Selain mengambil pil untuk suplemen harian, anda juga boleh mengamalkan makanan berkhasiat untuk keperluan sistem imun sebagai salah satu cara yang lebih natural dan sihat.
Memberi makanan kepada tubuh dengan makanan berkhasiat yang tertentu boleh membantu kita untuk menjaga ketahanan dan keampuhan sistem imuniti badan kita.
Sekiranya anda sering mengalami demam, selesema atau jangkitan yang lain, cuba amalkan makanan-makanan yang saya senaraikan di bawah. Selain bergantung kepada pil-pil suplemen, apa kata anda cuba pula kaedah ini.
1. Buah-Buahan Sitrus
Sepertimana yang telah diketahui umum, buah-buahan sitrus yang kebanyakkan bersifat masam seperti limau, oren, tangerine dan sebagainya adalah makanan berkhasiat untuk sistem imun yang sangat kaya dengan Vitamin C.
Boleh dikatakan hampir semua buah-buahan sitrus kaya dengan Vitamin C dan ianya sering menjadi pilihan ramai kerana rasanya yang sedap dan menyegarkan.
Antara buah-buahan sitrus yang popular adalah seperti lemon, limau gedang, buah oren, limau bali, limau mandarin, limau Kasturi, limau nipis, oren bergamot dan macam-macam lagi.
Vitamin C tidak boleh dihasilkan atau disimpan oleh badan. Jadi kita perlu mengambil Vitamin C dalam dos yang disyorkan setiap hari secara berterusan.
Berikut adalah dos yang disyorkan oleh Recommended Dietary Allowance (RDA) untuk Vitamin mengikut peringkat umur dan jantina.
Kanak-kanak (1–3 tahun) | 15 mg |
Kanak-kanak (4–8 tahun) | 25 mg |
Remaja (9–13 tahun) | 45 mg |
Remaja (14–18 tahun) | 65–75 mg |
Perempuan Dewasa (umur 19 keatas) | 75 mg |
Lelaki Dewasa (umur 19 keatas) | 90 mg |
Perempuan Mengandung (umur 19 keatas) | 85 mg |
Perempuan Menyusu (umur 19 keatas) | 120 mg |
2. Halia
Selain sering dijadikan ramuan dalam masakan, halia adalah salah satu makanan berkhasiat untuk sistem imun yang paling banyak digunakan ketika sakit.
Sifat anti-radang dan antioksidan yang terdapat pada halia dikatakan mampu meningkatkan sistem imun badan seseorang. Halia juga boleh menyokong pencernaan, mengurangkan kesakitan dan membantu menghilangkan mual.
Antara petua boleh diamalkan adalah dengan mengambil air halia atau teh halia ketika perut kosong pada awal pagi. Cara-cara penyediaannya juga sangat mudah.
- Ambil 1 inci halia. Seeloknya guna halia muda.
- Basuh dahulu dan boleh parut atau tumbuk kasar.
- Rebus 4 cawan air di atas dapur.
- Masukkan halia setelah air mendidih.
- Tutup api dan biarkan halia merendam selama 10 minit.
- Tapis halia dan air halis sudah siap untuk diminum.
- Boleh masukkan teh jika mahu.
3. Bawang Putih
Sejak dahulu lagi bawang putih adalah salah satu makanan berkhasiat untuk sistem imun yang sering digunakan untuk kesihatan. Sifatnya yang antiseptik, antibakteria, dan antifungal sangat penting untuk membantu tubuh melawan virus dan mikroorganisma yang memudaratkan
Difahamkan bawang putih mempunyai kelebihan yang tersendiri disebabkan ianya mengandungi sebatian yang disebut sebagai allicin yang membantu sistem kekebalan tubuh melawan kuman.
Baca juga: Khasiat Bawang Putih
4. Kunyit
Selain halia dan bawang putih yang sering kita kenal sebagai ramuan dalam masakan seharian, kunyit juga adalah makanan berkhasiat untuk sistem imun yang tidak boleh kita lupakan.
Siapa sangka kunyit yang selalu menjadi bahan rempah utama di dalam kari ini juga rupa-rupanya merupakan ramuan yang telah digunakan selama bertahun-tahun sebagai ubat anti-radang untuk merawat osteoartritis dan rheumatoid arthritis.
Kajian menunjukkan bahawa kepekatan curcumin yang tinggi yang terkandung di dalam kunyit boleh membantu mengurangkan kerosakan otot yang disebabkan oleh senaman dan aktiviti riadah disamping dapat meningkatkan sistem imun badan.
Jika anda sering mengalami selsema, cuba tambahkan kunyit tambahan ke dalam masakan anda untuk membantu memberi sedikit booster untuk meningkatkan daya tahan sistem imun anda.
5. Brokoli
Lain orang lain selera. Tetapi bagi saya brokoli adalah antara sayur yang paling saya suka dan gemari. Kalau bercuti di Cameron Highlands, brokoli sering menjadi mangsa borong nafsu sayur saya!
Selain enak dimakan sebagai sayur atau snek, brokoli adalah makanan berkhasiat untuk sistem imun yang penuh dengan nutrien untuk menyokong dan meningkatkan pertahanan tubuh anda.
Satu cawan brokoli boleh menyediakan Vitamin C yang lebih kurang sama seperti oren. Brokoli juga sangat kaya dengan beta-karoten, kalium, magnesium, zink, dan zat besi. Di samping itu, brokoli boleh membekalkan pelbagai vitamin B (B1, B2, B3, dan B6) untuk diet kita seharian.
Anda tidak suka brokoli? Rugi besarlah kawan!
6. Bayam
Bayam yang enak dan lembut juga tidak kurang hebatnya. Bukan sahaja kaya dengan Vitamin A dan C, bayam mengandungi perlbagai nutriens yang lain seperti asid folik, zat besi, kalsium yang sangat bagus untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.
Selain itu, bayam juga kaya dengan antioksidan dan beta karoten yang kedua-duanya mampu meningkatkan kemampuan sistem imun kita untuk melawan jangkitan.
Untuk terus mengekalkan nutriens di dalam bayam, anda dinasihatkan supaya tidak memasak bayam terlalu lama. Cukuplah sekadar goreng kilas atau rebus sekejap sahaja.
Baca juga: Cara Memilih Makanan Kucing
7. Betik
Saya pasti ramai yang sukakan betik bukan? Dah siap potong letak sekejap dalam peti ais kemudian makan ketika sejuk-sejuk memang sedap dan mengasyikkan.
Betik diperkaya dengan perlbagai nutriens seperti serat, kalsium, magnesium, potassium, zat besi, asid folik, dan vitamin A, vitamin C, vitamin K dan lain-lain.
Betik juga bersifat antioksidan, anti-radang dan juga anti-kanser. Selain buah, daun betik juga sangat popular dijadikan sebagai salah satu ubat tradisional untuk merawat demam denggi disebabkan kemampuannya untuk meningkatkan jumlah platelet di dalam darah.
8. Ubi Keledek
Kalau anda gemar makan ubi, cuba perlahan-lahan beralih kepada ubi keledek. Selain kaya dengan serat dan mineral yang sihat, ubi keledek juga mengandungi banyak vitamin A dan vitamin C.
Ubi keledek juga sangat bagus sebagai salah satu makanan berkhasiat untuk sistem imun yang boleh meningkatkan kekebalan tubuh badan kerana mempunyai tiga antioksidan kuat iaitu anthocynanins (seperti dalam açai berries), asid chorlogenic, dan beta karoten.
Baca juga: Khasiat Halba untuk Kesihatan yang Ramai Tidak Tahu
9. Teh Hijau
Teh hijau juga sangat terkenal sebagai makanan berkhasiat untuk sistem imun yang mampu meningkatkan kekebalan sistem pertahanan badan untuk melawan jangkitan.
Ini disebabkan teh hijau mengandungi flavonoid polifenolik iaitu sejenis antioksidan yang kuat dari tumbuh-tumbuhan dipercayai memberi teh hijau kesan penambah imunnya.
Selain itu, teh hijau juga merupakan sumber asid amino L-theanine yang baik yang dapat meningkatkan fungsi sistem imun badan. Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Beverages mendapati bahawa L-theanine dapat membantu mengurangkan kejadian jangkitan saluran pernafasan atas.
10. Buah Delima
Seperti teh hijau, delima juga kaya dengan flavonoid polifenolik. Secara spefisiknya, jus delima mempunyai kadar punicalagin yang lebih tinggi kerana kulitnya juga turut digunakan dalam penghasilan jus
Maka tidak hairanlah jus delima sangat berkhasiat untuk mencegah penyakit dan melawan jangkitan. Buah delima juga terbukti bersifat antibakteria dan antivirus dalam ujian makmal.
Kesimpulan
Terdapat pelbagai makanan berkhasiat untuk sistem imun yang boleh kita pilih dan amalkan. Pilih mana-mana yang anda suka dan apa yang paling penting adalah harus istiqamah.
Jika tidak mahu bosan, boleh variasikan pengambilan makanan berkhasiat untuk sistem imun seperti yang saya senaraikan di atas mengikut hari dan minggu.
Contohnya minggu ini boleh amalkan buah-buahan sitrus dan minggu-minggu yang seterusnya boleh cuba buah-buahan yang lain pula.
Apa yang paling penting adalah kita konsisten atau istiqamah dalam setiap amalan yang sudah kita tetapkan.
Sumber Rujukan:
1. Dietary Reference Intakes for Vitamin C, Vitamin E, Selenium, and Carotenoids
2. University of Rochester Medical Center Rochester Health Encyclopedia
3. Immunomodulation and anti-inflammatory effects of garlic compounds
4. “Spicing up” of the immune system by curcumin
5. l-Theanine as a Functional Food Additive: Its Role in Disease Prevention and Health Promotion