Selain menjadi sumber tenaga dan nutriens, terdapat pelbagai kebaikan chia seed untuk kesihatan. Jom kita lihat apa sebenarnya rahsia dan fungsi chia seed.
Pengambilan chia seed di dalam diet seharian sudah menjadi salah satu trend kesihatan yang baik di kalangan masyarakat kini.
Apa yang lebih menarik, terdapat pelbagai produk yang berasaskan chia seed sudah berada dan semakin mudah didapati di pasaran.
Apa sebenarnya kebaikan chia seed dan manfaatnya kepada kesihatan? Mari kita bincangkan bersama.
1. Sangat Kaya Dengan Nutriens dan Antioksidaan
Antara kebaikan chia seed yang paling utama adalah ia mempunyai kandungan nutriens yang bagus untuk kesihatan.
Chia seed sangat kaya dengan nutriens seperti serat, protein, kalsium, fosforus dan sebagainya.
Serat
Satu auns yakni sekitar 28 gram chia seed mengandungi lebih kurang 12 gram karbohidrat dimana 11 gram itu adalah serat yang tidak boleh dicerna oleh badan.
Kandungan serat yang tinggi sangat bagus untuk kesihatan tubuh kerana serat tidak mempengaruhi kandungan gula di dalam darah dan tidak memerlukan insulin untuk menstabilkan kandungan gula tersebut.
Lebih 40% kandungan karbohidrat di dalam chia seed adalah serat dan ini menjadikannya antara sumber serta yang terbaik di dunia. Ini adalah kebaikan chia seed yang tidak boleh disangkal.
Protein
Chia seed juga merupakan sumber protein berasaskan tumbuhan yang bagus dan sering digunakan oleh pengamal vegetarian di dalam diet seharian mereka.
Ini kerana chia seed boleh menjadi sumber protein lengkap dimana setiap sesudu chia seed mengandungi lebih kurang 2 gram protein.
Kalsium & Fosforus
Kalsium dan fosforus adalah di antara nutriens penting yang sering dikaitkan dengan chia seed.
Kalsium sangat diperlukan badan untuk kesihatan gigi dan tulang manakala fosforus pula diperlukan untuk pertumbuhan serta pembaikan sel di dalam tubuh.
Asid Lemak Omega-3
Chia seed mengandungi kandungan asid lemak omega-3 yang tinggi. Malahan lebih tinggi daripada salmon.
Antioksidan
Selain kaya dengan nutriens, chia seed juga mengandungi antioksidan yang sangat penting untuk melawan penghasilan radikal bebas di dalam badan.
Radikal bebas diketahui umum boleh merosakkan molekul sel dan menyumbang kepada penuaan serta penyakit lain yang berkaitan seperti barah.
2.Membantu Penurunan Berat Badan Yang Sihat
Antara kebaikan chia seed yang sering menjadi tumpuan ramai adalah ianya mampu untuk membantu penurunan berat badan yang sihat.
Di mana saja pasti ada yang kaitkan chia seed dengan kurus bukan?
Ya benar, seperti yang dibincangkan sebelum ini, chia mempunyai kandungan serat yang tinggi serta protein yang berkualiti untuk membantu anda menguruskan badan.
Kandungan serat chia seed boleh menyerap sejumlah besar air dan mengembang di perut anda. Ini boleh menjadikan anda merasa kenyang dan tidak cepat lapar.
Selain itu, kandungan protein berkualiti yang terkandung di dalam chia seed juga dipercayai mampu membantu mengurangkan selera makan dan pengambilan makanan.
Terdapat kajian yang berjaya membuktikan bahawa pengambilan chia seed ketika sarapan boleh meningkatkan rasa kenyang dan mengurangkan pengambilan makanan dalam jangka pendek.
Walaubagaimanapun, diet dan amalan pemakanan bukanlah formula magis untuk kuruskan badan. Gaya hidup dan aktiviti bersenam haruslah berkadar langsung dengan diet seharian untuk memastikan kejayaan penurunan berat badan yang seimbang.
3. Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung
Chia seed juga dipercayai mampu mengurangkan risiko penyakit yang berkaitan dengan jantung. Ini adalah salah satu kebaikan chia seed yang perlu kita semua ambil tahu.
Kandungan asid lemak omega-3 yang terdapat di dalam chia seed sering juga dikaitkan dengan kemampuan anti-radang serta boleh meningkatkan peredaran yang lebih baik.
Kajian mendapati bahawa dengan mengambil 37 gram chia seed setiap hari boleh mengurangkan penanda darah untuk keradangan sebanyak 40% seterusnya boleh mengurangkan risiko penyakit berkait jantung.
Selain itu, terdapat juga beberapa kajian yang menunjukkan bahawa chia seed mampu mengurangkan tekanan darah tinggi yang merupakan salah satu penyebab utama penyakit jantung.
4. Mengurangkan Kandungan Gula Dalam Darah
Selain bagus untuk mengawal tekanan darah tinggi, kebaikan chia seed yang lain adalah ianya juga boleh mengurangkan kandungan gula di dalam darah.
Chia seed mampu meningkatkan kepekaan insulin dan kawalan kadar gula di dalam darah selepas makan. Ini secara tidak langsung mampu membantu menstabilkan kadar gula di dalam darah.
Menurut kajian, makan roti yang mengandungi chia seed boleh menurunkan kenaikan gula di dalam darah selepas makan berbanding roti yang tidak mengandungi chia seed.
Baca juga: Khasiat Pegaga untuk Kesihatan dan Kecantikan
5. Meningkatkan Kesihatan Tulang
Chia seed mempunyai sumber nutriens seperti kalsium, magnesium, protein dan fosforus yang sudah diketahui sangat bagus untuk kesihatan tulang.
Sumber kalsium yang terdapat di dalam chia seed juga boleh dikatakan adalah lebih tinggi daripada kebanyakkan produk tenusu.
Maka tidak hairanlah chia seed sering menjadi pilihan ramai untuk sumber kalsium terutamanya kepada mereka yang tidak mengamal dan mengambil kalsium daripada produk-produk tenusu.
Cara Minum Chia Seed untuk Kurus
Sukatan chia seed adalah 2 sudu besar chia seed (30-40gram) dibancuh bersama 1 liter air dan perlu dihabiskan dalam masa sehari.
Jumlah maksimun hanya 2 sudu besar chia seed sahaja untuk sehari. Jangan ambil berlebihan kerana boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti alergi, kembung perut dan sebagainya.
Cara minum chia seed dengan air adalah seperti berikut:
- Rendam dahulu sehingga chia seed menyerap air sepenuhnya ke dalam air kosong.
- Jika muncul dan kelihatan seperti gel di sekeliling maknanya air chia seed sudah boleh diminum.
- Boleh terus diminum begitu sahaja atau boleh perah lemon sedikit untuk menambah rasa.
Waktu Terbaik Minum Chia Seed
Antara waktu terbaik minum chia seed adalah pada waktu pagi sebelum sarapan dan seterusnya boleh diambil lagi pada bila-bila masa pada waktu lain.
Boleh bancuh siap-siap pada awal pagi dan bahagi kepada dua bahagian. Satu diminum pada awal pagi dan selebihnya harus boleh diminum pada bila-bila masa dan perlu dihabiskan dalam masa 24jam.
Kesimpulan
Terdapat pelbagai kebaikan chia seed untuk kesihatan yang boleh kita manfaatkan. Selain itu chia seed juga sangat mudah dan cepat untuk disediakan sebagai makanan tambahan atau superfood.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kesan sampingan chia seed yang boleh memudaratkan kesihatan jika diambil secara berlebihan. Anda boleh rujuk banyak testimoni chia seed di dalam internet untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Maka disini kesederhanaan adalah kunci kepada kejayaan. Jika anda masih lagi baru mahu mencuba mengambil chia seed, anda bolehlah mula dengan 1 auns atau sekitar 27 gram chia seed sehari sahaja sebelum perlahan-lahan meningkatkan pengambilannya seharian.
Sumber Rujukan:
1. Chia seeds as a source of natural lipid antioxidants
2. Antioxidants and aging
3. Chemical and Functional Properties of Chia Seed (Salvia hispanica L.) Gum
4. Effect of dietary alpha-linolenic fatty acid derived from chia when fed as ground seed, whole seed and oil on lipid content and fatty acid composition of rat plasma
5. Hypoglycemia, diabetes, and cardiovascular disease
6. Supplementation of conventional therapy with the novel grain Salba (Salvia hispanica L.) improves major and emerging cardiovascular risk factors in type 2 diabetes: results of a randomized controlled trial
7. Know the flax (and the chia): A little seed may be what your diet needs