Tiada keajaiban yang dapat menghasilkan hubungan harmoni secara semulajadi di dalam sesebuah pasukan. Ia memerlukan usaha, pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan sifat penambahbaikan yang berterusan, bermula dari pengurusan atasan sehingga pembersih premis.
Cara wakil jabatan sumber manusia menapis resume, mengendalikan temuduga dan memilih ahli pasukan baru juga penting dalam menentukan sejauh mana pekerja yang berbeza dapat berdiri dan bergerak bersama sebagai satu pasukan.
Berikut ialah 9 strategi yang akan membantu pekerja anda bekerjasama sebagai satu unit yang padu.
1. Jadikan inklusiviti moto anda
Adalah penting untuk menghargai keunikan setiap individu dan sentiasa bersikap terbuka kepada cara baru atau berlainan yang mereka tunjukkan dalam menyelesaikan sesuatu tugasan atau cara mereka respon kepada pendapat, perlakuan dan cara kerja anda.
Sentiasa ingatkan diri bahawa setiap lintasan hati dan tingkah laku anda berasal dari pengalaman lampau yang membentuk pegangan hidup anda dan ia akan sentiasa mempengaruhi cara anda melayan mereka yang berbeza daripada anda. Sama juga dengan mereka. Jadilah proaktif dalam meminta maklum balas untuk memahami pandangan orang lain.
Terokai kaedah komunikasi secara generatif, bertanya sehingga mereka hasilkan jawapan tersendiri, bersikap empati dengan melihat daripada sudut pandangan mereka, cari titik persamaan di antara pandangan anda dan ahli kumpulan anda.
Selepas itu, anda semua perlu bersedia untuk melepaskan pendapat, pegangan dan pendirian masing-masing untuk mencapai kemajuan. Kemudian, bersedia pula untuk menerima pendapat-pendapat yang berbeza dari individu berlainan.
Apabila sesi dialog ini diteruskan, kumpulan anda akan mula melihat pelbagai idea baru dan segar mula terbit dari-antara pelbagai pendapat yang mungkin bercanggah pada permulaan sesi tadi.
2. Tunjukkan rasa percaya dan perasaan hormat melalui perkataan serta tindakan anda secara konsisten tanpa berat sebelah
Pilih perkataan anda dengan berhati-hati. Jangan buat komen yang menyakitkan hati, menghakimi atau yang berbau sinis.
Anda tidak kelihatan bijak atau lebih berkuasa dengan memberi komen sedemikian. Penting juga untuk mengambil berat tentang lenggok badan anda dan mereka semasa berkomunikasi untuk memahami maklumat tersirat dari respon mereka.
3. Wujudkan perasaan kekitaan
Libatkan kakitangan anda dalam penetapan dan pengkristalan visi dan misi syarikat, jabatan mahupun sesuatu tugasan atau cadangan inovasi.
Ini memudahkan mereka bergerak sendiri tanpa perlu membazir terlalu banyak tenaga, masa dan wang anda.
4. Fahami bahawa perasaan hormat adalah seperti bergerak di atas jalan dua hala
Layan pekerja dengan tahap penghormatan yang sama yang anda mahu mereka berikan kepada pelanggan anda.
Mulakan dengan memberi salam kepada mereka sambil melihat wajah mereka setiap pagi dan ucapkan selamat petang pada penghujung hari.
Sentiasa gunakan bahasa yang positif yang membina semangat dan harapan serta galakkan mereka untuk berkongsi maklumat dengan anda dan dengan setiap ahli kumpulan lain secara kreatif.
5. Beri pengiktirafan terbuka kepada kerja yang baik
Fokus pada kerja baik yang mereka lakukan. Jangan segan atau kedekut untuk memberi ganjaran dan pujian kepada mereka yang menunjukkan pencapaian tahap super-star.
Pinjam idea Pisang Emas atau cipta sistem ganjaran anda sendiri. Lakukannya setiap kali anda ‘menangkap’ seseorang melakukan kerja yang hebat dan bukan hanya buka mulut anda apabila sesuatu tidak berjalan dengan lancar.
Baca juga: 5 Perkara yang Boleh Anda Buat Ketika Bekerja dari Rumah
6. Mewujudkan polisi pintu terbuka
Galakkan pekerja berjumpa dengan anda untuk kongsi sebarang idea, cabaran, kebimbangan dan lain-lain.
Gunakannya untuk mendengar isi hati mereka dan kemudian berikan peluang kepada mereka untuk membentuk kerjasama dengan pekerja lain bagi mencari penyelesaiannya.
Anda boleh cadangkan sama ada mereka menggunakan 10% dari masa kerja harian untuk kerjasama tersebut, sejam seminggu atau melakukannya di luar waktu kerja.
7. Kotakan apa yang dikatakan
Ia juga dikenali sebagai “walking the talk.” Lakukan apa yang anda katakan, tanpa tangguh, alasan dan tanpa putar-belit.
Jangan jadi pengeluh. Jadikan diri anda kelihatan bertanggungjawab, atau lebih baik lagi, mohon seseorang untuk memberitahu apabila anda tidak kelihatan seperti seorang yang bertanggungjawab.
8. Jangan biarkan perlakuan toksit berterusan
Bersikap terbuka dan bertingkah laku positif tidak bermakna etika kerja dibiarkan tanpa haluan untuk menggembirakan semua orang.
Ambil tindakan terhadap setiap tingkah laku negatif, pemalas dan mereka yang menunjukkan prestasi yang lemah dengan kadar segera, walaupun pekerja tersebut merupakan saudara-mara anda.
Jika mereka dibiarkan berterusan, rasa dendam akan timbul di kalangan pekerja super-star serta middle-star anda dan lambat-laun mereka akan tinggalkan anda dengan para pemalas, pengampu dan parasit profesional tersebut.
9. Jadilah pengikut yang baik
Dalam keadaan tertentu, penyelia juga perlu bersedia untuk menjadi pengikut.
Namun, ia perlu dilakukan dengan ikhlas kerana setiap dari kita ada pengesan dalaman ‘built in sensor’ yang dapat mengesan sikap tidak ikhlas dari individu yang lain.
Kesimpulannya
Kepimpinan adalah melalui teladan. Cara kerja anda akan menarik pekerja yang serupa dengan sikap sebenar anda.
Sekiranya anda merupakan seorang pemimpin dari kategori super-star, maka pekerja anda juga akan cuba sedaya upaya menjadi pekerja berprestasi tinggi sama seperti anda.
Baca juga: Idea Berborak Dengan Pasangan