Apakah ubat ketuat dan cara hilangkan ketuat yang paling berkesan? Pastikan anda baca dan khatam artikel ini.
Masalah ketuat yang kerap tumbuh di jari, kaki, muka dan kelamin mungkin merupakan salah satu perkara yang menjengkelkan buat sesetengah pihak. Manakan tidak, asal dipotong akar ketuat masih tak segan silu tumbuh kembali. Boleh stress dibuatnya!
Meskipun ketuat dikategorikan sebagai ketumbuhan yang tidak merbahaya, ianya tidak boleh dipandang enteng kerana terdapat beberapa jenis virus Human Papiloma Virus (HPV) yang berpotensi menyebabkan kanser jika terjadi pada bahagian mukosa alat kelamin atau terjadi kepada individu yang mempunyai ketahanan sistem imun yang rendah (Sumber).
Sekiranya anda sedang mencari ubat ketuat, berikut adalah beberapa cara hilangkan ketuat yang boleh anda cuba. Jom ikuti perkongsian ini.
Ubat Ketuat, Asid Salisilik
Antara ubat ketuat yang berkesan adalah dengan mengunakan krim atau gel sapuan asid salisilik yang kebiasaannya boleh didapati di hospital, klinik dan farmasi.
Anda harus konsisten jika mahu menggunakan krim sapuan berasaskan asid salisilik kerana rawatan perlu berterusan untuk melembutkan lapisan kulit yang membentuk ketuat seterusnya memudahkan akar punca ketuat ditanggalkan.
Namun begitu, harus diingatkan bahawa cara hilangkan ketuat dengan menggunakan asid salisilik tidak boleh digunakan pakai jika melibatkan sebarang ketuat yang tumbuh pada bahagian kulit yang sensitif seperti di muka, dahi, alat kelamin dan sebagainya (Sumber).
Terdapat pelbagai ubat ketuat di farmasi tetapi anda dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu sebelum mengambil ubat-ubatan yang mengandungi asid salisilik sebagai rawatan untuk ketuat. Tiada ada apa yang perlu dimalukan, apa yang penting adalah kesihatan anda perlu diutamakan!
Ubat Ketuat, Cuka Epal
Baca juga: 5 Khasiat Cuka Epal Menurut Kajian Sains
Jika anda mahu rawatan yang lebih organik, boleh cuba cara hilangkan ketuat dengan menggunakana cuka epal kerana ianya dikatakan mampu berfungsi seakan-akan asid salisilik.
Asid asetik yang terkandung di dalam cuka epal dipercayai mampu membunuh beberapa jenis bakteria dan virus serta perlahan-lahan boleh menyebabkan ketuat gugur. Ianya dikatakan persis seperti bagaimana asid salisilik bertindak (Sumber).
Caranya juga sangat mudah dan apa yang paling penting, ianya organik dan menjimatkan!
- Campurkan satu cawan cuka epal dan satu cawan air ke dalam baldi.
- Rendamkan anggota atau bahagian yang dijangkiti ketuat selama lebih kurang 15 minit.
- Setelah 15 minit, bilaskan dengan air bersih.
- Ulang langkah ini setiap hari hingga ketuat gugur.
Cryotherapy, Terapi Pembekuan
Cryotherapy yakni “Cold Therapy” adalah satu prosedur atau teknik rawatan pembekuan dengan mendedahkan permukaan badan kepada suhu yang sangat sejuk selama beberapa minit untuk membeku serta memusnahkan tisu yang tidak normal (Sumber).
Bukan sahaja untuk menghilangkan ketuat, cryotherapy juga sering digunakan untuk melegakan sakit otot atau bengkak selepas kerosakan tisu lembut. Malah, ianya juga adalah prosedur biasa kepada para atlet untuk mempercepatkan proses pemulihan selepas aktiviti-aktiviti sukan atau senaman.
Berdasarkan beberapa ujian individu telah mendapati rawatan ketuat menggunakan asid salisilik dan cryotherapay adalah sama berkesan sekitar 50-70 peratus kadar penyembuhan (Sumber).
Baca juga: 20 Petua Hilangkan Batuk Mudah & Berkesan
Terapi Laser
Sekiranya ubat ketuat tidak berkesan, terapi laser adalah cara hilangkan ketuat yang paling berkesan.
Terapi laser boleh dipertimbangkan jika usaha anda untuk menggunakan ubat ketuat gagal dan ketuat semakin besar dan merebak menandakan ianya sudah semakin serius.
Terapi atau pembedahan menggunakan laser adalah satu prosedur yang perlu dilakukan dengan teliti oleh doktor pakar yang terlatih. Anestetik mungkin diperlukan bergantung kepada bilangan ketuat dan luas kawasan ketuat yang perlu dibuang.
Anda akan merasakan sedikit kesakitan ketika dan selepas rawatan terapi laser. Malah, perubahan pigmen serta parut mungkin akan berlaku di sekitar kawasan yang dirawat.
(Sumber)
Cara Mencegah Ketuat
Ketuat memang merunsingkan. Andai tumbuh di bahagian muka, boleh bikin malu dibuatnya!
Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat. Oleh yang demikian, kebersihan adalah perkara mustahak yang perlu kita utamakan.
Berikut adalah beberapa amalan kebersihan untuk mencegah ketuat yang boleh anda praktikkan:
- Hindarkan daripada menyentuh kawasan yang dijangkiti ketuat.
- Sentiasa basuh tangan dengan sabun anti-bakteria.
- Elakkan tabiat menggigit kuku dan sentiasalah potong kuku dengan cara yang betul
Baca juga: Cara Menjaga Kebersihan Diri dan Persekitaran
Sumber Rujukan
- Portal MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia. Ketuat Dewasa. Retrieved from myhealth.gov.my.
- Hello Doctor. Guna Krim Asid Salisilik Untuk Buang Ketuat, Selamatkah Cara Ini?. Retrieved from hellodoktor.com.
- Lipke MM. An armamentarium of wart treatments. Clin Med Res. 2006 Dec;4(4):273-93. doi: 10.3121/cmr.4.4.273. PMID: 17210977; PMCID: PMC1764803. Available from: ncbi.nlm.nih.gov.my
- National Cancer Institute. NCI Dictionary of Cancer Terms – cryotherapy. Retrieved from cancer.gov.
- Harvard Health Publishing. How to get rid of warts. Retrieved from health.harvard.edu.
- HealthLinkBC (British Columbia), Laser Surgery for Warts. Retrieved from healthlinkbc.ca.