10 Cara Mencegah Sakit Buah Pinggang

Ini cara mencegah sakit buah pinggang yang anda semua perlu amalkan. Ingat, mencegah lebih baik dari merawat.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 15 peratus rakyat Malaysia menghidap sakit buah pinggang kronik dan 30 peratus pesakit terdiri dari golongan muda berusia di bawah 40 tahun.

Kaedah terbaik rawatan sakit buah pinggang hanyalah melalui transplan ataupun pemindahan buah pinggang. Jika tidak, pesakit mungkin terpaksa bergantung kepada mesin dialisis sepanjang hayat.

Tetapi rawatan transplan dan pemindahan buah pinggang bukanlah sesuatu yang mudah. Perlu menunggu queue untuk menerima buah pinggang serta kosnya juga sangat tinggi.

Sebab itulah langkah-langkah pencegahan sangat penting. Berikut adalah cara mencegah sakit buah pinggang yang boleh anda amalkan:

1. Kawal Penyakit-Penyakit Kronik

Sekiranya anda mempunyai penyakit-penyakit yang boleh memberi risiko kepada buah pinggang seperti obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi ataupun penyakit jantung; pantau dan kawal tahap kesihatan anda dengan berhati-hati.

Ikut nasihat doktor anda, jaga aturan ubat dan penuhilah semua janji temu yang berkaitan supaya risiko sakit buah pinggang dapat dikawal dan dikurangkan.

2. Amalkan Diet yang Sihat

Pengambilan diet yang sihat dan seimbang adalah salah satu faktor penting dan cara mencegah sakit buah pinggang kronik yang berkesan.

Kadar nutrien yang cukup dapat mengatur kolesterol, tekanan darah dan kepekatan elektrolit di dalam darah.

Boleh rujuk artikel ini untuk cara diet yang betul mengikut saranan World Health Organisation (WHO).

3. Minum Air yang Secukupnya

Antara cara mencegah sakit buah pinggang yang paling mudah adalah dengan minum air yang secukupnya.

Kepada mereka yang masih sihat dan tidak pernah mengalami kerosakan buah pinggang, anda haruslah minum air dengan secukupnya sebagai salah satu langkah pencegahan yang mudah dan efektif.

Anda harus mengambil kira-kira 3 liter sehari untuk membantu mencairkan air kencing, mencegah batu karang dan menghilangkan sisa-sisa toksik dari badan.

4. Amalkan Bersenam Sebagai Rutin Harian

Anda disarankan melakukan aktiviti fizikal yang berintensiti sederhana seperti berbasikal atau berjalan pantas sekurang-kurangnya 30 minit selama 5 hari seminggu.

Melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam secara rutin dan teratur dapat membantu menurunkan tekanan darah serta mengurangkan risiko anda menghidap sakit buah pinggang.

Jika ianya terlalu sukar, anda bolehlah mulakan rutin senaman anda dengan aktiviti yang lebih mudah dengan kadar masa serta kekerapan yang lebih rendah terlebih dahulu dan kemudian meningkatkannya dari hari ke hari.

5. Berhenti Merokok

Berhenti merokok adalah salah satu cara mencegah sakit buah pinggang yang paling penting tetapi masih sukar untuk diamalkan oleh segelintir masyarakat.

Anda harus berhenti merokok kerana ianya boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular yang sering dikaitkan dengan risiko penyakit buah pinggang kronik yang lebih tinggi.

Berhenti merokok adalah langkah untuk mengurangkan risiko sakit buah pinggang yang harus anda lakukan dari sekarang. Jadi, berhentilah merokok ya!

6. Berhenti atau Kawal Pengambilan Alkohol

Pengambilan alkohol secara berlebihan boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah dan kadar kolesterol di dalam darah.

Sekiranya tidak dikawal, keadaan ini boleh meningkatkan risiko sakit buah pinggang.

7. Elakkan dari Menjadi Obes

Menurut tinjauan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, 2 daripada setiap 5 orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Mereka yang obes sangat terdedah dengan penyakit yang berkaitan kardiovaskular dan diabetes. Keadaan ini secara tidak langsung boleh meningkatkan lagi kadar risiko kepada kerosakan buah pinggang.

Untuk mengelakkan obesiti, anda disaran untuk mengekalkan bacaan BMI anda supaya mencapai kurang dari 30 untuk mencapai berat badan yang ideal.

Baca juga: Cara Kira BMI Paling Mudah Guna Kalkulator

8. Kawal Pengambilan Ubat-Ubatan Kronik

Antara cara mencegah sakit buah pinggang yang paling penting adalah dengan mengawal pengambilan ubat-ubatan kronik yang membahayakan.

Terdapat beberapa ubat-ubatan kronik yang boleh meningkatkan risiko kepada pada buah pinggang seperti ubat anti-radang litium dan bukan steroid seperti aspirin atau ibuprofen.

Oleh itu, ubat-ubatan ini harus diganti dengan alternatif jika boleh. Tetapi sekiranya anda perlu mengambil ubat penahan sakit, pastikan anda mendapatkan dan mengikuti nasihat doktor.

Harus diingatkan, pengambilan ubat-ubatan penahan sakit ataupun suplemen herba yang tidak diiktiraf hendaklah dihentikan serta merta kerana ianya membahayakan buah pinggang.

9. Lakukan Pemeriksaan Buah Pinggang Setiap Tahun

Walaupun terdapat beberapa gejala yang boleh menunjukkan buah pinggang tidak berfungsi, tetapi malangnya gejala-gejala ini kebiasaannya tidak akan kelihatan sehinggalah buah pinggang mengalami kerosakan yang teruk.

Oleh yang demikian, pemeriksaan buah pinggang secara berkala adalah sangat penting sebagai salah satu cara mencegah sakit buah pinggang yang perlu anda tahu dan amalkan.

Anda disarankan untuk melakukan pemeriksaan buah pinggang setiap tahun jika anda menghidap penyakit-penyakit seperti obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi atau mempunyai sejarah sakit buah pinggang kronik dalam keluarga.

10. Kurangkan Stress

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, stress ditakrif sebagai desakan atau tekanan yang dihadapi seseorang berikutan sesuatu peristiwa silam yang berlaku pada mereka samada dari segi emosi mahupun fizikal.

Mengurangkan desakan dan tekanan dalam kehidupan boleh membantu untuk menurunkan tekanan darah anda.
Keadaan ini secara tidak langsung baik untuk kesihataan buah pinggang anda.

Baca juga: 10 Cara Menangani Stress & Tekanan

Kesimpulan

Meskipun terdapat pelbagai cara mencegah sakit buah pinggang, ianya hanyalah sebagai langkah-langkah awal untuk mereka yang masih sihat dan belum pernah mengalami kerosakan buah pinggang.

Jika anda sudah didiagnosis mempunyai kerosakan buah pinggang, langkah pencegahan ini kebanyakkannya sudah tidak relevan lagi. Justeru itu, pencegahan awal sangat-sangatlah penting.

Ingat, mencegah lebih baik dari merawat! Sayangilah dan hargailah buah pinggang anda.


Rujukan Lain:
1. Pencegahan Penyakit Buah Pinggang Kronik
2. Infografik: Pesakit Buah Pinggang Terus Meningkat di Malaysia
3. Pencegahan Penyakit Buah Pinggang
4. 30 peratus pesakit buah pinggang golongan muda
5. 15 peratus rakyat Malaysia hidap penyakit buah pinggang kronik
6. Prevention – Chronic kidney disease
7. Preventing Chronic Kidney Disease