Diet Sirtfood? Shh…Ini Rahsia Diet Adele

Adakah Adele mengamalkan diet sirtfood? Setelah penyanyi Adele mendedahkan penurunan berat badannya yang mendadak awal bulan ini, ramai yang tertanya-tanya apakah rahsia diet beliau.

Walaupun Adele masih belum memberi komen tentang tips dan rahsia penurunan berat beliau, namun pelatihnya Pete Geracimo sering mengarahkan pelanggan-pelanggannya untuk mengikuti diet sirtfood.

Credit: Vanity

Diet sirtfood asalnya dilancarkan pada tahun 2016, tetapi hingga kini diet sirtfood masih kekal menjadi topik bualan ramai terutamanya di kalangan mereka yang telah dan mahu mengamalkan diet tersebut.

Diet sirtfood ini mengutamakan pengambilan makanan yang kaya dengan sirtuins yang digelar dan disebut sebagai sirtfoods.

Apakah itu Sirtfoods?

Credit: thesirtfooddiet.com

Sirtfoods merupakan apa-apa sahaja jenis makanan yang kaya dengan protein sirtuin, iaitu sejenis protein berasaskan tumbuh-tumbuhan yang mampu meningkatkan kadar metabolisme badan.

Sirtuins dipercayai dapat melindungi sel-sel tubuh badan daripada mati ketika berada dalam keadaan tertekan. Ia juga dikatakan dapat mengawal keradangan dan proses penuaan.

Baca juga: 6 Tips Kuruskan Badan Dalam Seminggu Paling Efektif

Selain itu, sirtuins juga dianggap boleh mempengaruhi kemampuan badan dalam pembakaran lemak dan meningkatkan metabolisme.

Dikatakan dengan mengamalkan diet sirtfoods, anda mampu menurunkan berat badan dalam masa seminggu dan pada masa yang sama memelihara otot.

Contoh-contoh makanan yang kaya dengan sirtuins adalah seperti berikut:

  • Kurma medjool
  • Kopi
  • Beri biru
  • Kangkung
  • Arugula (Salad rocket)
  • Soya
  • Strawberi
  • Pasli
  • Saderi
  • Epal hijau
  • Koko
  • Kunyit

Anda boleh dapatkan senarai lengkap sirtfoods yang disyorkan untuk diet ini di dalam buku The Sirtfood Diet yang ditulis oleh Aidan Goggins dan Glen Matten.

Credit: thesirtfooddiet.com

Pelan Diet Sirtfood

Secara asasnya, pelan Diet Sirtfood ini mempunyai dua fasa yang akan berlangsung selama tiga minggu.

Selepas tiga minggu berlalu, tiada pelan khusus yang harus anda perlu ikuti. Jadi anda boleh menyambung perjalanan diet Sirtfood dengan menyesuaikan dan memasukkan seberapa banyak makanan yang kaya dengan sirtuins di dalam diet makanan anda seharian.

Salain itu, senaman selama 30 minit lima hari seminggu juga amat digalakkan, namun ianya bukanlah mandatori kerana mengeluarkan peluh bukanlah fokus utama dalam pelan diet ini.

Credit: thesirtfooddiet.com

Pelan Diet Sirtfood – Fasa Satu

Fasa pertama akan berlangsung selama tujuh hari dan melibatkan pembatasan kalori dan jus hijau yang drastik. Melalui fasa ini, dikatakan dapat membantu menurunkan sebanyak 3.2kg dalam masa tujuh hari sahaja.

Semasa tiga hari pertama dalam fasa satu, pengambilan kalori hanya dihadkan kepada 1,000 kalori sahaja. Anda perlu minum tiga jus hijau sehari bersama satu hidangan.

Setiap hari anda diberi pilihan daripada resipi-resipi yang tertera dalam buku, yang mana semuanya mengandungi sirtfoods sebagai sebahagian daripada hidangan. Contoh-contoh hidangan termasuklah tauhu dadar bersama miso, udang tumis bersama mi soba dan sebagainya.

Pada hari ke 4 hingga 7 di fasa satu, pengambilan kalori boleh ditingkatkan kepada 1,500. Ini merangkumi dua jus hijau sehari dan dua hidangan yang kaya dengan sirtfood yang boleh dipilih daripada buku.

Pelan Diet Sirtfood – Fasa Dua

Fasa dua akan berlangsung selama dua minggu. Fasa ini juga disebut sebagai fasa pengekalan di mana anda harus terus menurunkan berat badan dengan konsisten dan stabil.

Tiada had kalori yang khusus pada fasa ini. Sebaliknya, anda boleh ambil tiga hidangan yang penuh dengan sirtfoods dan satu jus hijau setiap hari. Sekali lagi, hidangan hendaklah dipilih daripada resipi-resipi yang ada dalam buku.

Selepas Diet

Anda boleh mengulangi kedua-dua fasa ini sebanyak mana yang anda mahu untuk meneruskan penurunan berat badan yang konsisten.

Setelah menghabiskan kedua-dua fasa ini, anda digalakkan untuk terus memasukkan sirtfood secara kerap ke dalam menu hidangan seharian anda.

Terdapat pelbagai jenis buku Diet Sirtfood yang padat dengan resepi-resepi yang kaya dengan sirtfood. Anda juga boleh meletakkan sirtfood sebagai salah satu snek ataupun resepi harian.

Anda juga digalakkan untuk terus meminum jus hijau setiap hari. Dengan cara ini, Diet Sirtfood akan menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan rutin harian anda.

Resepi Jus Hijau Sirtfood

Credit: thesirtfooddiet.com

Kalau anda perasan, diet Sirtfood ini banyak menekanan pengambilan jus hijau yang anda perlu buat dan bancuh sendiri. Kadang-kadang sampai dua tiga kali sehari.

Jadi amatlah disarankan untuk anda membuat sedikit pelaburan dengan membeli slow juicer. Jangan lupa beli juga penimbang dapur kerana kebiasaannya ramuan-ramuan ini disenaraikan di dalam resepi Sirtfood perlu mengikut berat dan kadar yang tertentu.

Jom kita lihat cara buat dan resepi Jus Hijau Sirtfoods:

Bahan-bahan ramuan:

  • 2 genggam besar kangkung (Lebih kurang 75gram)
  • Segenggam besar arugula (Lebih kurang 30gram)
  • Sedikit daun pasli (Lebih kurang 5gram)
  • 2 atau 3 tangkai dan daun saderi (Lebih kurang 150gram)
  • ½ buah epal hijau (Sederhana besar)
  • ½ hingga 1 inci halia muda segar (Dalam 2.5cm)
  • ½ cawan jus lemon
  • ½ sudu teh serbuk matcha

Cara-cara membuatnya:

  • Masukkan kangkung, arugula dan daun pasli ke dalam slow juicer dan terus juskan.
  • Seterusnya, masuk dan juskan saderi, epal dan halia.
  • Perah jus lemon dan masukkan ke dalam cawan (Boleh juga kupas lemon dan terus masukkan dalam slow juicer tapi lebih mudah kalau perah sahaja jus lemon)
  • Setelah selesai dijus, masukkan jus sayuran dan buahan tadi ke dalam cawan.
  • Kemudian tambahkan serbuk matcha dan jus lemon yang telah diperah tadi. Kacaukan.
  • Setelah matcha itu telah larut, tambahkan baki jus lemon ke dalam gelas.
  • Kacaukan buat kali terakhir dan jus anda telah sedia untuk diminum.
  • Anda boleh menambah air masak mengikut cita rasa masing-masing.

Apakah Keburukan Diet Sirtfood?

Pertama sekali, Diet Sirtfood ini tidak disokong oleh mana-mana kajian sains perubatan. Oleh itu adalah lebih baik untuk anda mengikuti diet sihat yang lebih konsisten seperti diet Mediterranean.

Kedua, diet Sirtfood juga boleh dikatakan sedikit radikal. Pada fasa pertama, anda hanya boleh mengambil 1,000 kalori sahaja.

Kadar kalori ini adalah lebih rendah daripada kadar yang disarankan oleh pengamal perubatan dan ianya ditakuti boleh memudaratkan kesihatan.

Manusia boleh kehilangan cecair dan jisim otot apabila mengambil jumlah kalori yang sedikit sebegini dan akan memberi kesan buruk terhadap metabolisme seseorang.

Kesimpulan

Sekiranya anda mahu mencuba diet sirtfood, dinasihatkan agar anda berbincang dahulu dengan pakar diet atau doktor sebelum mengurangkan pengambilan kalori secara dramatik dan meminum jus dengan jumlah yang banyak gara-gara untuk menurunkan berat badan.

Secara jujurnya, adalah lebih baik kita mengamalkan diet yang lebih sihat. Ini 5 cara diet yang betul menurut World Health Organization (WHO).