Baru-baru ini, YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan telah merasmikan Restoran Pandu Lalu McDonald’s Tampin atau lebih popular dengan nama Mekdi Tampin.
Malah, beliau juga turut merasmikan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald – Yayasan Jaafar Ahmad serta menyempurnakan pembayaran zakat korporat bernilai RM180 ribu oleh McDonald’s Malaysia kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINs).
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Mekdi Tampin yang telah mula beroperasi pada penghujung tahun 2020 ini pada asalnya adalah sebuah bangunan rumah rehat yang kemudiannya di ubahsuai menjadi restoran McDonald’s.
Apa yang lebih menarik, Mekdi Tampin juga merupakan satu-satunya restoran McDonald’s dengan rekabentuk bumbung panjang ala Minangkabau yang sememangnya sangat sinonim dengan rumah-rumah tradisional di Negeri Sembilan.
Gambar: YBhg. Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia bersama YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan merasmikan Restoran Pandu Lalu McDonald’s di Tampin pada 8 Mac 2022.
Selain itu, Mekdi Tampin juga merupakan restoran McDonald’s yang ke-15 di Negeri Sembilan dan dikabarkan mungkin beberapa lagi cawangan baharu bakal dibuka di sekitar Rembau, Senawang dan Rasah.
Selari dengan inisiatif Kerajaan negeri, pembukaan restoran-restoran seperti ini dilihat mampu untuk menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negeri terutamanya dalam menawarkan peluang pekerjaan untuk komuniti setempat.
“Sokongan dan kerjasama syarikat-syarikat korporat seperti McDonald’s, bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri tetapi juga dapat merangsang peluang-peluang pembangunan kerjaya kepada golongan muda di negeri ini. Saya amat berbangga dengan pembukaan restoran baharu McDonald’s ini memandangkan ia adalah salah satu dari usaha Kerajaan untuk meningkatkan sosio-ekonomi dan menuju ke arah transformasi Negeri Sembilan sebagai negeri membangun”
– YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan
Selain dari rekabentuk yang unik, Restoran McDonald’s Tampin ini juga digandingkan dengan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald – Yayasan Jaafar Ahmad. Bilik terapi sensori ini disediakan khas untuk kanak-kanak istimewa khususnya dari keluarga golongan B40 bagi meningkatkan kemahiran kognitif dan keyakinan diri mereka.
Umum sedia maklum tentang keprihatinan McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) yang senantiasa komited dalam usaha untuk membantu kanak-kanak berkeperluan khas dan masalah pembelajaran.
Oleh sebab itulah, penajaan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) telah bermula di seluruh negara sejak dari tahun 1999 lagi dengan harapan untuk meningkatkan kemahiran kognitif serta keyakinan diri mereka.
Sehingga kini, RMHC telah membangunkan sebanyak 35 buah bilik terapi sensori di seluruh Malaysia, rangkaian bilik terapi sensori terbesar di Malaysia, dengan kos tajaan lebih dari RM4 juta dan telah memanfaatkan lebih dari 7,000 orang kanak-kanak istimewa, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Tidak cukup dengan itu, McDonald’s Malaysia juga adalah sebuah entiti yang sentiasa peka dengan nasib golongan asnaf dan mereka yang memerlukan. Dengan penyerahan bayaran zakat korporat bernilai RM180 ribu kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINs), diharapkan kebajikan mereka akan lebih terbela dan terjaga.
Telah menjadi tanggungjawab kita rakyat Malaysia untuk saling bantu-membantu sesama kita. Bak kata pepatah, berat sama di berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Gambar: YBhg. Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia menyerahkan zakat korporat McDonald’s Malaysia kepada YBhg. Dato’ Dr. Abd Aziz Bin Sheikh Ab. Kadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
Baca juga: Persatuan Suri Rumah Malaysia
Gambar muka depan kredit Roslan Mohamad Hussain