Apa hukum makan dhab dan apakah sebenarnya khasiat dhab untuk kesihatan? Mari kita kaji dan semak semula bersama-sama.
Bagi yang tak mengenali apakah haiwan yang bernama dhab pasti akan berkata-kata yang negatif dan pada masa yang sama akan berasa sangsi dengan status dhab sebagai haiwan yang halal untuk dimakan.
Dhab ada sejenis haiwan persis biawak yang boleh dikategorikan di dalam keluarga cicak. Walaupun tergolong dalam keluarga cicak, budaya memakan dhab sudah lama wujud di kalangan masyarakat Arab sejak dahulu lagi.
Hukum Makan Dhab
Spesis biawak boleh dimakan ke? Apakah hukum makan dhab? Halal atau haram?
Ya, boleh dimakan. Dhab halal dimakan menurut jumhur ulama dan ianya tidak boleh disamakan dengan biawak yang ada di Malaysia. Berbeza dengan dhab, biawak di sini sememangnya haram untuk dimakan.
Dhab atau kerap dipanggil sebagai biawak padang pasir oleh masyarakat kita mempunyai perbezaan yang begitu ketara jika mahu dibanding dengan biawak di sini.
Antara perbezaan yang kira perlu tahu adalah:
- Dhab adalah haiwan herbivor yang hanya makan tumbuh-tumbuhan. Berbeza dengan biawak di sini yang makan apa sahaja termasuklah bangkai.
- Dhab tiada taring atau kuku yang tajam untuk membunuh dan dhab juga bukanlah haiwan yang buas dan berbisa.
- Dhab bukanlah haiwan amfibia yang hidup dua alam seperti biawak. Dhab hidup di padang pasir dan akan merasa lemah jika terkena air. Dikatakan juga dhab hanya minum air hanya sekali setiap 40 hari.
Melalui faktor-faktor ini, jelas terdapat begitu banyak perbezaan di antara dhab dan biawak. Paling jelas adalah dhab hanya makan tumbuh-tumbuhan dan tidak makan bangkai.
Selain itu, dhab juga bukanlah haiwan dua alam dan bukan haiwan pemangsa yang mempunyai taring atau kuku yang tajam untuk memburu makanan.
Menurut artikel yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kita boleh rumuskan bahawa dhab tidak boleh di kelaskan di dalam kategori haiwan yang haram untuk dimakan kerana prinsip-prinsip berikut:
Prinsip Pertama
Semua binatang yang dianggap elok oleh orang Arab semasa hidup senang dan pada zaman Rasulullah SAW adalah halal.
Boleh rujuk Kitab al-Fiqh al-Manhaji, 1/497 dan Kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/557.
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
دَخَلْتُ أَنَا وَخَالِدُ بْنُ الْوَلِيدِ، مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْتَ مَيْمُونَةَ، فَأُتِيَ بِضَبٍّ مَحْنُوذٍ، فَأَهْوَى إِلَيْهِ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ، فَقَالَ بَعْضُ النِّسْوَةِ اللَّاتِي فِي بَيْتِ مَيْمُونَةَ: أَخْبِرُوا رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَا يُرِيدُ أَنْ يَأْكُلَ، فَرَفَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَهُ، فَقُلْتُ: أَحَرَامٌ هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: لَا، وَلَكِنَّهُ لَمْ يَكُنْ بِأَرْضِ قَوْمِي فَأَجِدُنِي أَعَافُهُ، قَالَ خَالِدٌ: فَاجْتَرَرْتُهُ فَأَكَلْتُهُ وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْظُرُ
“Aku dan Khalid bin al-Walid bersama Rasulullah SAW masuk ke rumah Maimunah. Lalu dihidangkan kepada kami daging dhab yang telah dibakar dan Rasulullah SAW menghulurkan tangannya untuk mengambil daging tersebut.
Tiba-tiba sebahagian daripada wanita yang berada di rumah Maimunah berkata: “Beritahulah kepada Rasulullah SAW hidangan apa yang beliau makan?.”
Rasulullah SAW pun menarik tangannya, lalu aku bertanya: “Apakah daging tersebut haram wahai Rasulullah?.”
Beliau menjawab: “Tidak, tetapi ia tidak terdapat di negeri kaumku, maka aku tidak menyukainya.”
Khalid berkata: “Aku mengambil daging tersebut dan memakannya, sedangkan Rasulullah SAW hanya melihat.”
Riwayat Muslim (1945)
Prinsip Kedua
Semua binatang buas yang mempunyai taring yang kuat untuk menangkap mangsa adalah haram. Berbeza dengan biawak di sini, dhab bukanlah sejenis haiwan yang buas dan bertaring.
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ
“Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”
Riwayat Muslim (1934) dan Abu Daud (3803)
Cara Sembelih Dhab
Dhab hanyalah haiwan yang kelihatan atau persis seperti biawak tetapi mempunyai begitu banyak perbezaaan berbanding dengan biawak di sini.
Ketidaksamaan itu jelas ketara dari segi cara hidup, sifat dan tabiat pemakanannya. Sama seperti haiwan yang halal untuk dimakan, dhab juga wajib disembelih dahulu sebelum makan.
Nak tahu bagaimana cara sembelih dhab? Jom kita lihat video ini.
Khasiat Dhab
Antara menu masakan dhab yang popular di tanah Arab adalah beriani dhab. Dikatakan daging dhab sangat sedap dan manis.
Menurut artikel daripada repositori simpanan Universiti Malaya, khasiat dhab terletak pada daging dan minyaknya. Melalui penulisan ini juga, diceritakan bahawa sebaik-baik untuk mengembalikan kekuatan badan seseorang perlu memakan dhab dengan membuat sup.
Antara khasiat daging dhab yang ada diceritakan di dalam artikel tersebut adalah sup dhab sangat berkhasiat dan mampu menyembuhkan seorang yang patah tulang dan uzur selepas mengalami kemalangan di Mekah.
Terdapat juga beberapa kisah di mana seseorang yang patah tulang kaki dan tangannya mampu elok setelah dirawat dengan mengamalkan sup dan daging dhab di dalam diet pemakanan pesakit.
Selain itu daging dhab juga dikatakan boleh menghilangkan rasa dahaga.
Khasiat Minyak Dhab
Selain di jadikan sumber makanan, dhab juga sangat berkhasiat dan sangat terkenal di dalam perubatan tradisional.
Minyak dhab adalah salah satu produk perubatan yang begitu popular dan penuh dengan pelbagai khasiat untuk lelaki dan wanita.
Antaranya ialah:
- Merangsang dan memulihkan tenaga batin lelaki.
- Memperbaiki peredaran darah pada alat kelamin lelaki.
- Menambah dan menegangkan payudara wanita.
- Melegakan sakit-sakit sendi.
- Menghilangkan parut luka.
- Melegakan gigitan serangga berbisa.
- Sesuai dijadikan sebagai minyak urut.
Kesimpulan
Walaupun dhab adalah sesuatu yang boleh dikatakan bukan kebiasaanya untuk masyarakat kita di Malaysia, tidak ada salahnya untuk kita mencuba sesuatu yang baru.
Setiap persepsi yang buruk dan tidak berlandaskan fakta harus dielakkan agar kita tidak memberi gambaran dan informasi yang tidak betul terhadap sesiapa sahaja.
Berdasarkan sumber dan hadis yang diatas bolehlah kita simpulkan tanpa was-was bahawa dhab adalah haiwan yang halal untuk dimakan mengikut hukum makan dhab yang telah dipersetujui menurut jumhur ulama.
Baca juga: Khasiat Minyak Zaitun
Sumber Rujukan:
1. Al-kafi #687: Haiwan-haiwan Yang Haram Untuk Dimakan Di Dalam Islam
2. Irsyad Al-hadith Siri Ke-296: Umur Dhab Selama 700 Tahun.
3. Ustaz Hazri Hashim Al Bindany: Apa beza biawak Arab dgn Malaysia? Kenapa biawak Arab halal di makan?
4. Zainol, Fakir (1987) Khasiat dhab terletak pada daging dan minyaknya. In: Adat Resam dan Kebudayaan 1987. University of Malaya Library. (In Press)