Cara Hilangkan Sakit Gigi Secara Tradisional (Panduan Lengkap)

Buat yang tak senang duduk menahan derita sakit gigi. Ini panduan lengkap cara hilangkan sakit gigi secara tradisional. Mudah-mudahan bermanfaat.

Sakit gigi tidak boleh dipandang remeh. Sekali terkena pasti tak senang duduk dibuatnya kerana sakitnya bukan kepalang. Berdenyut-denyut tak usah ceritalah.Jika sakit gigi belum mencapai tahap kritikal, anda boleh cuba beberapa cara rawatan secara alami atau tradisional yang boleh meredakan sakit gigi sebelum berjumpa dengan dentist.

Credit: Pixabay

Jom kita lihat cara dan petua hilangkan sakit gigi secara tradisional di bawah yang kebanyakkannya hanya menggunakan bahan-bahan yang cepat dan mudah untuk didapati di sekeliling kita.

1. Cara Hilangkan Sakit Gigi Dengan Bawang Putih

Credit: Pixabay

Siapa sangka bahan-bahan yang mudah didapati di sekeliling kita seperti bawang putih boleh dijadikan ubat sakit gigi yang mujarab?

Caranya penyediaannya juga tak susah mana.

  1. Ambil sebiji bawang putih, kupas kulitnya dan basuh
  2. Kemudian, hiris bawang putih tersebut dan tempelkan pada gigi yang sakit.
  3. Biarkan sekurang-kurangnya selama 1 jam atau sehingga rasa sakit gigi hilang.

Anda juga boleh gunakan bawang putih bersama cuka untuk menghilangkan sakit gigi.

  1. Ambil seulas bawang putih dan tumbuk sehingga lumat
  2. Kemudian masukkan sedikit cuka dan gaulkan bersama bawang putih
  3. Kemudian letak pada gigi yang sakit

2. Cara Hilangkan Sakit Gigi Dengan Minyak Gamat

Biasanya setiap rumah akan ada sekurang-kurangnya sebotol minyak gamat sebagai persediaan jika berlaku luka ringan, digigit serangga, digigit haiwan berbisa dan sebagainya.

Tetapi minyak gamat juga boleh digunakan untuk menghilangkan sakit gigi. Caranya ialah letakkan minyak gamat pada putik kapas, kemudian sapu pada gigi yang sakit.

Minyak gamat juga boleh disapu pada bahagian luar kulit atau pipi yang mana berdekatan dengan gigi yang sakit. Ia dapat membantu meredakan kesakitan kerana adakalanya sakit gigi menyebabkan sakit pada bahagian leher dan pipi.

Walaupun bau minyak gamat kurang menyenangkan, abaikan saja. Yang penting sakit gigi berhenti!

3. Cara Hilangkan Sakit Gigi Dengan Garam

Credit: Pixabay

Cara dan petua menggunakan garam untuk menghilangkan sakit gigi juga cukup popular di kalangan masyarakat kita.

Anda boleh mengunakan air garam atau mencampurkan garam bersama bahan-bahan lain seperti limau nipis, lada hitam dan belimbing buluh.

Ubat Sakit Gigi Guna Air Garam

Untuk cara yang paling mudah adalah dengan menggunakan garam sahaja tanpa campuran bahan-bahang yang lain. Caranya cukup simple:

  1. Ambil secawan air panas dan sesudu kecil garam
  2. Bancuh dan kacau sehingga garam larut
  3. Tunggu sehingga air bancuhan garam tadi menjadi suam
  4. Kemudian berkumurlah dengan air garam tadi

Ubat Sakit Gigi Guna Air Garam dan Limau Nipis

Selain itu, anda boleh guna mencampurkan air garam bersama limau nipis.

  1. Rebus sedikit garam, limau nipis dan air
    (Limau nipis belah 4 dulu ya
  2. Kemudian, bila air rebusan telah suam, gunakan ia untuk berkumur
  3. Lakukan setiap hari dan dengan kerap sehingga sakit gigi berkurangan

Ubat Sakit Gigi Guna Air Garam dan Lada Hitam

Campuran garam dan lada hitam sangat sesuai untuk gigi sensitif kerana bahan-bahan ini berfungsi sebagai antibakteria, anti-radang dan pelali.

Cara penyediaannya adalah seperti berikut:

  1. Campur garam dan lada hitam dalam kuantiti yang sama dengan beberapa titik air untuk menjadikan ia seperti pes
  2. Letakkan bahan pes ini pada gigi yang sakit dan biarkan beberapa minit
  3. Ulang setiap hari sehingga rasa sakit gigi berkurangan dan hilang

Ubat Sakit Gigi Guna Garam dan Belimbing Buluh

Petua yang ni best untuk penggemar asam! Makan buah belimbing buluh dengan sedikit garam.

Emm, macam pelik pula ya petua ni. Tak apa, harap-harap sakit gigi tu hilang dan tekak pun rasa sedap menikmati buah belimbing buluh dan garam.

4. Cara Hilangkan Sakit Gigi Berlubang Dengan Bunga Cengkih

Credit: Pixabay

Ini adalah petua yang sangat popular, iaitu menggunakan bunga cengkih sebagai salah satu cara hilangkan sakit gigi berlubang dengan cepat.

Bunga cengkih dikatakan mengandungi anti-inflamasi, anti-bakteria, anti-oksidan dan bersifat antibiotik yang boleh membantu menyembuhkan luka dan membunuh bakteria pada gigi berlubang.

Ubat Sakit Gigi Berlubang Guna Bunga Cengkih

Anda boleh guna petua ini untuk gigi berlubang.

  1. Tumbuk 3 biji bunga cengkih dan kemudian isikan bunga cengkih tadi ke dalam lubang gigi
  2. Tutupkan lubang gigi tersebut dengan kapas
  3. Kemudian gigit kapas tersebut sehingga sakit gigi beransur hilang

Ubat Sakit Gigi Guna Bunga Cengkih dan Daun Sirih

Selain itu, anda juga boleh menggunakan bunga cengkih bersama dengan daun sirih. Petua ini menggabungkan penggunaan bunga cengkih dengan daun sirih.

Caranya ialah seperti berikut:

  1. Rebus beberapa kuntum bunga cengkih dengan beberapa helai daun sirih
  2. Gunakan air rebusan ini untuk berkumur-kumur. Berkumurlah sehingga hilang rasa sakit dan sembuh

Ubat Sakit Gigi Guna Bunga Cengkih dan Daun Salam

Jika tiada daun sirih, anda juga boleh gunakan daun salam. Cara-caranya juga agak senang dan tidak begitu rumit.

  1. Ambil 5 helai daun salam dan 3 biji bunga cengkih dan air secukupnya
  2. Rebus daun salam dan bunga cengkih tadi sehingga mendidih
  3. Apabila aroma wanginya telah mula dapat dihidu, matikan api
  4. Tunggu sehingga air rebusan suam dan bolehlah berkumur
  5. Waktu terbaik untuk berkumur dengan air rebusan daun salam dan bunga cengkih ialah pada waktu malam iaitu sebelum tidur

Jika sakit gigi masih berterusan, mahu atau tidak anda perlu pergi mendapatkan rawatan di klinik gigi bagi mengelakkan sakit gigi semakin serius dan berbahaya.

5. Cara Hilangkan Sakit Gigi Dengan Esen Vanila

Credit: Pixabay

Tahukah anda bahawa esen vanila juga boleh meredakan sakit gigi?

Khususnya buat yang menderita sakit gigi berlubang, anda boleh cuba gunakan esen vanila sebagai salah satu cara hilangkan sakit gigi berlubang dengan cepat.

Cara-caranya seperti berikut:

  1. Sediakan putik kapas dan esen vanila
  2. Celupkan putik kapas ke dalam esen vanila
  3. Kemudian titikan esen vanilla ke dalam gigi yang berlubang atau kawasan gigi yang sakit

Kebiasaanya, sakit gigi anda akan reda dengan cepat. Tapi harus diingatkan bahawa cara ini hanyalah untuk meredakan sakit gigi sahaja dan esen vanila bukanlah penawar sakit gigi.

6. Cara Hilangkan Sakit Gigi Dengan Teh

Credit: Pixabay

Teh hitam dikatakan dapat membantu meredakan sakit gigi kerana ia mengurangkan bengkak pada gusi.

Anda boleh tuamkan uncang the hitam pada gigi dan gusi yang bengkak untuk kelegaan sebelum mendapat rawatan dengan doktor gigi.

Anda juga boleh gunakan teh pudina pula boleh digunakan untuk berkumur. Rendam uncang teh pudina dalam air panas, dan bila ia telah suam, gunakan ia untuk berkumur.

7. Cara Hilangkan Sakit Gigi Dengan Gambir

Gambir dapat memberikan rasa kebas, jadi ia umpama ‘pelali’ kepada bahagian yang sakit.

Petua menggunakan gambir untuk hilangkan sakit gigi ialah dengan merendamkan sedikit gambir dalam setengan cawan air suam.

Tumbuk sehingga gambir betul-betul hancur supaya mudah dimasukkan ke dalam gigi yang sakit atau berlubang. Masukkan gambir tadi ke dalam gigi yang sakit.

Untuk petua ini, jangan letak gambir terlalu banyak atau terlalu kerap mengamalkan petua ini kerana ia boleh menyebabkan bibir rasa kebas dan kulit mungkin boleh terkena alahan kerana gambir agak ‘panas’.

8. Cara Hilangkan Sakit Gigi Dengan Getah Bunga Kemboja

Credit: Wikipedia

Anda boleh meredakan sakit gigi dengan menggunakan getah tumbuh-tumbuhan seperti getah bunga kemboja.

Caranya ialah dengan menyapu getah pokok bunga kemboja pada gigi yang sakit. Boleh patahkan bahagian ranting yang halus untuk dapatkan getahnya.

Dah patahkan tu, cepat-cepat ambil getahnya dan sapu pada gigi yang sakit, kerana getah pokok bunga kemboja cepat kering.

Jika tiada pokok bunga kemboja, anda boleh juga menggunakan getah tampuk buah betik muda. Ambil getah tampuk buah betik muda dan sapukan pada gigi yang sakit.

9. Cara Hilangkan Sakit Gigi Dengan Kapur dan Sirih

Credit: Wikipedia

Terdapat dua petua dan cara hilangkan sakit gigi dengan menggunakan kapur dan sirih. Kedua-dua cara ini sangat mudah untuk diikuti.

  1. Cara pertama ialah ambil sedikit kapur sirih dan sapukan pada gigi yang sakit.
  2. Cara kedua pula ialah sapu kapur sirih pada daun sirih seperti orang tua makan sirih.

Dikatakan sakit gigi akan cepat hilang dengan petua ini. Selain itu, anda juga boleh menggunakan air rebusan sirih sebagai ubat sakit gigi.

  1. Ambil beberapa helai daun sirih tua dan rebus dengan 3 gelas air sehingga mendidih.
  2. Sejukkan dan tapis. Gunakan air rebusan daun sirih tersebut untuk berkumur.

Sakit gigi akan hilang secara beransur-ansur.

10. Cara Hilangkan Sakit Gigi Dengan Habbatus Sauda

Credit: Wikipedia

Habbatus Sauda cukup terkenal di kalangan masyarakat Arab. Malah ianya ada disebut sebagai salah satu makanan sunnah selain madu dan minyak zaitun.

Maksud hadis berkaitan habbatus sauda berbunyi:

“Pada habbatus sauda itu ada penawar bagi segala penyakit kecuali mati.”
(Sahih Bukhari, Kitab al-Tibb, hadis 5688; dan Sahih Muslim, Kitab al-Salam, hadis 2215)

Habbatussauda atau biasanya kita panggil jintan hitam boleh didapati dalam bentuk serbuk atau minyak.

Cara menggunakan habbatussauda untuk menghilangkan sakit gigi ialah dengan hanya meletakkan serbuk atau minyak habbatussauda terus ke dalam gigi yang berlubang atau gigi yang sakit. Mudah bukan?

11. Cara Hilangkan Sakit Gigi Dengan Tomato Muda

Credit: Pixabay

Ini petua yang kami rasakan agak rare dan unik. Ambil sebiji tomato muda, basuh dan belah dua. Kemudian masukkan tomato ke bahagian gigi yang sakit.

Ada yang mengatakan bahawa jika gigi dimakan ulat, ulat akan keluar dengan sendirinya.

Alamak! Geli la pulak. Tapi, bila dah sakit, apa salahnya cuba kan. Bila lagi nak tengok ulat durjana yang makan gigi kita, sakit tau!

12. Cara Hilangkan Sakit Gigi Dengan Biji Asam Jawa

Credit: Pixabay

Asam jawa memang kita sedia maklum ianya sering dijadikan agen pemasam dalam masakan. Tetapi jarang-jarang kita dengar mengenai kegunaan biji asam jawa.

Tahukah anda bahawa kita boleh menggunakan biji asam jawa untuk meredakan sakit gigi berlubang?

Cara-caranya mudah sahaja:

  1. Sediakan beberapa biji asam jawa
  2. Seterusnya sangai atau goreng tanpa minyak biji asam jawa tersebut
  3. Bakar sedikit garam kasar di dalam daun pisang
  4. Tumbuk semua bahan ini sehingga halus, kemudian tampalkan pada gigi yang sakit

13. Cara Hilangkan Sakit Gigi Dengan Daun Jambu Batu

Credit: Pixabay

Terdapat dua petua hilangkan sakit gigi dengan menggunakan daun jambu batu.

Petua #1 – Cuci dan Kunyah Daun Jambu Batu

Selepas mengunyah, anda akan mula rasa kebas di bahagian mulut dan secara tidak langsung, rasa sakit gigi akan hilang.

Petua #2 – Rebus Daun Jambu Batu

Rebus daun jambu batu bersama sedikit garam dan jadikan ia sebagai air untuk berkumur.

14. Cara Hilangkan Sakit Gigi Dengan Daun Serai

Credit: Wikipedia

Jika tiada daun jambu atau daun-daun herba lain yang rasa-rasa susah untuk didapati. Anda boleh cuba cara hilangkan sakit gigi dengan daun serai.

Ambil beberapa helai daun serai, bersihkan dan tumbuk sehingga hancur. Masukkan air panas dan tambahkan sedikit garam. Gunakan air serai ini sebagai bahan kumur.

15. Cara Hilangkan Sakit Gigi Dengan Ais

Credit: Pixabay

Kalau satu jenis herba atau daun pun tak ada. Ini cara yang paling simple dan cepat.

Ambil seketul ais dan bungkus dengan sapu tangan atau tuala kecil. Tuam ke pipi di bahagian gigi yang sakit. Lakukan sehingga rasa sakit gigi semakin reda.

Bila ais dah cair, boleh ganti ais yang lain jika sakit gigi masih berterusan. Ia umpama kita bagi rasa kebas pada bahagian kulit dan meredakan saraf yang sakit dengan menggunakan ais.

Doa Hilangkan Sakit Gigi

Kita sebagai manusia harus berusaha tapi segala kehendak dan penawar itu datang dari Allah.

Selepas berikhtiar dengan mencuba mana-mana cara dan petua seperti di atas, digalakkan untuk kita amalkan juga doa hilangkan sakit gigi ini.

للَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنْهُ سُوءَ مَا يَجِدُ وَفُحْشَهُ بِدَعْوَةِ نَبِيِّكَ الْمُبَارَكِ الْمَكِينِ عِنْدَكَ

Allohumma azhib ‘anhu su-a ma yajidu wa fuhsyahu bi da’wati nabiyyikal mubarokil makini ‘indaka.

“Ya Allah lenyapkanlah darinya keburukan apa yang ia rasakan beserta kekejiannya dengan doa nabi-Mu yang penuh berkah di sisi-Mu.”

Doa ini disebutkan dalam kitab Abwab al-Faraj oleh Sayid Muhammad bin Alwi al-Maliki

Cara Rawat Sakit Gigi oleh Prof. Dato’ Dr. Haron Din


Sebagai orang Islam, kita boleh mencuba rawatan dengan cara yang dikongsikan oleh Almarhum Prof. Dato’ Dr. Haron Din.

Tips Menjaga Kebersihan Mulut dan Gigi

Jagalah kebersihan mulut dan gigi.

Ini adalah petua atau kaedah yang paling penting dan berkesan yang mesti kita amalkan sejak dari bayi lagi.

Sebab itulah, kena didik anak-anak kita untuk menjaga kebersihan mulut dan gigi sejak mereka bayi. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Credit: Pixabay
  • Gosok gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari
  • Pastikan sebelum tidur waktu malam, wajib gosok gigi
  • Selepas dah gosok gigi jangan makan atau minum lagi
    (kecuali minum air masak sahaja!)
  • Gosok seluruh bahagian dalam mulut ya, termasuklah lidah, lelangit dan pipi
  • Lagi elok gunakan bahan kumuran khas untuk mulut

Kesimpulan

Credit: Pixabay

Semoga petua dan doa hilangkan sakit gigi yang kami kongsikan ini memberikan manfaat untuk kita bersama.

Apa pun petua yang kita gunakan, sebaiknya kita menjalani pemeriksaan gigi secara berkala iaitu sekurang-kurang 2 kali setahun.

Jangan risau, takut sikit-sikit tu biasa la kan. Lebih baik takut dulu daripada terpaksa menanggung seksanya sakit gigi.

Lagi pun, bila gigi berlubang dibiarkan lama-lama, ia boleh menyebabkan kerosakan gigi yang lebih teruk dan berbagai kesan yang lebih berbahaya lagi.

Jadi, cegah dan rawatlah sebelum parah.

Baca juga: Khasiat Halba untuk Kesihatan yang Ramai Tidak Tahu


Sumber Rujukan:
1. Wikipedia Bahasa Melayu

Cover image credit to Wikimedia @MyUpchar