Jom kita lihat senarai 5 permainan board games yang boleh anda mainkan secara online bersama-sama seisi keluarga.
Permainan board games adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan terutamanya jika bermain bersama-sama yang tersayang. Sesuai dimainkan ketika waktu lapang, hari keluarga dan waktu keramaian, permainan-permainan ini mampu untuk mengeratkan lagi tali silaturahim sesama ahli keluarga.
Pada artikel kali ini, jom kita lihat senarai 5 permainan board games yang boleh anda mainkan secara online bersama-sama seisi keluarga. Selamat mencuba!
Tic Tac Toe adalah merupakan salah satu permainan board games klasik yang sangat popular suatu ketika dahulu. Gaya permainannya yang santai sangat bagus untuk menghilangkan lelah dan tekanan setelah seharian penat bekerja.
Untuk memenangi permainan ini, pemain hanya perlu mendapatkan satu susunan buah yang lurus sahaja. Terdapat tiga pilihan grid yang boleh anda pilih seperti 3×3 5×5 dan 7×7. Selain bermain bersama komputer, anda juga boleh bermain bersama rakan dengan pilihan mod 2 pemain.
Checkers atau kerap digelar sebagai Dam Haji sememangnya tidak asing lagi buat rakyat Malaysia. Meskipun tidak serumit Chess, Dam Haji sebenarnya memerlukan strategi yang bernas jika seseorang mahu memenangi permainan ini.
Selain itu, permainan ini juga sesuai untuk dimainkan ketika hari keluarga dan keramaian. Jika dimainkan bersama sanak keluarga, pasti masing-masing terleka dibuatkan. Namun begitu, Checkers hanya boleh dimainkan dengan dua orang pemain sahaja.
Terdapat dua jenis buah dam, satu berwarna putih dan satu lagi berwarna hitam. Pemain harus menggerakkan buah dam ke depan secara menyenget mengikut aturan warna papan dam. Sekiranya ada peluang untuk melangkau buah dam pihak lawan, maka pemain mempunyai peluang untuk ‘makan’ buah dam pihak lawan.
Apabila buah dam berjaya digerakkan sehingga baris terakhir pihak lawan, pemain dikira berjaya ‘naik Haji’ di mana buah dam tersebut boleh bergerak lebih dari satu petak. Perlawanan akan tamat andainya buah dam pihak lawan berjaya dihabiskan.
Snakes and Ladders ataupun lebih dikenali sebagai Dam Ular ialah salah satu permainan board games yang sangat menyeronokkan. Gameplay juga sangat mudah dan cepat untuk dimainkan.
Anda boleh bermain bersama dua atau lebih pemain dan sesiapa yang sampai ke kotak penamat akan dikira sebagai pemenang. Para pemain hanya perlu memusingkan dadu dan seterusnya bergerak mengikut nombor bilangan yang telah ditentukan oleh dadu tersebut.
Sekiranya berada di dalam petak tangga, pemain boleh memanjat tangga tersebut untuk naik ke petak yang lebih tinggi. Walaubagaimanapun, jika berada pada petak ular, pemain harus turun ke petak bawah.
Minesweeper adalah sejenis permainan yang berbentuk seperti puzzle. Terdapat bom di petak-petak tertentu dan para pemain harus berusaha meneka di manakah kedudukan bom-bom tersebut berdasarkan nombor-nombor yang telah diberikan acapkali petak berjaya dibuka.
Meskipun tampak seperti mudah, permainan ini sebenarnya memerlukan pemikiran logik akal yang bagus. Jika anda main hentam kromo sahaja, pasti takkan berjaya!
Permainan Chess sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Ianya cukup popular malahan terdapat pelbagai pertandingan-pertandingan yang melibatkan Chess di seluruh pelusuk dunia.
Walaupun ramai yang menganggapnya sebagai salah satu permainan yang rumit, chess sebenarnya sangat menyeronokkan! Sekiranya anda berjaya menang dengan seseorang, anda akan merasakan perasaan seronok yang tidak dapat digambarkan dengan kata.
Sebelum mula bermain, anda harus belajar untuk mengetahui setiap fungsi dan cara pergerakkan buah catur. Selain itu, teknik dan skill permainan chess juga harus diasahkan dengan kerap bermain dengan sesiapa sahaja.
Mudahnya dengan game board online seperti ini, anda boleh belajar dan berlatih bermain chess pada bila-bila masa sahaja!