Ini adalah tips kewangan viral untuk anak muda yang paling mudah untuk difahami dan diamalkan. Jom baca perkongsian ini.
Pengurusan kewangan adalah merupakan satu cabang ilmu yang sangat penting di dalam kehidupan setiap insan terutamanya anak-anak muda. Tanpa perancangan serta pentadbiran yang betul, peratusan anak-anak muda seperti anda untuk gagal mahupun bankrap adalah sangat tinggi.
Pada artikel kali ini, kita akan membincangkan beberapa tips kewangan viral untuk anak muda yang rasanya paling berkesan jika dipraktikkan secara konsisten tanpa mengerti maksud penat dan lelah.
Buat anak-anak muda yang baru belajar merasa duit gaji sendiri, moga-moga anda semua lebih terbuka minda dan fikiran selepas baca tips kewangan ini. Semoga ianya bermanfaat.
1. Menabung Walaupun Sedikit
Mulalah menabung wahai anak muda meskipun dengan nilai tabungan yang kecil. Ingatlah jika nilainya hanya 10 sen, anda harus tetap menabung!
Tidak kira sekecil mana wang yang anda masukkan ke dalam tabung, ianya sudah cukup untuk mendidik disiplin menabung di dalam diri. Apa yang paling penting, anda perlu belajar untuk menabung dari hari ini dan bukannya esok.
Meskipun di dalam keadaan yang agak terdesak, sentiasa belajar untuk asingkan sedikit wang untuk dimasukkan ke dalam tabung.
Didik dan pupuklah diri anda untuk mula menabung sebagai salah satu tabiat di dalam jati diri dan disiplin hidup masing-masing.
Baca juga: 5 Kebaikan Menabung kepada Pelajar
2. Kawal Nafsu Membeli dengan “30-Day Rule”
Wacana serta dakyah jahat seperti “Beli dahulu, fikir kemudian” boleh dianggap sebagai salah satu ideologi ataupun budaya yang amat merbahaya. Perbelanjaan tanpa perancangan yang khusus akan membunuh kesejahteraan kewangan anak-anak muda.
Menurut liputan media, sekitar 40 peratus anak muda berbelanja di luar kemampuan (Sumber). Malah, terdapat juga berita yang melaporkan fakta di mana orang muda pada masa kini sanggup berhabis lebih kurang RM1,500 sebulan hanya untuk beli kopi mahal (Sumber).
Sekiranya anda tergolong di dalam kelompok di atas, cuba amalkan “30-Day Rule”. Konsepnya sangat mudah, andai kata anda mempunyai keinginan untuk membeli sesuatu, cuba pendamkan dahulu niat tersebut selama 30 hari.
Tahan sekejap nafsu membeli dan cuba fikir-fikirkan samada ianya keperluan ataupun keinginan. Jika anda terasa mahu spend some money, apa kat anda amalkan sedekah Subuh yang jauh lagi bermanfaat!
Dengan cara melengahkan pembelian, anda sebenarnya telah memberi masa kepada diri sendiri untuk mengalihkan perhatian anda dengan perkara-perkara yang lebih penting dan bukanlah hanya memberi tumpuan kepada keinginan untuk memiliki barangan tersebut.
Selepas 30 hari, anda bebas untuk membuat keputusan. Jika masih mahu membeli, silakan.
3. Bayar Tunai bukan Kredit
Kadar faedah yang dikenakan oleh pihak bank ke atas hutang kad kredit yang tertunggak adalah sangat tinggi dan boleh mencecah sehingga 18 peratus setahun (Sumber).
Walaupun terdapat kemudahan melalui pembayaran secara minimum, ianya sebenarnya adalah satu perangkap yang jelas untuk anak-anak muda seperti anda untuk terus membayar kadar faedah yang tinggi setiap bulan.
Bayangkan anda mempunyai hutang kad kredit tertunggak sebanyak RM10,000 dan sekiranya anda membayar RM200 untuk pembayaran minimum, jumlah faedah 18 peratus setahun yang dikenakan adalah sekitar RM150 sebulan.
RM150 digunakan untuk faedah kad kredit dan anda sebenarnya hanya membayar RM50 sahaja hutang tertunggak tersebut. Sampai bila hutang nak habis?
Justeru dengan itu, berhati-hatilah sekiranya anda mahu membayar dengan kredit. Utamakan pembayaran secara tunai dan sebolehnya elakkan penggunaan kad kredit.
Recommended: Kalkulator Kewangan Percuma, kira anggaran bayaran hutang kredit kad
Kesimpulan
Kesedaran kepentingan pengukuhan kewangan pada usia yang muda adalah satu rahmat. Sangat penting untuk belajar menabung, faham keperluan dan kehendak diri sendiri serta jauhkan diri daripada jerat kredit kad.
Andai anda berjaya memahami dan mengamalkan tiga perkara ini, pastinya anda tidak akan menyesal pada masa hadapan. Bermulalah dari awal untuk memupuk dan mendidik diri sendiri tentang kepentingan kewangan peribadi demi kebaikan masa hadapan.
Baca juga: Tips Beli Rumah Pertama Usia Muda
Sumber Rujukan
- 40 peratus orang muda berbelanja di luar kemampuan, Harian Metro. (n.d.). Retrieved from https://www.hmetro.com.my/bisnes/2021/03/682326/40-peratus-orang-muda-berbelanja-di-luar-kemampuan
- Orang muda berhabis RM1,500 sebulan beli kopi mahal, Kosmo. (n.d.). Retrieved from https://www.kosmo.com.my/2022/12/15/orang-muda-berhabis-rm1500-sebulan-beli-kopi-mahal/
- Kad kredit ‘Jerat’ Generasi Muda, Berita Harian. (n.d.). Retrieved from https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/06/970330/kad-kredit-jerat-generasi-muda