Laksa Kuala Kangsar Cover

5 Laksa Kuala Kangsar Yang Sedap & Best

Laksa Kuala Kangsar kuahnya cair tapi rasanya kuat dan sedap. Kena pula dengan mi laksanya yang dibuat daripada tepung gandum memang menyelerakan.

Hidangan Laksa sangat digemari di Perak terutamanya Kuala Kangsar, ini adalah senarai port Laksa Kuala Kangsar yang sedap dan terkenal yang boleh anda cuba jika berpeluang berkunjung ke sini.

Laksa adalah makanan yang cukup terkenal di Malaysia terutamanya di bahagian utara semenanjung seperti di Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. Setiap negeri ini mempunyai resepi pembuatan laksa yang tersendiri dan boleh dibezakan melalui varieti mi laksa dan kuahnya.

Penduduk setempat di Kuala Kangsar, Perak juga sangat menggemari laksa dan ini boleh dibuktikan dengan puluhan restoran serta gerai menjual laksa yang sudah wujud sejak dahulu lagi sehinggakan terdapat sebuah kompleks khas untuk Laksa Kuala Kangsar di tepian sungai Perak.

Laksa Kuala Kangsar
Google Map Images / Warung Telaga

Uniknya Laksa Kuala Kangsar ini adalah mi laksanya dibuat sendiri menggunakan tepung gandum dan kuahnya juga sedikit cair berbanding dengan kuah laksa yang terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia.

Walaupun kuahnya cair, tetapi rasa ikannya kuat dan masamnya sedap dan memikat. Mi laksanya juga sangat lembut dan menyelerakan. Jika anda berpeluang ke Kuala Kangsar, ini lokasi Laksa Kuala Kangsar yang boleh anda cuba try test.

1. Laksa Lubuk Kuala Kangsar

Jika anda curious bagaimana rasa sebenar Laksa Kuala Kangsar yang asli, kami cadangkan anda untuk ke warung Laksa Lubuk yang terletak di Lubuk Merbau, Kuala Kangsar.

Apa yang menarik di sini adalah mereka masih mengekalkan resepi laksa tepung gandum dan kuahnya juga dibuat secara tradisional yakni dengan menggunakan dapur kayu.

Rasa Laksa Kuala Kangsar di sini sangat asli dan sedap. Suasana gerai yang terletak di dalam kawasan kampung sangat santai dan mendamaikan.

Anda juga akan dihidangkan dengan telur rebus (Kopek sendiri ya!), cili api, limau dan petis udang. Tiada menu lain yang ditawarkan disini. Hanyalah pure Laksa Kuala Kangsar dan minuman.

Laksa Kuala Kangsar - Laksa Lubuk
Google Map Images

Tetapi anda harus sedikit berhati-hati kerana jalan untuk ke sini agak jauh ke dalam dan kecil. Dinasihatkan anda menggunakan Waze atau Google Map jika mahu berkunjung ke Warung Laksa Lubuk.

Alamat: KPW Kubang Panjang, Kampung Paya, Kuala Kangsar, Perak
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari kecuali Selasa 10:00AM – 7:00PM
Contact: +6010-441 7032

2. Warung Laksa Pokok Limau

Laksa Kuala Kangsar - Warung Laksa Pokok Limau
Google Map Images

Secara peribadi, Laksa Pokok Limau adalah salah satu port Laksa Kuala Kangsar yang terbaik pilihan kami. Rasanya cukup padu dan enak!
Dengar cerita, di sinilah tempat yang terawal yang memperkenalkan laksa telur goreng atau lebih popular dengan nama laksa telur sarang yang sememangnya cukup famous di Kuala Kangsar

Warung Laksa Pokok Limau dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 11.00 pagi sehingga 6.00 petang. Walaupun gerai ini dibuka sehingga lewat petang, tetapi tak semestinya laksa selalu ada.

Kalau lewat, kebiasaanya laksa sudah habis dijual terutamanya pada hari minggu dan cuti-cuti umum. Jadi pastikan anda rancang dahulu perjalanan anda.

Buat rakan atau ahli keluarga yang tak suka laksa tetapi terpaksa ikut disebabkan yang lain-lain hantu laksa, boleh cuba hidangan yang lain seperti nasi ayam bakar, rojak buah dan cendol.

Alamat: Warung Laksa Pokok Limau, Bt 28 ¾, Kota Lama Kiri, 33000 Kuala Kangsar
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari kecuali Jumaat 11:00AM – 6:00PM
Contact: +6017-4985589 / +6014-2443680

3. Warung Telaga Kota Lama Kiri

Kalau masih tidak puas dengan laksa, boleh cuba pula Laksa Sarang Burung Kuala Kangsar di Warung Telaga yang terletak di Kota Lama Kiri.

Port ini sering menjadi pilihan penduduk setempat serta pelancong luar kerana kesedapan laksa dan, keunikkan lokasi serta kemeriahan dekorasi warungnya yang tersendiri.

Selain hidangan Laksa Telur Sarang yang sedap, terdapat juga pelbagai menu-menu yang menarik yang lain seperti laksa fishcake, mi kari, roti puri, ais kepal Milo, ABC dan bermacam-macam lagi.

Laksa Kuala Kangsar - Warung Telaga
Google Map Images

Warung Telaga juga mempunyai view dan suasana kampung berdekatan dengan sawah yang sangat menenangkan. Ditambah pula dengan dekorasi klasik yang dihias elok bersama koleksi barangan antik di setiap sudut menjadikan Warung Telaga amat unik untuk dikunjungi.

Jika ke Kuala Kangsar, jangan lepaskan peluang untuk bersantai bersama rakan dan taulan di Warung Telaga sambil menikmati hidangan laksa yang sedap serta suasana kampung yang peaceful.

Alamat: 321, Warung Telaga, Hadapan Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz, Jalan Ipoh, 33000 Kuala Kangsar, Perak
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari kecuali Khamis dan Jumaat 2:45PM – 8:00PM
Contact: +6012-593 4771

4. Laksa Pak Ngah Kuala Kangsar

Laksa Kuala Kangsar - Laksa Pak Ngah
Google Map Images

Laksa Pak Ngah Kuala Kangsar sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Jika anda ke Kuala Kangsar, anda dapat melihat food truck Laksa Pak Ngah di mana-mana sahaja. Tetapi jika mahu ke kedai sebenar, lokasinya di belakang Sekolah Menengah Tsung Wah yang terletak di Jalan Dato Sagor, Kuala Kangsar.

Bermula kecil-kecilan sejak tahun 1950an, Laksa Pak Ngah boleh dikatakan di antara usahawan laksa yang paling otai di Kuala Kangsar. Kini, legasi Laksa Pak Ngah disambung oleh anak cucunya dan terdapat pelbagai menu laksa yang baharu yang diperkenal selain daripada laksa kuah resepi turun temurun.

Laksa Kuala Kangsar - Laksa Goreng
Google Map Images

Selain laksa biasa, terdapat beberapa menu yang berasaskan laksa yang terkenal di sini. Antaranya adalah seperti menu laksa goreng, laksa goreng banjir dan laksa telur sarang. Cendol dan ABC pun ada untuk melegakan tekak.

Alamat: Di hadapan Sekolah Menengah Tsung Wah, Jalan Dato Sagor, 33000 Kuala Kangsar, Perak
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari kecuali Rabu 9:00AM – 7:00PM
Contact: +6017-903 7986

5. Medan Cendol & Laksa MPKK (Medan Selera Kuala Kangsar)

Medan Cendol & Laksa MPKKMedan Cendol & Laksa MPKK
Google Map Images

Jika objektif anda mahu berjalan-jalan di pusat bandar sambil makan-makan, kami cadangkan anda ke Medan Cendol & Laksa MPKK yang terletak berdekatan dengan Dataran Sungai Perak, Kuala Kangsar.

Di sini terdapat banyak gerai-gerai yang menjual Laksa Kuala Kangsar dan cendol. Selain itu, terdapat juga pelbagai menu yang lain seperti rojak, pasembur, mee rebus, masakan panas, ABC dan macam-macam lagi.

Baca juga: Mee Rebus Tulang di Moss Eatery, Ipoh. Sedap & Berbaloi

Setelah selesai menjamu selera, anda boleh bersiar-siar di sekitar Dataran Sungai Perak dan boleh juga berkunjung ke kedai-kedai kraftangan yang berdekatan.

Alamat: Jalan Taiping, 33000 Kuala Kangsar, Perak
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari 10:00AM – 7:00PM

Kesimpulan

Laksa Lubuk Merbau
Google Map Images / Laksa Lubuk

Laksa Kuala Kangsar sememangnya sangat popular di Negeri Perak. Bukan sahaja dikenali sebagai Bandar Diraja, Kuala Kangsar juga boleh kita gelar dengan jolokan Bandar Laksa.

Manakan tidak, di mana-mana sahaja pasti ada gerai-gerai yang menjual laksa. Kalau tidak percaya, silalah berkunjung ke Kuala Kangsar.

Apa yang lebih menarik adalah di Kuala Kangsar anda boleh tapau laksa dengan cara yang sedikit berbeza. Di sini anda boleh tapau laksa secara ‘large scale’.

Agak sukar untuk diterangkan maksudnya, tetapi jika anda sudah berkunjung ke sini pasti anda akan lebih memahami apa yang dimaksudkan.