News Today. 10 tips for getting rid of a stuffy nose. Retrieved from medicalnewstoday.com.
- MyHEALTH Portal, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Teknik Penggunaan Alat Semburan Hidung. Retrieved from myhealth.gov.my.
- Klinik ENT, Kepala & Leher Dr. Cheong, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Cara menggunakan semburan hidung. Retrieved from johorentdoctor.com