Kebaikan Membaca

5 Kebaikan Membaca Menurut Kajian Sains

Kebaikan membaca bukan sahaja terhad untuk menambah ilmu pengetahuan tetapi terdapat pelbagai kelebihan lain yang sudah terbukti menurut kajian sains.

Kebaikan membaca bukan sahaja terhad untuk menambah ilmu pengetahuan tetapi terdapat pelbagai kelebihan lain yang sudah terbukti menurut kajian sains.

Apakah faedah yang manusia dapat daripada membaca buku? Adakah kebaikan membaca hanya untuk mendalami sesuatu perkara, sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan ataupun sekadar mengisi masa lapang?

Kebaikan Membaca Menurut Kajian

Sebenarnya terdapat banyak kebaikan membaca yang sudah terbukti bagus untuk manusia. Berikut adalah beberapa kebaikan membaca menurut kajian sains kesihatan.

1. Membaca Menguatkan Minda

Membaca bukan sahaja bagus untuk menambah ilmu pengetahuan seseorang, malah kebaikan membaca juga dikatakan boleh membantu menguatkan minda.

Dalam satu kajian yang dijalankan pada tahun 2013, para penyelidik telah menggunakan imbasan MRI untuk mengukur kesan membaca novel kepada otak. Peserta-peserta kajian telah membaca novel “Pompeii” dalam tempoh 9 hari. Apabila ketegangan sedang membina dalam cerita tersebut, semakin banyak bahagian otak yang terangsang dengan aktiviti1.

Imbasan otak telah menunjukkan, sepanjang tempoh membaca dan beberapa hari selepasnya, ketersambungan otak telah meningkat, terutamanya dalam korteks somatosensori, bahagian otak yang bertindak balas pada sensasi fizikal seperti pergerakan dan kesakitan.

2. Membantu Mencegah Penurunan Kognitif Berkaitan dengan Usia

National Institute of Aging (NIH) mengesyorkan membaca buku dan majalah sebagai satu cara untuk mengekalkan kesibukan minda anda apabila usia kian meningkat2.

Walaupun kajian tidak membuktikan secara konklusif bahawa membaca buku boleh mencegah penyakit seperti Alzheimer, kajian telah menunjukkan bahawa warga emas yang membaca dan menyelesaikan masalah matematik saban hari, mengekalkan dan meningkatkan fungsi kognitif mereka.

Malahan, lebih awal anda bermula, lebih baik. Kajian 2013 yang dijalankan oleh Pusat Perubatan Universiti Rush mendapati bahawa mereka yang melibatkan diri dalam aktiviti merangsang minda sepanjang hidup mereka, berkemungkinan kecil untuk mengembangkan plak yang terdapat dalam otak-otak para penghidap demensia3.

3. Mengurangkan Stress dan Tekanan

Walaupun kebaikan membaca sering dikaitkan dengan fungsi otak, membaca juga dipercayai mampu untuk mengurangkan masalah stress dan tekanan.

Menurut satu kajian yang dijalankan pada tahun 2009, sekumpulan penyelidik telah mengukur akan kesan-kesan yoga, jenaka, dan pembacaan terhadap tahap tekanan pelajar dalam program sains kesihatan di Amerika Syarikat.

Dapatan kajian tersebut telah berjaya merumuskan bahawa membaca selama 30 minit dapat menurunkan tekanan darah, degupan jantung, dan perasaan tekanan psikologi, iaitu bersamaan dengan efek senaman seperti yoga dan jenaka.

Malah para pengkaji juga turut membuat kesimpulan bahawa kekangan masa adalah salah satu sebab yang acap kali disebut sebagai punca untuk tahap tekanan tinggi dan membaca selama 30 minit boleh dijadikan sebagai solusi mudah untuk diimplementasikan ke dalam jadual seseorang tanpa mengganggu aktiviti harian masing-masing4.

Baca juga: 10 Cara Menangani Stress & Tekanan

4. Membantu Melanjutkan Usia

Kajian jangka masa panjang berkenaan kesihatan dan persaraan telah mengikuti kohort sebanyak 3,635 peserta dewasa untuk tempoh 12 tahun mendapati, mereka yang membaca buku boleh hidup sekitar 2 tahun lebih lama daripada mereka yang sama ada tidak membaca atau pun mereka yang membaca majalah dan bentuk media lain5.

Kajian tersebut juga menyimpulkan bahawa orang yang membaca lebih daripada 3 1/2 jam setiap minggu adalah 23 peratus berkemungkinan hidup dengan lebih lama berbanding mereka yang langsung tidak membaca.

Ini mungkin khabar gembira buat pembaca-pembaca tegar sekalian. Manakan tidak, menurut kajian; amalan membaca mampu untuk melanjutkan usia seseorang. Tak rugi rasanya jika kita cuba menjadi seorang ulat buku. Bukan sahaja boleh menambah ilmu, malahan boleh hidup lebih lama!

5. Membantu Tidur Lena

Doktor di Mayo Clinic mencadangkan membaca sebagai sebahagian daripada rutin tidur harian.

Untuk hasil yang terbaik, anda mungkin mahu memilih buku cetakan daripada membaca menggunakan skrin, kerana cahaya yang dipancarkan oleh peranti anda boleh membuatkan anda terjaga dan membawa penyakit lain yang tidak diingini6.

Doktor juga mengesyorkan anda membaca di tempat berlainan daripada bilik tidur anda jika anda menghadapi masalah untuk tidur.

Baca juga: Kebaikan dan Keburukan Internet kepada Pelajar


Sumber Rujukan:
1. Berns, G. S., Blaine, K., Prietula, M. J., & Pye, B. E. (2013). Short- and long-term effects of a novel on connectivity in the brain. Brain connectivity, 3(6), 590–600. Source
2. National Institute of Aging (NIH). (2020, October 1). Cognitive Health and Older Adults. Source
3. Wilson, R. S., Boyle, P. A., Yu, L., Barnes, L. L., Schneider, J. A., & Bennett, D. A. (2013). Life-span cognitive activity, neuropathologic burden, and cognitive aging. Neurology, 81(4), 314–321. Source
4. Rizzolo, Denise & Zipp, Genevieve & Simpkins, Susan & Stiskal, Doreen. (2009). Stress Management Strategies For Students: The Immediate Effects Of Yoga, Humor, And Reading On Stress. Journal of College Teaching and Learning,. 6. 79-88. Source
5. Bavishi, A., Slade, M., & Levy, B. (2017). THE SURVIVAL ADVANTAGE OF READING BOOKS. Innovation in Aging, 1(Suppl 1), 477. Source
6. Mayo Clinic. (2020, April 17). Sleep tips: 6 steps to better sleep. Source