Menikmati Nasi Lemak Ikan Keli & Kodok Gelumang di Warung Nayan, Lenggeng

Sudah lama aku perhatikan Warung Nayan ni tapi selalunya mesti fullhouse. Deretan kereta dan motor di sepanjang jalan kecil di Kampung Rawa, Lenggeng ini membuatkan aku begitu bersemangat untuk menikmati sarapan seawal jam 7.15 pagi di warung yang sudah lama beroperasi sejak dari tahun 1972 lagi.

Antara menu yang terkenal di sini ialah nasi lemak ikan keli dan kodok gelumang. Orang Nogori panggil ikan sembilang. Tak kisahlah panggil nama apa pun janji sedap dan halalan toyibban. Apa ada hal.

Hanya Dibuka Sabtu & Ahad

Warung Nayan hanya dibuka pada hari Sabtu dan Ahad sahaja. Waktu perniagaan ialah dari pukul 6.30 hingga 10.00 pagi.

Dikatakan juga nasi lemak ikan keli dan kodok gelumang di Warung Nayan ni laku keras dan selalunya akan habis dijual seawal jam 9.00 pagi. Untuk tidak berasa kecewa, sila rancang waktu anda dan datang awal.

Nasi Lemak Ikan Keli/Sembilang

Menurut sumber yang boleh dipercayai, Warung Nayan inilah yang menjadi pelopor kepada hidangan nasi lemak ikan keli atau ikan sembilang yang kini telah menjadi salah satu trademark di kawasan Lenggeng ni.

Kalau nak ikut standard, nasi lemak Nayan memang awal-awal lagi dah out sebab tiada benda basic seperti timun, ikan bilis, kacang dan telur. Tetapi disebabkan rasa gulai dan sambal ikan keli yang padu membuatkan anda seakan-akan rela memaafkan dan menerima kekurangan yang ada.

Aku sudah rasa kebanyakan nasi lemak ikan keli atau ikan sembilang di sekitar Lenggeng dan jujur aku katakan bahawa nasi lemak Nayan ini adalah antara yang paling sedap.

Terdapat 2 variasi nasi lemak di sini:

Nasi Lemak Gulai Keli

Ini yang paling top dan superb. Harus datang awal kalau anda ingin merasai nasi lemak gulai keli kerana ianya sangat limited. Terdapat satu rasa unik yang tak dapat ditafsirkan dengan kata-kata.

Serious geng, nasi lemak gulai keli memang layan habis dan syahdu dia lain macam!

Nasi Lemak Sambal Keli

Nasi lemak sambal keli pun sedap dan cukup rasa. Sedikit pedas berbanding dengan variasi gulai tetapi bukan pedas yang melampau. Ianya pedas yang boleh diterima oleh kebanyakkan lapisan masyarakat.

Tetapi secara peribadi, aku lebih gemarkan nasi lemak gulai keli.

Kodok Gelumang

Ini pun trademark di Lenggeng. Sebenarnya nama “kodok” bermaksud cekodok pisang dan perkataan “gelumang” itu diberi sempena mengenangkan proses dimana cekodok itu digelumangkan di dalam sira. Alah, macam disirakanlah maksudnya.

Mulanya aku beranggapan mesti manis gila. Tapi ternyata aku silap. Rasa cekodok pisang yang authentic, lembut dan kemanisan sira hanya nipis-nipis sahaja. Cukup seimbang dan saling melengkapi. Nicely done!

Harga & Rating

Harga di Warung Nayan ini dijamin mesra rakyat. Sudahlah makanan sedap dan murah, ditambah pula dengan persekitaran kampung yang cukup santai dan mendamaikan.

Harga

Nasi Lemak RM1.20
Kodok Gelumang RM0.50
Ikan seketul RM0.50

Ianya adalah satu gabungan hebat untuk spot sarapan pagi yang padu, jitu dan digemari ramai. Jadi markah rating 3/5 sememangnya layak sangatlah. Recommended!

GETTING THERE

Warung Nayan, Lenggeng


Address: N30, Kampung Rawa, 71750 Lenggeng, Negeri Sembilan
Opening Hours: Sabtu & Ahad 6:30AM – 10:30AM
Contact: +6012-633 9115 (En. Madzlan)