Travel

20+ Tempat Menarik di Kuala Pilah (Wajib Singgah)

Selain makanan yang sedap-sedap, terdapat pelbagai tempat menarik di Kuala Pilah yang harus anda kunjungi. Jom baca perkongsian ini.

Kuala Pilah adalah daerah ketiga terbesar di Negeri Sembilan dan sangat terkenal dengan adat perpatih yang sudah diamalkan sejak dahulu lagi. Bandar yang terkenal dengan itik salai ini terletak di antara Seremban dan Bahau serta merupakan salah satu daerah yang sering menjadi tumpuan pelancong di Negeri Sembilan.

Mari kita lihat apa tempat-tempat menarik di Kuala Pilah yang boleh anda lawati jika berkesempatan berkunjung ke sini.

1. Ladang Alam Warisan

Ladang Alam Warisan merupakan salah satu tempat menarik di Kuala Pilah yang wajib ada kunjungi jika mahu mengenal gaya hidup, kesenian, warisan dan adat resam Melayu dengan lebih dekat.

Manakan tidak, sebaik sahaja melangkah masuk ke Ladang Alam Warisan terus terkenang kembali kegemilangan Melayu zaman dahulu kala. Dah macam kat dalam set filem pula.

Bukan biasa-biasa tau, di sini anda boleh bergaya dengan pakaian tradisional Melayu seperti orang dulu-dulu yang siap bertanjak dan berkeris. Nak lagi rare, bergambar dengan kuda sambil pegang busur panah. Pasti rakan-rakan anda iri hati melihatnya.

Antara aktiviti yang terkenal di sini adalah memanah dan berkuda. Anda boleh belajar cara-cara menunggang kuda dan memanah yang betul. Selain itu, terdapat pelbagai lagi aktiviti yang lain seperti memberi haiwan makan di zoo mini, permainan muzik tradisional, berkhemah dan bermacam-macam lagi.

Alamat: Jalan Kampung Juar, Kampung Tanah Datar, 71550 Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari kecuali Isnin 9:00AM – 6:30PM
Contact: +6012 346 0709 / Facebook

2. Muzium Diraja Seri Menanti

Google Maps Images

Muzium Diraja Sri Menanti merupakan antara destinasi pelancongan dan tempat menarik di Kuala Pilah yang sangat digemari penggemar sejarah dan adat perpatih.

Muzium ini pada asalnya adalah sebuah istana yang telah menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sekitar tahun 1900an dan pernah digunakan sebagai sekolah sebelum dibiarkan kosong.

Ianya kemudiannya diwartakan sebagai Muzium Diraja oleh DYMM Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada tahun 1992.

Istana ini dibina hanya menggunakan pasak tanpa sebarang paku dan mempunyai 99 tiang batu kayu jenis penak. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan pelbagai perabot dan bilik tidur.

Alamat: Seri Menanti, 71550, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Contact: +606-497 9653

Baca juga Tempat Menarik di Jelebu

3. Galeri Teratak Bonda Jeliah

Google Maps Images

Buat peminat barangan antik, Teratak Bonda Jeliah adalah lokasi wajib di Kuala Pilah yang harus anda singgah.

Galeri Teratak Bonda Jeliah yang terletak di Kampung Bukit Senaling, Kuala Pilah dikatakan mempunyai lebih 15,000 barangan antik yang dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit.

Kunjungan ke galeri ini pastinya boleh melakar seribu senyuman buat penggemar dan peminat barangan antik. Biarpun tak dapat memiliki, melihatnya sahaja pun sudah mampu menggembirakan pengunjungnya.

Selain daripada melihat koleksi-koleksi barangan peribadi, pengunjung juga dapat merehatkan minda dengan persekitaran landskap dan menghirup udara yang segar dari kawasan kampung.

Alamat: No 4, Kampung Bukut Senaling, 72000 Kuala Pilah
Waktu Operasi:
Isnin – Khamis 9.00AM – 5.00PM
Sabtu, Ahad & Cuti Umum 9.00 – 7.00PM
Contact: +6013-614 1120 (Encik Nazri)

4. NS Dairy Farm

Facebook NS Dairy Farm

NS Dairy Farm adalah sebuah ladang lembu dan kambing serta merupakan pengeluaran susu yang boleh dikatakan legend di Malaysia. Ada juga yang menggelarkan lokasi ini sebagai New Zealand Negeri Sembilan.

Pernah tak minum susu berperisa coklat, strawberi, keladi atau jagung seperti di gambar di bawah? Kalau nak tahu, di sinilah susu-sus berperisa ini dikeluarkan.

Facebook NS Dairy Farm

Selain berfungsi sebagai ladang ternakan, NS Dairy Farm juga ada menyediakan farmstay dengan pelbagai aktiviti menarik seperti zoo mini, farm tour, team building, flying fox, wall climbing, monkey walk dan macam-macam lagi.

Alamat: No.3720, Rembang Panas, Juasseh, 72000 Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Contact: 019-6200854 (Nana) / 019-3217652 (Mak Lang)

5. Teratak Zaaba

Google Maps Images

Teratak Zaaba adalah sebuah muzium yang dikhususkan sebagai memorial untuk mengenang jasa seorang penulis Melayu yang bernama Zainal Abidin Bin Ahmad yang juga dikenali sebagai Za’ba.

Muzium ini adalah sebuah rumah kayu tradisional yang bercirikan Negeri Sembilan dan sangat cantik. Di dalam muzium ini terdapat pelbagai harta peribadi Za’ba seperti Al-Quran, typewriter, kipas lama, barangan perabot kayu dan sebagainya.

Walaupun Teratak Zaaba ini terletak di dalam daerah Jempol tetapi lokasinya berada di tengah-tengah di antara Bahau dan Kuala Pilah. Jadi anda boleh singgah sebentar ke sini kerana lokasinya tidak jauh mana dari Bandar Kuala Pilah.

Alamat: Kampong Bukit Kerdas, 72100 Batu Kikir, Negeri Sembilan
Contact: +606-498 5193

6. Pilah Kontenastay

Mahukan homestay kontena ala kampung, moden dan cottage style? Muktamad. Pilah Kontenastay adalah tempatnya.

Pilah Kontenastay terletak hanya 5 minit dari Bandar Kuala Pilah dan merupakan salah satu lokasi penginapan homestay berasaskan kontena yang paling unik dan menarik di Kuala Pilah.

Sesiapa yang berminat bercuti-cuti ala-ala Inggeris style dalam dusun buah-buahan ditemani udara segar dan nyaman serta jauh dari hiruk pikuk kota, bolehlah datang ke sini dan rasai kelainannya.

Ramai mat salleh yang mula datang sini kerana percutiannya ala-ala kampung suci dan tenang, kawasan seperti ini sangat sesuai untu mereka yang mahu mencari ketenangan.

Alamat: No 40 1/2 72000, Batu, 23, Jalan Kuala Pilah, Kampung Parit Tengah, Negeri Sembilan
Contact: +6012-275 6862 / Facebook

7. EcoBerembun Homestay Kuala Pilah

Facebook @EcoBerembun

EcoBerembun Homestay Kuala Pilah sangat terkenal di Kuala Pilah dan sering menjadi tumpuan organisasi, keluarga besar dan juga pihak universiti.

Ia memuatkan seramai 30 kapasiti sekali menginap. Harganya juga sangat murah dan berpatutan iaitu sekitar RM 100 semalam.

Bagaikan konsep taman rekreasi, anda boleh bersiar-siar di dalam kawasan EcoBerembun sambil melakukan aktiviti bersenam, jogging, mandi kolam dan banyak lagi.

Udara yang segar serta suasana yang tenang homestay ini membuatkan anda begitu rileks dan jauh daripada kesibukan kota.

Alamat: 3022, Kampung Sawah Liat, Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Contact: +6019-620 1870 / Facebook

8. Kampungstay Laman Ejo

Facebook @KampungstayLamanEjo

Kampungstay Laman Ejo adalah sebuah homestay yang mempunyai tiga buah rumah utama yang diberi nama Banglo Santalia, Banglo Fucida dan Dormitory Rubella.

Lokasi homestay ini berdekatan dengan Istana Diraja Sri Menanti dan Muzium Istana Lama Sri Menanti. Kepada yang mempunyai urusan di Seri Menanti, bolehlah bermalam di Kampungstay Laman Ejo.

Selain itu, lokasinya juga tidak jauh dari Taman Rekreasi Ulu Bendul. Kalau teringin nak mandi-manda bolehlah ke Ulu Bendul yang terletak lebih kurang 15km sahaja dari Kampungstay Laman Ejo.

Alamat: Lot 4450, Kampung Tengah, Ulu Panglang, 71550 Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Contact: +6012-399 8793

Baca juga: Tempat Menarik di Gemas

9. Laman Gentam

Kepada pasangan yang bakal berkahwin, anda bolehlah jenguk-jenguk di Laman Gentam sebagai lokasi yang terbaik untuk majlis resepsi anda.

Di sini fasilitinya lengkap dan lokasi sangat cantik dan ekslusif. Kawasannya luas dan parkingnya juga turut disediakan.

Selain majlis resepsi, terdapat juga penginapan yang selesa dengan harga yang berpatutan. Alatan BBQ dan kolam renang mini pun ada disediakan.

Alamat: 48, 9, Kampung Gentam Tengah, 72000 Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Contact: +606-481 3713

10. Gunung Angsi

Google Maps Images

Gunung Angsi adalah salah sebuah gunung yang terkenal di Negeri Sembilan dan mempunyai ketinggian sekitar 825 meter (2,702 kaki).

Terletak lebih kurang satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Gunung Angsi sering dijadikan lokasi untuk berlatih dan beriadah oleh warga kota.

Selain itu, lokasinya juga berdekatan dengan Taman Rekreasi Ulu Bendul menjadikan Gunung Angsi begitu popular di kalangan pendaki yang mahu mandi-manda selepas berjaya menawan puncak Gunung Angsi.

Terdapat dua laluan pendakian iaitu trailhead Ulu Bendul dan Bukit Putus. Trailhead Bukit Putus lebih mudah dan santai berbanding trailhead Ulu Bendul yang mempunyai jarak trek laluan anak sungai yang lebih jauh.

Anda perlu mendaftar di Pejabat Taman Ranger sebelum memulakan pendakian dan membayar yuran sebanyak RM 5 seorang.

Alamat: Bukit Putus (Gunung Angsi Trailhead), Jalan Kuala Pilah, Seremban, Negeri Sembilan

11. Taman Rekreasi Ulu Bendul

Google Maps Images

Taman Rekreasi Ulu Bendul adalah salah satu port mandi-manda dan tempat menarik di Kuala Pilah paling dikunjungi ramai.

Selain terkenal dengan air sungai yang sejuk dan nyaman, terdapat juga beberapa kolam buatan manusia yang sesuai untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.

Terdapat beberapa tarikan lain di Ulu Bendul seperti Taman Ular Sawa dan Taman Herba. Anda juga boleh menyewa chalet dan tapak perkhemahan pada harga yang berpatutan untuk bersantai bersama keluarga dan berkelah sambil melihat keindahan flora dan fauna.

Alamat: Taman Rekreasi Ulu Bendul, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Contact: +6012-651 4957

12. Jeram Tengkek


Selain Ulu Bendul, Jeram Tengkek juga adalah salah satu lokasi menarik untuk mandi-manda bersama keluarga.

Walaupun terletak agak jauh kira-kira 30 minit dari pekan Batu Kikir, Jeram Tengkek mempunyai air terjun yang sangat cantik dan airnya juga sangat sejuk dan bersih.

Disamping itu, terdapat juga perkampungan Orang Asli boleh anda lawati bagi mempelajari cara hidup sesuatu kaum itu.

Dikatakan juga, asal Jeram Tengkek dikaitkan dengan pendakian bukit yang bertingkat-tingkat oleh peneroka sehingga terpaksa menggunakan tongkat untuk mendaki.

Alamat: Hutan Lipur Jeram Tengkek, 72200 Batu Kikir, Negeri Sembilan

13. Wave Rock, Bukit Baginda

GMPNG Hikers

Tidak jauh dari lokasi Jeram Tengkek, ada satu lagi port yang sering dicari oleh para hikers yang dinamakan Bukit Baginda.

Berbeza dengan gunung dan bukit yang lain, objektif para pendaki di sini adalah untuk menjejak Wave Rock ataupun Batu Berombak.

Lokasi ini pernah viral suatu ketika dahulu dikatakan ribuan hikers telah berjaya hiking Bukit Baginda termasuklah dari France, Japan, UK, Vietnam dan Filipina.

Wave rock ataupun batu berombak ini adalah salah satu daripada 70 tapak batu megalitik yang terdapat di daerah Kuala Pilah.

Alamat: Bukit Baginda Trailhead, Kampung Majau, 72200 Batu Kikir, Negeri Sembilan

14. Bukit Bearop, Kg.Tulang Rimau

Bagi anda yang mahu melihat pandangan Bukit yang cantik, Bukit Bearop ini boleh dijadikan salah satu “wish list” untuk beriadah. Hal ini disebabkan oleh pemandangan yang menarik dan cantik yang terdapat di sini.

Bukit Bearop terletak lima kilometer dari Pekan Dangi. Ketinggiannya adalah sekitar 362m di atas paras laut, menjadikan ia sebagai titik tertinggi di kampung ini.

15. Bukit Senaling

Facebook @BukitSenalingOfficial

Bukit Senaling adalah merupakan antara port pendakian popular untuk melihat “awan karpet” di kalangan para hikers.

Menurut mereka yang pernah mendaki, awan karpet akan kelihatan mengelilingi puncak bukit pada awal pagi dan keadaan di puncak juga sangat sejuk dan fresh.

Untuk mendaki Bukit Senaling ini, anda perlu booking dahulu kerana perlu melalui beberapa private property. Jadi disarankan anda call dan tanya dahulu. Contact number ada disediakan di bawah.

Alamat: Start Point Bukit Senaling Hiking Trail, 72000 Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Contact: +6017-224 9601 / Facebook

16. ATV Kg Jkin Extreme Park

Facebook ATV KG JKIN

Buat yang gemarkan aktiviti lasak, ATV Kampung JKIN Extreme Park adalah port aktiviti outdoor dan tempat menarik di Kuala Pilah yang boleh anda cuba.

Di sini ada menyediakan pelbagai aktiviti outdoor yang menarik antaranya seperti Flying Fox, Hiking, Rock Climbing, Extreme Swing, MTB Funride dan aktiviti air.

Selain itu, Kampung Jkin juga menyediakan penginapan kepada pengunjung yang mahu bercuti dan meluangkan masa di sini.

Alamat: ATV Kg Jkin Extreme Park
Contact: +6011-2089 3883

17. Gerai-gerai di Kampung Terachi

Facebook @ItikSalaiFresh

Antara tempat-tempat menarik di Kuala Pilah yang anda wajib singgah adalah gerai-gerai tepi jalan di Kampung Terachi. Kenapa wajib singgah?

Anda wajib singgah di sini kerana terdapat pelbagai produk jualan orang-orang kampung yang rasanya sukar untuk didapati di tempat lain. Contohnya seperti produk daging salai, buah-buahan tempatan, dodol cair, telur itik, lemang dan rendang..

Apa yang paling best, di sini sentiasa ada menjual lemang dan rendang. Boleh dikatakan setiap masa dan bukannya pada musim-musim perayaan sahaja.

18. Pasar Tani Kuala Pilah

Google Maps Images

Jika anda berkesempatan berkunjung ke Kuala Pilah pada hari Sabtu, jangan lepaskan peluang untuk pergi ke Pasar Tani Kuala Pilah.

Di sini terdapat perlbagai keperluan harian seperti ikan sungai, daging segar, daging salai, sayur-sayuran kampung dan macam-macam lagi.

Apa yang terkenal di sini adalah produk salai seperti itik salai, ikan salai dan daging salai.

Tapi harus diingatkan, pasar tani ini beroperasi dari pukul 7.00pagi hingga 12.00 tengahari sahaja. Jadi tak boleh lewat-lewat ya.

Alamat: Pasar Tani Kuala Pilah
Waktu Operati: Hari Sabtu sahaja 7.00AM – 12.00PM

19. Makam Tuan Tulis

Google Maps Images

Haji Ismail Bin Hussein adalah seorang ulama yang berasal dari Kampung Kuala Talang, Kuala Pilah.

Beliau adalah seorang yang miskin tetapi sangat cekal dalam mencari ilmu. Kerana tidak mampu membeli buku, beliau sanggup menyalin semula buku-buku yang dipinjam dari rakan-rakannya.

Walaupun sudah tamat pengajian, beliau masih cekal menulis kitab-kitab sehinggakan digelar Tuan Tulis. Makam ini dibina untuk memperingati kecekalan beliau setelah dititahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Alamat: Kampung Kuala Talang, 71500 Tanjung Ipoh, Kuala Pilah Negeri Sembilan

20. Tapak Megalitik

Terdapat banyak lokasi tapak megalitik yang dikenal pasti di sekitar Kuala Pilah.

Dikatakan juga tapak-tapak megalitik ini pernah menjadi tempat pemujaan serta lokasi pengumpulan masyarakat untuk aktiviti-aktivit masyarakat seperti persembahan tradisi dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, kini tapak megalitik ini seperti tidak dijaga dan diharapkan pihak berwajib dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menjadikan lokasi ini sebagai salah satu lokasi pelancong dan tempat menarik di Kuala Pilah.

Kesimpulan

Bagaimana? Banyak kan tempat menarik Kuala Pilah. Belum cerita bab makan-makan lagi.

Selain itu, kedai-kedai emas di Bandar Kuala Pilah juga sering menjadi tumpuan ramai. Dikatakan harga emas di sini lebih murah berbanding di tempat-tempat lain.

Sekiranya anda berpeluang berkunjung ke sini, jangan lepaskan peluang untuk singgah di tempat-tempat menarik di Kuala Pilah yang kami senaraikan ini.